in

Senarai Pembaharuan dalam Anugerah Industri Muzik 19

Pengumuman Kategori Pencalonan, Syarat Kelayakan Dan Rakan-Rakan Kerjasama AIM 19

Kategori pencalonan, syarat kelayakan dan kriteria yang ditetapkan AIM tahun ini dalam setiap kategori pencalonan untuk edisi ke-19 acara anugerah muzik perdana Malaysia, ‘Anugerah Industri Muzik’ (AIM), diumumkan hari ini oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

En. Rosmin Hashim, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur RIM AIM 19 memaklumkan bahawa acara Anugerah AIM tahun ini akan berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam pada hari Sabtu, 17 November 2012.

Oleh kerana Stadium Putra, lokasi acara anugerah tahun lalu tidak dapat digunakan kerana sedang diubahsuai, RIM dan rakan penyiarannya, Astro telah memutuskan untuk menganjur AIM di Stadium Melawati tahun ini. Kapasiti stadium tersebut adalah kecil sedikit daripada Stadium Putra tetapi cukup besar untuk menampung sejumlah besar peminat dan penyokong artis-artis dan industri muzik Malaysia untuk menghadiri Anugerah AIM secara langsung”, kata beliau lagi.

AIM

RIM percaya bahawa penganjuran acara anugerah yang memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada bakat-bakat yang berpangkalan di Malaysia akan membantu dalam merangsang kreativiti dan pembangunan dalam industri muzik tempatan. Beliau kemudiannya mengumumkan perkara-perkara berkenaan pencalonan, tempoh dan syarat kelayakan, kategori anugerah dan kriteria, penghakiman dan rakan kerjasama:

Tempoh Kelayakan & Pencalonan
Pencalonan Anugerah AIM 19 tahun ini terbuka kepada Lagu-lagu/Album-album dalam Bahasa Melayu dan Inggeris yang dikeluarkan di Malaysia dari 1 Julai 2011 hingga 30 Jun 2012. Tempoh Pencalonan telah dibuka pada hari Isnin, 16 Julai 2012 dan akan ditutup pada hari Rabu, 15 Ogos 2012 tepat jam 5 petang.

Borang-borang pencalonan berkenaan telahpun diedarkan kepada semua ahli-ahli RIM.

Kategori-kategori Anugerah
Untuk tahun ini, RIM mengekalkan kategori-kategori di bawah untuk Anugerah AIM:

  1. Artis Baru Terbaik
  2. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)
  3. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita)
  4. Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu
  5. Kulit Album Terbaik
  6. Rakaman Album Terbaik
  7. Video Muzik Terbaik
  8. Lagu Pop Etnik Terbaik
  9. Lagu Nasyid Terbaik
  10. Lagu Rock Terbaik
  11. Lagu Pop Terbaik
  12. Lagu Hip Hop Terbaik
  13. Lagu Inggeris Tempatan Terbaik
  14. Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara
  15. Anugerah Kembara
  16. Anugerah Sri Wirama
  17. Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu
  18. Lagu Terbaik
  19. Album Terbaik

Sebagai sebahagian daripada perancangan untuk terus memacu industri muzik tempatan, RIM bakal menganjurkan dua (2) lagi acara Anugerah AIM secara berasingan untuk mengiktiraf dan meraikan pencapaian rakaman muzik tempatan dalam bahasa Cina dan India. Butir-butir lanjut mengenai acara-acara tersebut akan diumumkan pada bulan-bulan akan datang.

AIM

Perubahan Kriteria
1. Syarat kelayakan untuk penulis-penulis lagu telah diubah untuk membolehkan pencalonan lagu-lagu yang telah digubah oleh penulis-penulis lagu asing yang berpangkalan di Malaysia dan telah memeterai perjanjian sebagai penulis lagu secara eksklusif dengan Penerbit muzik Malaysia yang serupa dengan syarat yang telah ditetapkan untuk artis-artis yang berkelayakan. Syarat kelayakan untuk penulis-penulis lagu adalah seperti yang berikut:

(a) Mana-mana komposer/penulis lirik yang merupakan seorang warganegara Malaysia;

(b) Mana-mana komposer/penulis lirik dengan status pemastautin tetap dan menetap di Malaysia sekurang-kurangnya untuk enam bulan setahun untuk dua tahun berturut-turut sebelum tarikh acara Anugerah tersebut (iaitu ketika tempoh kelayakan dan tempoh kelayakan terdahulu);

(c) Mana-mana komposer/penulis lirik asing yang berpangkalan di Malaysia untuk sekurang-kurangnya enam bulan setahun untuk dua tahun berturut-turut sebelum tarikh acara Anugerah tersebut (iaitu ketika tempoh kelayakan dan tempoh kelayakan terdahulu) dan memeterai perjanjian sebagai penulis lagu secara eksklusif dengan Penerbit muzik Malaysia.

2. Syarat kelayakan untuk artis-artis adalah seperti yang berikut:

(a) Mana-mana artis yang merupakan seorang warganegara Malaysia;

(b) Mana-mana artis dengan status pemastautin tetap dan menetap di Malaysia sekurang-kurangnya untuk enam bulan setahun untuk dua tahun berturut-turut sebelum tarikh acara Anugerah tersebut (iaitu ketika tempoh kelayakan dan tempoh kelayakan terdahulu);

(c) Mana-mana artis asing yang berpangkalan di Malaysia untuk sekurang-kurangnya enam bulan setahun untuk dua tahun berturut-turut sebelum tarikh acara Anugerah tersebut (iaitu ketika tempoh kelayakan dan tempoh kelayakan terdahulu) dan memeterai perjanjian sebagai artis ahli syarikat rakaman dan/atau syarikat Penerbitan RIM.

Dalam sesebuah kumpulan atau duo, sekurang-kurangnya 50% daripada ahli-ahli kumpulan tersebut mesti memenuhi sekurang-kurangnya salah satu daripada syarat di atas. Anggota Majlis RIM berhak menggunakan budi bicara untuk memberikan kelayakan kepada sebarang artis yang tidak memenuhi syarat-syarat di atas dalam situasi khas di mana, sebagai contoh, artis yang berkenaan mempunyai hubungan sejarah dan budaya yang erat dengan Malaysia.

3. Dalam kategori ‘Lagu Hip Hop Terbaik’, pencalonan-pencalonan dari lagu-lagu dalam Bahasa Inggeris kini dibenarkan. Kriteria kelayakan untuk kategori ini adalah seperti yang berikut:

  • – Penghakiman berdasarkan penggunaan genre (termasuk Rap, R&B dll).
  • – Kualiti lagu.
  • – Susunan muzik.
  • – Kualiti rakaman dan penerbitan
  • – Persembahan vokal (jika berkaitan).
  • – Dalam Bahasa Malaysia dan/atau Bahasa Inggeris.
  • – 100% ditulis oleh penulis lagu/lirik Malaysia tertakluk kepada kriteria kelayakan.
  • – Sama ada Rakaman Asas, ‘Mix’ dan/atau ‘Mastering’ mestilah dibuat di studio di Malaysia.

Penghakiman Anugerah
Kaedah sebelum ini di mana ahli-ahli PAIMM (Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia) menghakimi pencalonan-pencalonan AIM telah diganti tahun ini dengan penghakiman oleh panel hakim-hakim pakar terpilih yang terdiri daripada pengamal terkenal dari industri muzik tempatan dan dipengerusi oleh seorang Ketua Hakim. Pengurusan dan pentadbiran proses penghakiman tahun ini akan dikendalikan oleh MACOMM Management Services, sebuah firma profesional bebas yang pernah menyelia pentadbiran, antara lainnya, “Anugerah 4A’s Kancil’, ‘Anugerah Effie Malaysia’ dan ‘Anugerah Media Malaysia’ untuk industri media dan pengiklanan.

AIM

Juruaudit
KPMG telah dilantik sebagai juruaudit penghakiman yang baru oleh RIM menggantikan Ernst & Young.

Rakan-rakan Kerjasama
Tahun ini, Astro RIA (Saluran 104) dan ERA fm (103.3) sekali lagi menjadi stesen penyiaran televisyen dan radio rasmi masing-masing untuk AIM 19.
Encik Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro berkata, “Pihak kami amat berbesar hati meneruskan kerjasama dengan pihak AIM dan kembali selaku media penyiar televisyen dan radio rasmi untuk penganjuran AIM yang ke 19 buat tahun yang kedua berturut-turut.

Menerusi perjanjian yang telah termeterai ini, pihak Astro akan terus memberikan promosi yang meluas sekaligus mempertabatkan majlis penganugerahan industri muzik terbesar di Malaysia yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat negara ini pada setiap tahun.”

Beliau turut menambah, “Sejajar dengan tradisi kami dalam menyokong perkembangan industri kandungan tempatan dengan menawarkan pengisian kandungan terbaik buat para pelanggan menerusi platform yang sedia ada, pihak Astro amat komited untuk terus menyokong misi AIM dalam mengenal pasti bakat dan produk muzik tempatan yang unggul dan berkualiti selain mengangkat jasa penggiat seni muzik tempatan agar muzik yang hebat dan bermutu akan terus kekal terpelihara dalam budaya kita.”

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jadual Waktu Imsak Berbuka Puasa Negeri Seluruh Malaysia Tahun 1433H 2012M

Untuk Anda Yang Mahu Berjimat, Astro Melancarkan Prabayar NJOI Bayar & Tonton