in ,

Shaheizy Sam Abang Yang Tak Bertanggungjawab?

SHAHEIZY SAM SEORANG ABANG YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB?

Bintang paling popular 2010, Shaheizy Sam, diperkatakan bahawa beliau adalah seorang abang yang tidak bertanggungjawab kerana membawa adiknya Syafie Naswip ke kehidupan dunia gelap dimana perdagangan manusia menjadi sumber wang bagi mereka untuk meneruskan kehidupan di kotaraya Kuala Lumpur yang sedia pesat membangun. Berkerja di bawah ‘tauke’ cina, Sam amat selesa dengan wang yang dibuatnya sehingga sanggup menepikan nilai moral di dalam dirinya sendiri.

Begitulah kisah kehidupan Am, watak yang dibawa oleh Sam didalam filem terbaru terbitan Grand Brilliance yang akan ditayangkan di 81 pawagam serentak pada 15 Disember 2011 berjudul Songlap.

Biasanya,Sam digandingkan dengan ratu-ratu cantik Malaysia seperti Intan Ladyana, Yana Samsudin dan Lisa Surihani. Tetapi kali ini, Sam digandingkan dengan pelakon muda berbakat besar yang pernah terkenal dengan filem Mukhsin iaitu Syafie Naswip.

Songlap

Melihat trailernya sahaja, ramai sudah keliru apakah cerita ini satu cerita yang serius ataupun cerita komedi? Jawapannya adalah, ia adalah satu filem yang mengetengahkan konflik hubungan di antara abang dan adik yang dibentuk menjadi satu jalan cerita yang penuh dengan huru-hara, jenaka dan fakta-fakta yang telah dikaji selidik dengan teliti.

Apabila ditanyakan kepada Sam tentang kelainan filem Songlap, Sam mengulas, biasanya ramai yang mengenali Sam sebagai seorang pelakon komedi dan itulah antara sebab Sam memilih untuk terima tawaran berlakon filem Songlap, untuk mencuba satu watak yang berlainan daripada watak-watak yang pernah dibawanya sebelum ini.

Tambahan Sam, sebagai pelakon yang versatail, beliau perlu keluar daripada zon selesa untuk terus berkembang dan Songlap merupakan peluang beliau untuk melakonkan satu watak yang amat berbeza dan mencabar. Selain daripada itu, Sam percaya akan kewibawaan pasangan pengarah yang pernah menjayakan KAMI THE MOVIE, iaitu Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak yang amat teliti didalam penghasilan sesuatu produk dari segi sinematografi, jalan cerita, pengarahan seni dan yang paling penting sekali, filem Songlap ini pasti dapat menyelami dekat dengan jiwa remaja, ulas Sam.

Tengku Iesta Tengku Alaudin, merangkap Pengurus Besar Primeworks Studios mengulas, pemilihan Sam sebagai watak utama bukanlah kerana nama beliau, tetapi kebolehan beliau menjiwai sesuatu watak yang diberikan. Sam mempunyai suatu aura dimana beliau dapat mengawal emosi di dalam minda penonton. Jika Sam membuat lawak, pasti penonton akan tergelak dan jika Sam melakonkan babak yang sedih, pasti ia dapat membuatkan penonton bergelinang air mata. Itulah variasi yang dijanjikan di dalam Songlap.

Sempena filem Songlap, Grand Brilliance ingin memberikan peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk merebut peluang keemasan bagi membeli belah bersama Shaheizy Sam, tajaan Everlast.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.facebook.com/grandbrilliance dan www.twitter.com/grandbrilliance.

Songlap

Songlap

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Telemovie Edisi Khas Cuti Sekolah

Sekitar Majlis Sambutan Awal Muharram Suria FM