in , ,

Isu Video Viral, SENIMAN Buat Laporan Polis, Zed Zaidi Dedah Ada Artis Tertekan

PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) membuat tiga laporan polis hari ini terhadap seorang artis wanita yang memuat naik video di media sosial hingga menimbulkan perbalahan di antara netizen dan artis tempatan.

Laporan itu dibuat oleh tiga biro Seniman di tiga balai polis secara berasingan iaitu Pengerusi Biro Penguatkuasaan, Badrul Muhayat, Pengerusi Biro Artis Baru, Izzmad Harun dan Penolong Setiausaha Agung Seniman, Rena Tan.

“Laporan polis itu dibuat oleh Ahli Jawankuasa Seniman dan ahli-ahli lain yang bersepakat kerana video hasutan yang dihasilkan oleh selebriti itu menyebabkan industri seni dikecam netizen.

“Gara-gara video tersebut, masyarakat salah faham dan mula menghentam anak seni Malaysia dan ini merupakan satu tindakan tidak wajar bermula daripada video yang di muat naik oleh selebriti ini.

“Dia menjadi punca sehingga netizen berbalah dan memberi kesan kepada artis. Malah, mereka juga terguris hati dengan kenyataan individu dalam video tersebut,”

– Zed Zaidi
Isu Video Viral, Seniman Buat Laporan Polis, Zed Zaidi Dedah Ada Artis Tertekan

Menurutnya, apa yang digambarkan artis itu dalam video berkenaan bukan 100 peratus tepat.

Meskipun tidak menyatakan nama, namun rata-rata pengikut membuat andaian laporan polis itu dibuat terhadap pelakon Zarina Anjoulie yang sebelum ini pernah memuat naik video mengecam tindakan beberapa selebriti yang mahukan bantuan daripada kerajaan kerana terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Zed berkata tindakan persatuan itu berlunaskan undang-undang dan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap selebriti berkenaan.

“Laporan polis itu dibuat mengikut prosedur berlandaskan akta yang ada dan kita pun memang tak sebut nama di Instagram kerana biarlah semua orang menilai siapa wanita itu. Rasanya semua orang dapat meneka siapa selebriti itu.

“Sejujurnya daripada awal saya bersikap neutral dalam hal ini, tapi jika ahli sebulat suara merasakan ini keputusan terbaik, saya menyokong,” ujarnya.

“Dia ada sebut mengenai artis-artis yang menjalani kehidupan mewah, tapi itu hanyalah 10 peratus sahaja daripada realiti kerana ramai lagi yang tak berkemampuan.

“Lebih parah, tindakannya itu membuatkan ada netizen yang berani mengugut dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada artis dan persatuan.

“Dalam tempoh sekarang, kita sepatutnya bermuhasabah diri dan tak boleh bersikap negatif. Artis pun sama seperti rakyat yang lain, yang memerlukan bantuan dalam saat-saat sebegini,”

– Zed Zaidi
Isu Video Viral, Seniman Buat Laporan Polis, Zed Zaidi Dedah Ada Artis Tertekan

Dalam pada itu, Zed turut mendedahkan menerima panggilan daripada sebilangan anak seni yang kecewa dan kesal dengan penularan video itu.

Malah, ada yang meluahkan hasrat mahu bersara kerana tertekan dengan kecaman netizen.

“Video yang dimuat naik oleh individu itu menyebabkan ada anak seni yang tertekan… ramai yang hubungi saya menangis, rasa terhina dan kata nak bersara.

“Mereka ini bukan dalam golongan 10 peratus yang berjaya, tetapi mereka ini adalah antara 90 peratus yang masih memerlukan bantuan untuk hidup.

“Dalam keadaan sekarang ni sepatutnya kita semua bersatu hati dan sepakat untuk membantu antara satu sama lain dan bukan berbalah begini,”

– Zed Zaidi

Zed menegaskan, pihaknya akan menyerahkan tindakan kepada pihak berkuasa dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menguruskannya.

Seniman turut menerima pelbagai tohmahan daripada masyarakat apabila menyenaraikan beberapa cadangan untuk memberi kemudahan kepada golongan artis dan penggiat seni sepanjang tempoh PKP berlangsung, baru-baru ini.

Bagaimanapun, tindakan Seniman membuat laporan itu turut ditentang segelintir artis.

Mereka menyifatkan ia hanyalah isu dalaman yang patut diselesaikan secara dalaman dan bukan mendedahkannya kepada umum.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Rozita Che Wan | 14

Rozita Che Wan Ajak Semua Untuk Tengok Cik Kiah di Saluran Astro

Zarina Anjoulie | 15

Isu Video Sindir Artis Mohon Bantuan, Zarina Anjoulie Tak Takut Disaman & Dikecam oleh Artis