in ,

Sharnaaz Ahmad Rancang Kewangan Jebat

Setiap ibu bapa pasti inginkan yang terbaik buat anak-anak mereka. Pelakon Sharnaaz Ahmad juga tidak ketinggalan merancang kesenangan masa depan anak sulungnya, Jebat Jayden.

Memetik laporan berita dari Utusan Malaysia yang ditulis oleh Ruhaya Abd Hamid, suami kepada Noor Nabila Mohd. Noor, buat masa ini dia tidak mahu menentukan minat anaknya. Justeru, dia hanya mampu merancang soal kewangan Jebat terlebih dahulu.

Sharnaaz Rancang Kewangan Jebat

Bagi pelakon drama Cinta Bukan Kristal ini, bila anaknya semakin meningkat dewasa, barulah dia akan menyokong apa sahaja minat yang ditunjukkan oleh anaknya itu.

Tambahnya, begitulah cara yang dilakukan oleh kedua-dua ibu bapanya dahulu sewaktu membesarkannya. Kini, diberi rezeki bergelar bapa, Sharnaaz ingin menggunakan kaedah yang sama.

“Sekarang ini saya hanya merancang soal kewangan dia. Saya sudah membuka akaun simpanan serta menyediakan insurans pelan perlindungan kepadanya. Dua perkara itu adalah perancangan saya dan isteri sejak awal lagi.

“Tetapi dari segi karier atau minatnya, saya tidak merancang apa-apa. Saya hanya mahu melihat ke mana arah minatnya. Saya tidak akan paksa dia untuk meminati sesuatu perkara.

“Sebaliknya, saya hanya akan menyokong apa sahaja kecenderungan dia. Kalau dia minat sukan, saya akan dorong dia ke arah itu.

“Begitu juga kalau dia minat bidang seni sama ada nyanyian atau lakonan. Saya akan pastikan dia diberi pendedahan seawal yang mungkin,”

Sharnaaz yang bakal menjadi salah seorang pengacara Anugerah Skrin 2018 yang berlangsung pada 2 November ini.

Sementara itu, ditanya bagaimana Sharnaaz membahagikan masa antara keluarga kecilnya dengan kesibukan sebagai pelakon dan usahawan, dia menjelaskan bahawa perkara itu tidak memberi sebarang kesukaran kepadanya.

Malah dia memanjatkan kesyukuran kerana memiliki seorang isteri yang sentiasa memahami jadual kerjanya yang tidak sama dengan orang lain.

Sharnaaz turut meluahkan rasa lega kerana Nabila tidak mempunyai masalah sekiranya dia perlu keluar bekerja dalam jangka masa yang lama.

“Sehingga hari ini, tiada yang berubah kerana saya masih perlu memberikan fokus kepada kerja dan perniagaan. Saya keluar bekerja seperti biasa dan kehadiran Jebat membakar semangat saya untuk lebih bekerja keras.

“Jika tidak bekerja atau bermain golf, saya lebih selesa menghabiskan masa di rumah bersama-sama mereka.

“Dalam soal ini juga, saya amat bersyukur kerana isteri saya mampu menguruskan semua perkara di rumah sekiranya saya perlu keluar dalam tempoh yang lama.”

Pengasuh Pilihan Terakhir

PELBAGAI isu panas melibatkan pengasuh kanak-kanak melanda negara baru-baru ini. Mengulas isu tersebut, Sharnaaz akui dia memandang serius berkenaan kejadian yang berlaku.

Oleh sebab itu, Sharnaaz tidak menafikan bahawa dia kurang percaya untuk menyerahkan anaknya di bawah jagaan pengasuh seratus peratus. Baginya, dia lebih selesa mengharapkan bantuan adik-beradik berbanding orang luar.

“Sejujurnya saya memang agak kurang percaya dengan pengasuh. Rasanya saya lebih selesa mengharapkan bantuan adik-beradik atau saya sendiri yang menjaganya.

“Bagi saya, kalau ada pengasuh pun tetap memerlukan pemantauan saya juga. Pun begitu, bukan semua pengasuh bermasalah, tetapi sebaik-baiknya saya elak daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini.

“Bagaimanapun saya tidak nafikan ada waktunya nanti saya perlu menyerahkan anak kepada pengasuh memandangkan jadual kerja saya dan isteri tidak seperti orang lain. Namun tetap di bawah pemantauan yang ketat,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ada Sebab Sissy Iman Pilih Faizal Tahir

AirAsia Raih Anugerah Emas di Anugerah Jenama Putra 2018