in

Kesenian Malaysia di Mata Dunia Dalam SENI DI JARI

Berkongsi memperlihatkan kegigihan tokoh-tokoh seni tanah air yang memartabatkan kesenian Malaysia di mata dunia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan program terbaharu bertajuk “Seni di Jari” yang sedang bersiaran setiap Isnin dan Selasa, pukul 11.05 pagi menerusi saluran TV1.

Berbeza dengan program lain, ia membawa penonton-penonton mengenali tokoh-tokoh pengiat seni tanah air yang berkecimpung di dalam bidang masing-masing di segenap pelosok tanah air. Mereka diperkenalkan secara peribadi dan kegiatan seni mereka didedahkan secara terperinci dalam 13 episod siarannya.

Wan Mustafa Wan Su (Adiguru Kraf Ukiran Kayu)

Kesenian Malaysia di Mata Dunia Dalam SENI DI JARI Di TV1

Tokoh disegani yang memartabatkan warisan seni sejak berdekad lamanya yang diundang dalam program ini termasuklah Che Isa Samad (Adiguru Kraf), Nortipah Abd. Kadir (Adiguru Kain Tenun Pahang), Ishak bin Kassim (Adiguru Kraf Anyaman Rotan), Md. Ghani bin Mat (Adiguru Kraf Blok Batik), Siow Ho Phiew (Adiguru Peralatan Tarian Singa), Hajah Pandian Haji Sulaiman (Adiguru Kraf Tenunan Sambitan), Jamawid bin Haji Soh (Adiguru Kraf Pandai Besi,Parang Bajau Samah, Sabah), Bangi anak Embol (Adiguru Tenun Pua), Andak anak Lembang (Adiguru Kraf Pasu Iban), Salleh bin Mohd (Adiguru Kraf Tembaga) dan Wan Mustafa Wan Su (Adiguru Kraf Ukiran Kayu).

Menariknya tokoh-tokoh ini menerima pelbagai anugerah yang mengikhtiraf mereka di atas kegigihan dan komitmen mereka dalam mempertahankan warisan kesenian ini. paling membanggakan hasil tangan mereka ini misalannya Siow Ho Phiew (Adiguru Peralatan Tarian Singa) mendapat banyak tempahan dari Amerika, Taiwan, Singapura dan negara-negara Eropah juga dari China, negara asalnya tarian singa. Begitu juga dengan parang Bajau buatan Jamawid bin Haji Soh (Adiguru Kraf Pandai Besi,Parang Bajau Samah, Sabah) turut mendapat tempahan daripada Semenanjung Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipina, Thailand dan Arab Saudi.

Ikuti perkongsian lebih dekat dengan Che Isa Samad dari Kampung Kebakat, Wakaf Baru, Kelantan. Beliau merupakan seorang tokoh disegani yang memartabatkan warisan seni sejak empat dekat lamanya. Beliau diiktiraf sebagai Adiguru Kraf oleh kerajaan Malaysia berdasarkan kesungguhannya menghasilkan produk Serunai Kelantan dan kepandaiannya bermain peralatan ini. Beliau giat menurunkan ilmu pembuatan dan bermain serunai ini kepada generasi muda yang berminat. Dua orang daripada sembilan anaknya mewarisi kesenian serunai ini.

Minggu seterusnya berkenalan dengan Adiguru Kain Tenun Pahang iaitu Nortipah Abd. Kadir atau mesra dipanggil Mak Teh. Mak Teh dari Kampung Pulau Keladi, Pekan, Pahang bergiat dalam Kain Tenun Pahang sejak berumur 13 tahun lagi. Beliau belajar menenun daripada keluarganya. Mak Teh mula mengajar sejak tahun 1972 dan turut mengeluarkan modal kepada muridnya supaya mereka boleh memulakan usaha sendiri. Pada tahun 2007 beliau menerima ‘Anugerah Karyawan Kraf’ di atas kegigihan dan komitmen beliau dalam mempertahankan warisan tenun ini.

Adiguru Kraf Ukiran Kayu (Wan Mustafa Wan Su)

Kunjungan ke Bukit Piatu, Melaka untuk mengenali Ishak bin Kassim atau juga dikenali sebagai En. Nan, seorang Adiguru Kraf Anyaman Rotan. Beliau banyak mendapat anugerah dan pengiktirafan daripada pelbagai pihak dan kemuncaknya apabila dianugerahi Anugerah Adiguru Kraf Anyaman Rotan pada tahun 2011. Pada tahun 2003, En. Ishak telah menjadi naib johan dalam pertandingan bidang kraf rotan peringkat Asia-Pasific anjuran UNESCO. Produk beliau juga telah terpilih untuk pasaran di Gedung Membeli Belah Harrods, London dan sering juga digunakan sebagai cenderamata kepada tetamu negara. En. Ishak mula menceburi bidang kraf rotan pada tahun 1986 dan telah memberi sumbangan yang besar kepada industri ini.

Penonton berpeluang mengenali dengan lebih dekat Md. Ghani bin Mat dari Kampung Chenderong Batu, Wakaf Bharu, Kelantan yang diiktiraf sebagai Adiguru Kraf Blok Batik oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada tahun 2011 berdasarkan kualiti dan kekemasan blok batik yang beliau hasilkan. Beliau turut memenangi pertandingan ‘UNESCO Award of Excellence for Handicraf 2012’ dan mendapat tempat pertama kategori kraf logam bagi Pertandingan Produk Kraf sempena Hari Kraf Kebangsaan 2013. Blok batik buatan En. Md. Ghani cukup bagus dan tiada tandingannya. Blok buatannya sentiasa menjadi ikutan dan contoh kepada tukang-tukang blok batik lain di Kelantan.

Ikuti episod bersama Adiguru Kepala Singa iaitu Siow Ho Phiew yang dipanggil Sifu Siow dari Subang 2, Shah Alam. Beliau mengusahakan replika kepala singa ini sejak tahun 1986. Beliau mula terlibat dengan pembuatan kepala singa ini sejak remaja lagi semasa menyertai pasukan tarian singa. Beliau sering dijemput untuk menjadi juri bagi pertandingan tarian singa. Berikutan keunikan kepala singa yang dihasilkan oleh Sifu Siow, beliau bukan sahaja mendapat banyak tempahan dari Amerika, Taiwan, Singapura dan negara-negara Eropah tetapi juga dari China, negara asalnya tarian singa.

Menerusi episod berikutnya penonton dibawa ke Kg. Rampayan Laut, Kota Belud, Sabah untuk mengenali Puan Hajah Pandian Haji Sulaiman, seorang Adiguru Kraf Tenunan Sambitan. Penduduk Kg. Rampayan Laut rata-ratanya adalah nelayan tetapi cukup terkenal dengan hasil tenunannya. Tenunan Sambitan sangat istimewa berbanding dengan tenunan lain kerana kedua-dua belah hasil tenunan ini boleh dipakai. Hajah Pandian yang berbangsa Iranum adalah seorang wanita cekal, ibu penyayang dan adiguru yang disayangi. Beliau mampu menghafal 30 jenis corak tenunannya dan berupaya mencipta corak baru berasaskan alam semula jadi. Walaupun beliau seorang yang buta huruf tetapi atas usaha dan kegigihannya, beliau telah dianugerahkan gelaran Adiguru Kraf Tenunan Sambitan pada tahun 2006.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert IMAGINE DRAGON Yang Gempak, Umum Single Terbaru WHATEVER IT TAKES

Apa Kes Farid Kamil Ditahan Tampar Polis di Balai?