in ,

Sekitar Pembukaan Forum Filem Antarabangsa Tashkent

Berlangsung meriah di Hotel International Tashkent, Uzbekistan pada malam Sabtu lalu, acara perasmian Forum Filem Antarabangsa Tashkent Golden Guepard kali ketiga turut dihadiri oleh dua pelakon terkenal tanah air, Nur Fathia dan Miera Leyana.

Fathia dan Miera menggayakan busana yang direka khas oleh Cosry untuk acara karpet merah dan makan malam gala secara tidak langsung telah menarik perhatian beberapa pengarah serta selebriti terkenal dari Uzbekistan dan Rusia.

Pelakon Fathia telah ditawarkan untuk muncul dalam klip video penyanyi terkenal Uzbekistan, Atarbak Dotsent Maxashev yang bakal memulakan penggambaran di Kuala Lumpur tidak lama lagi sementara Miera disunting oleh pengarah filem Rusia, Said Muxtozor untuk membintangi filem terbaharunya, Jealous.

Nur Fathia yang ditemui usai acara karpet merah berkata:

“Memang saya tidak menjangka akan mendapat tawaran daripada produser antarabangsa tapi semuanya masih dalam peringkat perbincangan. Paling melucukan apabila ramai artis dari Uzbekistan menyangka saya berasal dari negara mereka dan mula berinteraksi dengan saya dalam bahasa ibunda mereka.”

Fathia dan Miera diterbangkan ke Uzbekistan oleh The Rafflesia Pearl Centre untuk menyaksikan pembukaan Forum Filem Antarabangsa Tashkent Golden Guepard dan menyertai Minggu Fesyen Tashkent yang mana pereka fesyen Malaysia, Alia Bastamam memperagakan busananya.

Manakala, pereka kasut terkenal antarabangsa, Datuk Profesor Jimmy Choo OBE pula diundang selaku tetamu kehormat acara itu. Rombongan ke Uzbekistan diuruskan oleh Bill Bora selaku Pegawai Publisiti The Rafflesia.

Forum Filem Antarabangsa Tashkent kali ketiga itu diadakan lebih santai berbanding penganjuran dua tahun berturut-turut sebelum ini bagaimanapun masih menjaga kemegahan acara terbesar di Uzbekistan itu.

Untuk mengeratkan jalinan antara peserta yang bertanding dalam tiga kategori utama iaitu filem animasi, filem pendek dan filem cereka tahun ini, penganjur memberikan peluang kepada penggiat filem serta para juri berinteraksi pada malam pembukaan acara itu selain mempersembahkan senarai trofi kepada bakal pemenang tahun ini.

Menarik sempena acara pembukaan Forum Filem Antarabangsa Tashkent, tetamu dari negara luar antaranya India, Perancis, Brazil, China, Jepun termasuk Malaysia dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional oleh kumpulan Sabo.

Selaku ketua juri tahun ini iaitu pengarah filem terkenal China, Zhang Yuan mengharapkan acara berlangsung lancar dan mengharapkan persaingan sihat akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

“Saya bersyukur kerana diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada acara hebat tahun ini dan dapat bekerjasama dengan penggiat filem dari negara lain. Ini kali pertama saya ke Uzbekistan dan sudah jatuh cinta akan keindahan serta keunikan negara ini. Pernah suatu ketika dulu Uzbekistan dan China dihubungkan dengan Laluan Sutera jadi saya mengharapkan haluan itu akan diteruskan menerusi acara ini.”

Tetamu dalam pada itu dihiburkan dengan persembahan bintang pertandingan bakat nyanyian Zo’r-Zo’r Star menerusi lagu Skyfall serta repertoir klasikal Andrea Bocelli oleh penyanyi opera Uzbekistan, Ramiz Usmanov dan Shirin Mamatova.

Tahun ini, Forum Filem Antarabangsa Tashkent dianjurkan serentak dengan Style.Uz Art Week yang menampilkan persembahan fesyen serta karya-karya seni berkualiti tinggi dari seluruh dunia.

Sepanjang acara itu, beberapa bengkel perfileman daripada pengarah serta penulis skrip terkenal akan diadakan selain tayangan naskhah filem yang akan dipertandingkan sepanjang acara selama seminggu itu. Acara penutup bakal berlangsung pada 24 Oktober 2013.

Budiey antara media yang dijemput khas untuk mewakili deligasi Malaysia ke Forum Filem Antarabangsa Tashkent Golden Guepard dan Minggu Fesyen di Tashkent, Uzbekistan.

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Firefly Places New Order For Mechtronix Flat Panel Trainer

Gambar Nur Fathia Fitting Baju Alia Bastamam RafflesiaStyleUz