in

Sharnaaz Ahmad Maafkan Fauzi Nawawi & Lisdawati

Pelakon Sharnaaz Ahmad telah menerima permohonan maaf yang dibuat secara terbuka oleh Fauzi Nawawi dan Lisdawati bagi menyelesaikan insiden apabila dia dituduh menyerang aktres itu pada awal Februari lalu.

Menurut Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 29, permohonan maaf yang dibuat suami-isteri berkenaan menerusi rancangan H!Live pada Ahad lalu itu menunjukkan isu berkenaan sudah selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

“Mereka sudah minta maaf. Saya terima. Lagipun tidak perlu saya memohon maaf lagi memandangkan menerusi kenyataan saya sebelum ini saya sudah minta maaf. Hati orang, siapa tahu. Saya cuma terima sahaja permohonan maaf itu. Diharap isu ini tidak lagi diperbesar-besarkan lagi oleh mana-mana pihak.”

Sebuah akhbar pada 24 Februari lalu melaporkan Sharnaaz, 29, telah menyerang Lisdawati di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta di Sungai Buloh dekat sini ketika penggambaran pada 19 dan 21 Februari lalu.

Peristiwa itu menjadi tegang apabila Fauzi dikatakan menerima SMS (pesanan khidmat ringkas) daripada Sharnaaz berbaur ugutan selepas dia bertanyakan hal berkenaan.

Lisdawati mendakwa mengalami darah tinggi akibat kejadian itu. Dia dan suami turut membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi sebagai langkah keselamatan diri.

Bagaimanapun, pasangan itu telah membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi program H!Live saluran Astro Ria dan Maya HD pada Ahad lalu selepas pulang daripada mengerjakan umrah.

Program tersebut dikendalikan oleh pengacara popular Datuk Aznil Nawawi.

Fauzi turut memuat naik foto dia bersama isteri dan Aznil di Twitter akaun miliknya dengan kapsyen; “Maafkan semua kesilapan saya dan isteri yang sengaja atau tidak dan kami juga telah memaafkan anda yang selama ini membenci…” Difahamkan kenyataan itu turut ditujukan kepada Sharnaaz.

Sementara itu, Sharnaaz pula ketika ditanya sama ada sudah menonton program tersebut berkata, rakannya telah merakam video rancangan berkenaan namun dia belum sempat untuk menontonnya lagi.

“Ketika itu saya bercuti di Langkawi dan saya tak tengok pun mereka (Lisda dan Fauzi) pada program itu. Tak kisahlah sama ada saya dah tonton program itu atau tidak, saya anggap ia dah selesai.

“Saya pun tidak ada masalah jika akan bekerjasama dengan mereka pada masa akan datang ini. Terpulang kepada mereka,” ujarnya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kejutan Konsert Mega Final Kilauan Emas 4

Diana Danielle Kini Merancang