in ,

Sekitar Pelancaran Drama Online Pertama Arahan Aziz M Osman

Di zaman serba canggih kini, makin ramai rakyat Malaysia yang kini mahir internet dengan wujudnya laman perkongsian video dan laman web rangkaian sosial seperti YouTube dan MySpace yang kini meraih populariti yang menakjubkan. GUA, portal laman web hiburan dan gaya hidup masa kini yang paling popular di Malaysia, mempunyai satu persamaan dengan portal-portal popular ini – menyumbang kandungan online yang unik serta menghiburkan bagi tontonan seluruh dunia.  

Aziz M Osman tidak ketinggalan mengikuti trend penggunaan internet yang popular masa kini. Pada 8 Julai lalu, GUA dan Anjung Saujana (M) Sdn Bhd dan Ace Motion Pictures dengan bangganya melancarkan drama ‘online’ pertama arahan beliau bertajuk Luna Fantasiku, drama berunsurkan komedi romantik yang terdapat secara ekslusif di gua.com.my

“Saya amat teruja dengan penerbitan Luna Fantasiku kerana ianya merupakan drama online pertama arahan saya. Apa yang lebih istimewa, saya telah menghasilkan beberapa buah babak aksi menggunakan skrin hijau kerana drama ini berinspirasikan komik Jepun manga. Peminat komik anime Jepun manga pastinya akan menggemari Luna Fantasiku, “ kata Aziz M Osman, pengarah yang telah banyak memenangi anugerah sepanjang penglibatannya dalam dunia perfileman.

Luna Fantasiku berkisar Midus, seorang lelaki yang kecewa dalam percintaan yang ingin mencari gadis idamannya. Sebagai seorang pelukis kartun yang banyak menghabiskan di ruang legar internet, misi pencariannya bermula di alam siber. Usaha pencarian onlinenya akhirnya berbaloi apabila Midus bertemu seorang gadis bernama Luna, yang pada awalnya hanya wujud dalam angan-angannya. 

Komedi romantik yang berinspirasikan karakter anime Jepun ini fokus kepada tema komik yang menjadi tarikan hiburan kepada generasi muda masa kini. Dengan penggabungan beberapa efek khas, penonton bakal menikmati sepenuhnya drama yang diolah secara kreatif.

Tambah Aziz lagi, “Amat mudah bagi penonton untuk menghayati karakter-karakter yang terdapat dalam Luna Fantasiku kerana karakter-karakter ini menggambarkan aktiviti remaja masa kini yang cenderung dengan cyber-chatting, pesanan ringkas SMS dan juga temu janji siber.”

Luna Fantasiku memperkenalkan barisan pelakon-pelakon baru dalam dunia seni lakonan. Ahmad Sakhee dan Miera Leyana diberi tanggungjawab memainkan peranan utama Midus dan juga Luna. Watak-watak utama ini disokong oleh Samsul Ariffin Mokhtar, Sharifah NurAzreen dan Shah Rizal Jazli.

Pasangan bercinta?

Menggunakan format online drama GUA, setiap episod Luna Fantasiku diolah dengan bijaknya dimana setiap episod hanya empat minit. Drama ini boleh ditontoton di gua.com.my bermula 11hb Julai 2008 di mana dua puluh episod menarik bakal menemui penonton.

“Kami sangat terharu kerana Aziz sudi mengarah drama terbaru kami ini. Aziz telah menggunakan kepakaran beliau untuk menghasilkan sebuah drama yang lebih baik dari jangkaan,” Kata M Zulkifli Abd Jalil, Pengurus Besar Portal Gaya Hidup Alt Media Sdn Bhd.

Lebih menarik lagi, Zulkifli tidak terfikir yang skrip Luna Fantasiku dihasilkan oleh salah seorang kakitangannya sendiri. Beliau sungguh terkejut dan pada masa yang sama amat kagum dengan kebolehan Khairul Shah Hassan, seorang Eksekutif Transkoder di Alt Media, menulis skrip yang begitu mantap.

“Saya telah menghantar skrip Luna Fantasiku ke syarikat produksi, Anjung Saujana dan mereka yang membentangkan skrip saya pada GUA. En Zul hanya mengetahui identiti penulis skrip yang sebenar sewaktu perbincangan pertama setelah skrip saya diterima oleh pihak GUA. Saya amat teruja kerana seluruh dunia kini boleh menonton cerita nukilan saya di GUA,” kata Khairul dengan senyuman yang lebar.

Luna Fantasiku bukan sahaja dapat ditonton di gua.com.my tetapi juga boleh ditonton di telefon mudah alih 3G melalui GUA Mobile. Cuma lakukan panggilan video dengan mendail *32223 dan ianya boleh ditonton dimana-mana dan bila-bila masa sahaja.

Sewaktu pelancarannya di Kafe The Apartment di The Curve Mutiara Damansara, para tetamu termasuk wakil media diberi peluang untuk menyaksikan trailer dan juga episode pilot Luna Fantasiku. Kesemua barisan pelakon bersama seluruh crew produksi belakang tabir Luna Fantasiku turut hadir untuk bermaha mesra dengan para hadirin dan ditemubual pihak media.

Ahmad Sakhee sebagai Midus

Sharifah Nur Azreen sebagai Sarah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pelakon Drama Wulan Giovani L. Tobing & Dhini Aminarti Di Malaysia

Jom Tonton Drama Luna Fantasiku