in , ,

Sedihnya, Shuib Sepahtu Sebak Imbas Momen Raya Dengan Arwah Siti Sarah

Pelawak dan usahawan berjaya, Shuib Sepahtu sebak apabila mengenangkan momen menyambut lebaran bersama isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

Berkongsikan kenangan manis ketika menyambut Aidilfitri bersama isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah, hati pelawak Shuib Sepahtu terusik apatah lagi Ramadan dan Syawal tahun ini cukup berbeza buat dirnya.

Meskipun cuba menahan air mata jantan gugur, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, dia tidak lokek menceritakan pengalaman dirinya menyambut 1 Syawal bersama isteri, Allahyarham Siti Sarah.

Jelasnya, walaupun ia disambut dalam keadaan serba kekurangan pada awal perkahwinan mereka, namun ia adalah memori paling berharga yang tidak dapat dilupakan.

Mengalirkan air mata ketika berkongsikan momen tersebut, Shuib berkata antara kenangan paling diingati apabila dia bersama aarwah melalui fasa susah satu ketika dahulu.

“Pada ketika itu, saya tak banyak duit. Nak beli baju dan kuih raya pun kena buat kira-kira dulu. Tapi dia tetap setia di sisi saat harungi fasa tersebut. Momen itulah yang masih saya ingat hingga ke hari ini dan akan kenang sampai bila-bila,” 

– Shuib

Dalam pada itu, Shuib berkata sejak pemergian isterinya pada Ogos tahun lalu, berat badannya susut mendadak kerana hilang selera makan apatah lagi terkenang air tangan bidadarinya itu.

“Jika itu berterusan, ia tidak baik untuk kesihatan. Ini akan menyebabkan saya kurus seperti papan dan muka menjadi cengkung,”

“Saya tak sakit, cuma tiada selera makan sangat. Ramai yang tegur berat badan saya semakin susut dan kurus. Saya suka makan pajeri nanas air tangan arwah isteri. Selama 10 tahun kami berkahwin, itulah makanan yang tak pernah jemu dia masak untuk saya.

“Selepas arwah meninggal dunia, saya mengemas peti sejuk dan terjumpa pajeri nanas masakannya. Air mata saya mengalir kerana terlalu sebak.

“Bila bulan Ramadan, pajeri nanas lah yang saya cari dulu tapi sehingga ke saat ini, saya masih tak jumpa makanan yang boleh naikkan selera saya,”

– Shuib

Walau bagaimanapun, Shuib mengatakan dia perlu memaksa dirinya untuk makan demi anak-anak.

“Saya tak kisah pun orang nak cakap apa. Banyak benda yang saya dah lalui. Bermacam-macam. Selagi kita berpegang dengan apa yang kita tahu dan apa kita rasa, kita jalan sahajalah. Sebab yang merasakan adalah kita. Sembilan bulan, rasa macam semalam baru berlaku.

“Kalau nak fikirkan sangat pasal orang, nak buat apa pun saya tak boleh. Saya tertonggeng di rumah, tahan menangis di depan anak-anak, netizen tak datang rumah ketuk pintu beri pertolongan.

“Mereka hanya boleh beri sokongan di media sosial tapi realitinya, tiada siapa tawar nak buat kaunseling percuma buat saya,”

– Shuib

Mengakui bukan mudah melalui kehidupan tanpa isteri tercinta, Shuib bagaimanapun berkata hidup perlu diteruskan demi empat anaknya.

“Tipulah kalau saya cakap (semua yang sedang berlaku) senang. Puasa dan raya tanpa dia. Tapi, nak tak nak, kita kena lalui.

“Saya percaya, ada benda baik akan berlaku pada masa hadapan. Cuma nak lalui fasa ke arah itu mungkin agak berat sedikit. Sedih memang sedih.

“Hari pertama puasa, semua keluarga rapat datang rumah berbuka sama. Dalam pada nak tunggu waktu berbuka itu, saya perasan sebelah kiri saya, meja empat segi, memang tempat Sarah pun, ada satu pinggan kosong tapi berisi nasi.

“Abang ipar tanya, ‘nasi untuk siapa?’. Saya jawab tak tahu dan semua pun berpandangan antara satu sama lain. Dalam hati saya, nasi ada tapi kerusi itu (yang kebiasaannya jadi tempat Sarah duduk) kosong,”

– Shuib

Terdahulu, Siti Sarah meninggal dunia akibat Covid-19 selepas tiga hari melahirkan anak keempat mereka, Ayash Affan kini berusia tujuh bulan secara pembedahan pada 6 Ogos tahun lalu.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Umar Uzair | 18

Persembahan Azharina Di Melbourne Dalam Kembara Ramadan Umar Uzair

Scha Awal 2020 | 19

Tahniah! Awal Ashaari & Scha Al Yahya Dilantik Menjadi Duta Lampin Molfix