in , , ,

Shiha Zikir Bakal Ganti Tokti Nyanyi Lagu 7 Nasihat di Separuh Akhir Muzik Muzik 35

Shiha Zikir bakal menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk menyampaikan lagu 7 Nasihat yang akan berentap di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 35 (SAMM35), Sabtu ini.

Shiha ketika dihubungi berkata, perasaannya bercampur baur ketika ditawarkan untuk menyampaikan lagu ciptaan Luca Sickta itu. 

“Saya ditawarkan untuk menjadi penyanyi lagu ini di SAMM35 beberapa hari selepas lagu ini diumumkan layak ke pusingan itu. Ini berdasarkan kata sepakat daripada pihak komposer, Universal Music Malaysia dan pihak Siti sendiri. 

“Perasaan saya waktu itu bercampur baur. Pada masa sama, saya terkejut juga kerana diberi kepercayaan untuk menyampaikan lagu yang dipopularkan oleh nama besar,” katanya kepada Harian Metro. 

Bercakap mengenai jangkaan peminat, Shiha tidak menafikan bahawa kemampuan Siti tidak akan mampu ditandingi olehnya. 

“Saya takkan mampu memuaskan hati semua orang lebih-lebih lagi lagu itu dipopularkan oleh Siti Nurhaliza yang sememangnya tiada tandingan. Namun, saya akan cuba sebaik mungkin membawakan lagu itu dengan cara saya tersendiri. Namun, pada masa sama saya takkan ubah secara berlebih-lebihan kerana lagu itu sudah cukup sempurna,” katanya. 

Shiha sememangnya cukup dikenali sebagai penyanyi serba-boleh dan mampu menyanyikan pelbagai genre lagu termasuklah lagu berentak tradisional seperti 7 Nasihat turut menyelitkan elemen muzik itu. 

Dia juga sebelum ini pernah merakamkan versi ‘cover’ lagu 7 Nasihat dan pernah dijemput untuk menyanyi bersama oleh Siti ketika penyanyi nombor satu negara itu membuat sesi nyanyian secara langsung di Instagramnya. 

Shiha akan menyampaikan lagu itu bersama komposer, Luca Sickta serta Kmy Kmo.

*Sumber: Harian Metro

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gara-Gara Buka Pelitup Muka Nak Hisap Vape, Mustaqim Bahadon Didenda RM1,000

Tahniah! Ahmad Izham Omar Dilantik Sebagai Pengarah Eksekutif Khas Untuk Kandungan Kreatif Disney+