in ,

Selepas Dilantik Jadi TPM, Ismail Sabri Arah 56 Kilang & Premis Perniagaan Ditutup

Ramai rakyat yang mengharapkan perubahan selepas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Semoga kes Covid 19 di negara kita semakin berkurangan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara rasminya memulakan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri semalam iaitu 9 Julai 2021.

“Pada hari Jumaat yang penuh barakah, saya memulakan tugas dengan menggalas amanah yang lebih besar demi rakyat Malaysia dan negara yang saya cintai.

“Insya Allah, saya akan melakukan yang terbaik,” katanya dalam satu entri yang dimuatnaik di dalam akaun Twitter rasmi beliau.

Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kelmarin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Pelantikan Ismail Sabri telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan berkuat kuasa serta-merta.

Selain Ismail Sabri, Muhyiddin turut melantik Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

Sebagai Menteri Kanan, beliau akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai oleh Datuk Seri Ismail Sabri.

56 kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan diarah tutup

Kuala Lumpur: Sebanyak 56 premis membabitkan kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, semalam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penutupan itu hasil tindakan pasukan Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan 83,031 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara membabitkan kekuatan 20,311 anggota.

“Pemeriksaan dilakukan terhadap 2,568 kilang, 16,960 premis perniagaan, 900 tapak pembinaan dan 379 asrama penempatan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu susulan pengumuman kerajaan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan dan SOP diwartakan.

“Tiada lagi pintu belakang dibuka bahkan akan dikunci serapatnya,”

– Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

TPM akan pastikan tiada lagi pintu belakang dibuka – Pemuda Umno

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mengutamakan tuntutan rakyat termasuk memastikan tindakan tegas diambil kepada kilang-kilang yang menyumbang sebilangan besar terhadap jangkitan Covid-19 di negara ini.

Asyraf berkata ia merupakan salah satu daripada 10 tuntutan yang disampaikan kepada Ismail tengah hari tadi untuk menambah baik bantuan rakyat yang dirumuskan oleh pihaknya.

“Datuk Seri (Ismail) amat komited dan bersetuju untuk jadikan semua #TuntutanRakyat ini sebagai keutamaan beliau setelah dilantik sebagai TPM (timbalan perdana menteri).

“Bukan itu sahaja, Insya-Allah, dalam isu PKPD (perintah kawalan pergerakan diperketatkan) ‘total lockdown’, beliau juga akan pastikan tindakan tegas diambil untuk tiada lagi kompromi untuk membolehkan kilang-kilang penyumbang infeksi virus dibuka sewenangnya.

“Tiada lagi pintu belakang dibuka bahkan akan dikunci serapatnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Untuk rekod, sebelum ini, dilaporkan bahawa kluster tempat kerja merangkumi 16 peratus daripada semua kes Covid-19 di Malaysia dari 1 Jun hingga 1 Julai, sementara kluster yang berkaitan dengan sektor pembuatan menyumbang 10 peratus daripada semua kes.

Terdapat 227 kluster sektor pembuatan yang dikenal pasti dalam tempoh ini, 85 daripadanya dikesan di Selangor.

Kilang telah dikaitkan dengan penularan dalam jumlah yang tinggi sebelum ini, termasuk kluster Teratai yang merupakan kluster terbesar yang diketahui hingga 29 Mei ketika Kementerian Kesihatan berhenti memberikan kemas kini berkala mengenai kluster Covid-19.

Sementara itu, antara 10 cadangan yang dikemukakan Pemuda Umno adalah menyegerakan Bantuan Khas Covid (BKC) tanpa menunggu bulan Ogos, memandangkan rakyat kian terdesak.

Selain itu, mereka juga menuntut agar kerajaan mempermudahkan proses rayuan tanpa perlu menyediakan pelbagai dokumen pembuktian pengurangan pendapatan.

“Karenah birokrasi akan menyusahkan rakyat terutamanya M40 yang hanya menerima RM250 (takut-takut kos nak merayu akhirnya yang tinggal berbaki jika berjaya sekalipun sudah tidak berbaloi).

“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) wajar ambil kira data terkini, memandangkan ramai di kalangan rakyat terutamanya M40 yang jatuh ke kategori B40 sejak awal tahun ini ketika PKP 2.0 dan makin parah apabila PKP 3.0,” katanya.

Selain itu Asyraf, i-Citra wajar ditambah baik dengan membenarkan pengeluaran secara sekaligus berbanding berkala setiap bulan, dan kadar yang lebih tinggi mengikut simpanan pencarum.

Malah, dia turut meminta supaya akses pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipermudahkan pengeluaran, serta memberikan akses pengeluaran yang lebih tinggi kepada golongan T20 dan M40.

“Selaraskan kaedah penawaran moratorium yang dibuat oleh bank-bank dengan tidak mengenakan faedah terakru sehingga rakyat terpaksa membayar kos pinjaman lebih tinggi akibat memilih moratorium.

“Perluaskan juga moratorium kepada agensi kerajaan termasuk LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam),” katanya.

Adakah Ismail Akan Pangku Tugas Kalau PM Letak Jawatan, Kit Siang Tampil Mengulas Perkara Ini

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang melihat peluang untuk Ismail Sabri Yaakob memangku jawatan perdana menteri jika Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai tipis.

Menolak kenyataan naib presiden Umno Khaled Nordin semalam, Lim menegaskan seluruh kabinet akan terbubar jika perkara itu berlaku.

“Apa yang lebih mengejutkan, kenyataan itu dibuat tanpa mempedulikan fakta perlembagaan bahawa kabinet akan terbubar selepas perdana menteri meletak jawatan,” katanya.

Justeru, katanya, yang akan berlaku adalah “kelumpuhan sebuah kerajaan kleptokratik di tengah-tengah negara sedang berperang melawan pandemik Covid-19”.

Semalam, Khaled berkata Ismail yang baru dilantik sebagai timbalan perdana menteri boleh mengambil alih jawatan perdana menteri sekiranya Muhyiddin meletakkan jawatan.

Katanya, Ismail boleh menjadi pemangku perdana menteri dan menjalankan tugas Muhyiddin.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Zoey Rahman Dikatakan Sedang Hangat Bercinta dengan Zarina Anjoulie

Selangor Cadang Untuk Buka Sektor Ekonomi Yang Benar-Benar Perlu Sahaja