in , ,

10 Anak Muda Tubuh Grup Hip Hop, ISOBAHTOS Pertaruh Arjiibii (RGB)

Hip hop tidak lagi menjadi muzik bermusim apabila kebanyakan penyanyi baharu yang muncul mempertaruhkan genre lagu ini dengan menampikan penyanyi rapper muda yang berbakat. Baik secara solo mahu pun berkumpulan, apa yang menarik perhatian adalah idea dan kreativiti dibawakan dalam lagu itu segar serta memberi inspirasi ramai orang.

Apa yang pasti, kemunculan mereka ini memberi petanda baharu yang mana generasi muzik hari ini sentiasa mahu memberikan kelainan dalam setiap karya dihasilkan sekaligus meletakkan mereka di liga tersendiri.

Begitu juga dengan kumpulan hip hop asal Sabah ini yang menggelarkan diri mereka sebagai ISOBAHTOS. Misi mereka bukan saja memperkenalkan bakat dimiliki sebagai rapper dan penulis lagu, tapi apa yang mahu ditonjolkan adalah muzik dan karya dihasilkan itu.

Dianggotai oleh 10 anak muda, ISOBAHTOS juga dikenali sebagai IsoB, visi mereka untuk membawa, memartabatkan dan mewakili unsur seni budaya dan warisan tradisi masyarakat Borneo melalui muzik mereka dalam industri. 

Semangat ISOBAHTOS Dalam Arjiibii (RGB)

Semangat ISOBAHTOS Dalam Arjiibii (RGB)

Anggota ISOBAHTOS terdiri daripada Mohd Azizan Danial Abdullah (A.D); Diji Panis (D&G); Jay Adner James (ghidd); Ian Josue Jaideh (IAN J.); Oliver Ordine (Ibherrrr); Ramziwazizi (RamziAli); Quenner Mitchell Pauzi (Quenner M.); Roysten Habirin Lapongan (RODB); Jesper Evans Dumali (RYT) dan Carey Didier Chin Zao Yuan (YERAC).

Nama ISOBAHTOS berasal daripada perkataan ‘Aiso’ yang bermaksud ‘Tidak’ dalam bahasa Kadazan Dusun dan ‘Batas’ yang bermaksud ‘Had’. Ini mewakili misi mereka untuk mencipta muzik dengan menggunakan unsur bunyi tradisional asli yang diselitkan dengan instrumen moden. 

Selepas membuat debut mereka pada 30 Ogos 2021 dengan single pertama berjudul Tiada Batas, terbaharu ISOBAHTOS muncul dengan single baharu, ARJIIBII (RGB) yang dilancarkan secara rasmi pada 8 April di saluran YouTube ISOBAHTOS.

Menurut RODB, lagu ARJIIBII (RGB) yang dihasilkan sepenuhnya oleh ISOBAHTOS dan IsoMeds Studio itu membawa dan memberi semangat kepada pendengar untuk tidak berhenti dalam melakukan apa yang diimpikan.

“Pada pendapat kami lagu ini adalah lagu yang memberi semangat kepada pendengar untuk tidak berhenti dalam melakukan apa yang diimpikan. Berfikir dua kali sebelum melakukan sesuatu. Ini terlalu banyak warna dalam kehidupan. Hanya kita yang boleh memilih warna kita sendiri.

“Warna menunjukkan persepsi seseorang terhadap dunia. Merah, hijau, biru adalah warna utama cahaya yang melukis kehidupan seharian kita. Kita boleh melihat berjuta-juta warna melalui mata kita, tetapi setiap daripada kita hidup dalam dunia kita sendiri. 

“Dan dunia ini mungkin sangat berbeza antara satu sama lain Setiap daripada kita mewakili warna yang berbeza dan matlamat yang berbeza, tetapi kita terus bergerak walaupun menghadapi pelbagai halangan dan rintangan.

“Dalam setiap usaha untuk menjadi berjaya tidak kira dalam apa jua keadaan, akan sentiasa ada seseorang di sebalik setiap percubaan yang bertindak sebagai pemangkin ke arah mengejar matlamat itu, menjadikan kita lebih terdorong untuk berdiri teguh dengan kejayaan,” katanya.

Semangat ISOBAHTOS Dalam Arjiibii (RGB)

Apa yang pasti, di sebalik penghasilan lagu ARJIIBII (RGB) itu, ia sebenarnya menceritakan kisah keluarga seorang daripada anggota kumpulan ini.

“Lagu ini menceritakan secara ringkas mengenai di sebalik ahli sebuah keluarga ISOBAHTOS (ISoB) iaitu kesusahan melalui segala rintangan kehidupan. Lagu ini menjadi satu motivasi untuk terus bangkit dan menghadapi cabaran. Lagu ini juga tribute kepada arwah mama Bobby,” kata D&G.

Berkongsi mengenai proses penulisan lagu, RamziAli berkata, demo lagu ARJIIBII (RGB) sudah dihasilkan sejak 2019 lagi.

“Proses penulisan lagu ini bermula dengan satu demo yang belum siap di mana seorang ahli kumpulan kami, ghidd yang merakamkan demo lagu ini pada 2019. Selepas itu kami semua bersetuju untuk menulis semula lagu itu dan diberikan nafas baharu melalui penulisan baharu dan penambahan ahli yang lain dalam lagu ini. 

“Lirik dan melodi yang ditulis adalah hasil daripada kami sendiri melalui banyak perkongsian idea dan juga ilham untuk menyiapkan lagu ini,” katanya.

Semangat ISOBAHTOS Dalam Arjiibii (RGB)

Menurut ghidd, proses rakaman lagu ARJIIBII (RGB) ini cukup mematangkan mereka.

“Bagi proses rakaman lagu, pada kali ini setiap ahli kumpulan bertambah baik dan semakin profesional dari segi vokal dan teknik rakaman. Hasil teguran dan pembelajaran baru yang diberi daripada orang sekeliling membuatkan kami lebih mudah untuk memperbaiki teknik rakaman. Masing-masing daripada kami saling membantu antara satu sama lain untuk menghasilkan lagu yang berkualiti dan mampu diterima oleh smua pihak,” katanya.

Bagi IAN J dan Ibherrrr, mereka berpendapat proses rakaman video muzik (MV) lagu ARJIIBII (RGB) berbeza dari single pertama.

“Proses rakaman MV lagu ini sangat berbeza dari apa yang kami buat pada single sebelum ini. Lokasi penggambaran kali ini sejuk dan berangin. Apatah lagi, lagu yang dihasilkan ini sangat berbeza dari lagu sebelum ini yang memerlukan kami untuk melakukan watak dan penceritaan yang lebih mendalam dan lebih tenang.  Ia mengambil masa tiga hari malam malam di mana semua pasukan produksi berkhemah di sekitar kawasan rakaman. Ia adalah pengalaman yang hebat buat kami semua,” katanya.

Semangat ISOBAHTOS Dalam Arjiibii (RGB)

Bagaimanapun, RYT dan Quenner M mengakui mereka tetap berdepan cabaran ketika menghasilkan lagu dan MV ARJIIBII (RGB) ini.

Cabaran lagu dan proses untuk menyiapkan lagu ini agak mencabar dan banyak perkara berlaku sepanjang rakaman dijalankan. Kami agak susah untuk menghabiskan rakaman kerana ada beberapa unsur lagu yang kami tidak berpuas hati dari segi kualiti lirik dan juga giliran artis dalam lagu ini. 

“Namun, kami berjaya menghasilkan sebuah karya selepas membuat beberapa pertukaran hasil dari kerjasama beberapa pihak terbabit untuk mencapai hasil yang berkualiti hanya dalam beberapa minggu.

“Dari segi cabaran dalam pembikinan MV ini adalah untuk merealisasikan idea yang ada. Ini kerana terlalu banyak yang ingin disampaikan. Kami banyak kali berbincang dan membuat pemilihan idea yang sesuai untuk dimasukkan dalam MV,” katanya.

Bagi A.D dan YERAC, dari proses penghasilan lagu dan pembikinan MV memberikan pengalaman yang luar biasa apatah lagi dapat bekerjasama dengan individu yang kreatif.

“Pengalaman yang paling terbaik apabila Video Production Huntwo menjadi sebahagian daripada keluargga ISoB.

“Apa pun, kami berharap pendengar dan penonton dapat menerima lagu ini. Walaupun sepanjang pembikinan MV terdapt banyak rintangan tapi kami harap semua usaha dan kerja keras ini berhasil. Kami hanya mampu doakan yang terbaik. Namun apa pun Tuhan yang menentukan,” katanya.

ARJIIBII (RGB) sudah pun tersedia di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala video muziknya pula boleh ditonton di saluran YouTube Isobahtos mulai jam 9 malam.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Baja Milagro Bukan Sekadar Dijual, Malah Mendidik Manusia Hidup Sihat

Siti Nurhaliza Bawa Imaginasi Kanak-Kanak Rentas Masa Ke Tahun 2170