in , ,

Shuib Akui Runding Bayar Caruman Staf Secara Ansuran dengan KWSP

Pelawak dan usahawan Shuib mengaku syarikat minuman yang diasaskannya, BubbleBee berlaku masalah kelewatan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam tempoh yang ditetapkan berikutan masalah kelemahan daripada pihak pengurusan terdahulu.

Shuib berkata, disebabkan masalah yang berlaku termasuk cabaran dalam perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) pihaknya ada membuat rundingan dengan KWSP mengenai pembayaran secara ansuran sebelum ini.

“Kami akui Bubble Bee ada ‘sangkut’ bayar KWSP, cuma saya nak buat pencerahan apabila surat layang itu dikeluarkan seolah-olah kami langsung buat tak tahu mengenai caruman KWSP setiap kakitangan kami.

“Perkara ini tidak baik dan saya nak jelaskan di sini, sejak awal tahun ini kami ada berhubung dengan KWSP serta maklumkan mengenai masalah dihadapi. 

Pihak kami juga sedia maklum ada tunggakan yang perlu diselesaikan dan tidak dapat membayar serentak.

“Justeru kami ada membuat rundingan untuk bayar secara ansuran sebab potongan KWSP ini adalah kewajipan syarikat. Mahu atau tidak  kami perlu bayar kerana itu adalah hak pekerja,” katanya dalam satu hantaran video di Instagram miliknya.

Menurut Shuib, dia memohon maaf kepada semua pihak terutama kakitangan Bubble Bee yang terjejas dengan isu kelewatan pembayaran KWSP.

“Saya juga nak minta maaf kepada semua kakitangan termasuk, bekas pekerja, di atas kekurangan dan kekhilafan ini. Insya-Allah kami akan selesaikan secepat mungkin kerana saya tidak mahu ada salah faham.

“Alhamdulillah kami sudah buat pembayaran kepada KWSP dengan jumlah yang tinggi, cuma menunggu untuk keputusan baki jumlah ansuran dan nilai yang perlu dibayar.

“Itulah situasi sebenar yang berlaku. Jika tulisan yang viral itu menampakkan kami buat tak tahu langsung pada potongan KWSP kepada pekerja kami adalah salah.

“Saya tak nak orang luar berasa kami ambil hak pekerja apabila tidak mencarum KWSP langsung. Perkara itu tidak benar kerana itu adalah kewajipan Bubble Bee dan saya sebagai pengasas,” katanya.

Dalam masa sama, Shuib menjelaskan masalah yang berlaku berpunca daripada kelemahan pengurusan terdahulu.

“Sepanjang beroperasi lebih tiga tahun kami lalui saat genting. Namun Alhamdulillah kami diberi rezeki apabila kini mempunyai  lebih 300 kakitangan, tapi realiti adat berniaga pasti ada fasa turun naik. Salah satu dugaan adalah isu ini.

“Masalah ini berlaku apabila bisnes ini memasuki tahun ketiga. Saya selaku pengasas, pemegang saham dan ketua pemasaran mendapati terdapat kelemahan pengurusan di bahagian kewangan.

Tidak dinafikan kami meraih keuntungan yang tinggi sebelum ini, tapi apabila berlaku kelemahan ini banyak hal yang terjadi.

“Jadi bermula November 2022 saya bersama seorang lagi rakan kongsi ambil alih hal berkaitan pengurusan termasuk di bahagian kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, Shuib turut menjawab dakwaan netizen yang mendakwa dia seperti mengabaikan kebajikan pekerjanya  apabila sering tayang kemewahan.

“Satu benda yang kami nak tegaskan di sini ketika Bubble Bee berada pada fasa kejatuhan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan Covid-19, kami tak pernah potong gaji pekerja termasuk tak pernah tak bayar gaji sejak kami beroperasi sehingga hari ini. 

“Kalau ada yang kata pengasasnya bermewah-mewah, takkan saya nak cakap berapa banyak duit dari poket sendiri sudah saya keluarkan untuk Bubble Bee. 

“Saya anggap ini satu dugaan dalam perniagaan. Saya dan pengurusan tertinggi perlu hadap perkara ini sebab kami percaya perniagaan ini boleh pergi lebih jauh melalui pengurusan yang betul,” katanya.

Terdahulu syarikat minuman yang diasaskan Shuib, Bubble Bee dikatakan gagal membayar caruman KWSP dalam tempoh yang ditetapkan selepas tular surat terbuka daripada seorang individu tidak dikenali di aplikasi TikTok.

Menerusi kenyataan dalam surat terbuka berkenaan, Bubble Bee dikatakan menolak bahagian gaji pekerja bagi caruman KWSP setiap bulan, namun tiada transaksi berlaku pada akaun para pekerja. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

KYOCHON

Lazat Betul! Nikmati Cita Rasa Honey Garlic Series di Kyochon 1991

Program BICARA KANSER Tingkat Kesedaran Bahaya Penyakit Kanser