in ,

Sekitar Pelancaran Album Nasyid Mawi Allah Habeebi

ALLAH HABEEBI

Sebuah lagi album berkonsep ketuhanan buah tangan terbaru Mawi

Bertolak daripada album Mawi – Doa, Berzanji & Qasidah Berlagu (2007) yang berkonsepkan ketuhanan dan kemanusiaan dalam erti mengenali diri serta keinsafan, Mawi meneruskan kesinambungan kejayaan dari album tersebut dengan merakamkan sebuah lagi album berkonsep serupa berjudul Allah Habeebi.

Menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Encik Zainir Aminullah, “Kami memandang lebih serius penerbitan sesebuah album bukan sahaja hendak memberikan nikmat hiburan semata-mata tetapi lebih kepada pemakanan rohani dan juga hiburan bercorak spiritual.  Sebagai sebuah album kesinambungan seperti Allah Habeebi, pembikinan yang lebih baik diutamakan.

Sebagai menguatkan lagi hasrat kami dalam menjaga mutu dan kualiti album, kami telah melaburkan modal melebihi RM100,000 bagi menghasilkan album ini yang melibatkan kos studio, susunan muzik dan aspek teknikal yang lain.

Kami juga melihat  usaha ini sebagai sebuah pelaburan yang sangat berbaloi apabila album Allah Habeebi yang telah berada di pasaran sejak 28 Disember 2008 dan baru-baru ini sejak Februari 2009 sudah berjaya mencatat hasil jualan melebihi 15,000 keping di sebalik situasi kegawatan ekonomi yang melanda negara. Kami percaya, para peminat Mawi dan juga pencinta muzik berkonsepkan  ketuhanan dan kemanusiaan dapat menilai justifikasi sesebuah album itu benar-benar berkualiti sehingga perlu dimiliki.”

Terdahulu, penerima Anugerah Bintang Paling Popular tiga tahun berturut-turut (2005 – 2007) ini turut tersenarai dalam Malaysia Book of Records apabila memegang rekod jualan terlaris bagi album sulung “The Best Of Mawi World” apabila mencatat rekod jualan sebanyak 81,2000 unit dalam masa seminggu.

Album Allah Habeebi ini juga dilihat mendapat sambutan yang begitu popular apabila syarikat-syarikat utama telekomunikasi menerima lebih dari 50,000 muat turun muzik bunyi dering sejak album ini mula dipasarkan.

Single terbaru Mawi yang kerap berkumandang di radio-radio tempatan berjudul Sujud, hasil kolaborasi vokal bersama KRU. Ia  merupakan cubaan pertama Mawi berganding tenaga bersama penyanyi kumpulan berentak rap moderate KRU, menyanyikan lagu genre nasyid moden.

“Saya berasa sangat bersyukur apabila  lagu berjudul Sujud dan lagu Allah Habeebi berjaya menduduki tangga lima teratas dalam carta-carta lagu popular di stesen-stesen radio tempatan. Perkembangan ini juga telah membakar lagi semangat saya dalam pembikinan klip video kedua-dua lagu tersebut.

Saya juga telah diberi peluang buat kali kedua untuk menulis lirik untuk lagu ‘Hijab’ selepas percubaan saya yang pertama dalam penulisan lirik lagu untuk lagu ‘Ayah’ yang telah dimuatkan dalam album Kompilasi Lagu-Lagu Raya Akademi Fantasia 2007, “ ujar Mawi.

Terdapat lapan buah lagu baru dan lama yang diolah semula sebagai hadiah halwa telinga untuk para pencinta muzik berkonsepkan ketuhanan dan kemanusiaan ini.

Album ini diterbitkan sepenuhnya oleh Othman Mahmood di samping penerbit-penerbit bersekutu yang berkaliber seperti Farihin, M.Nasir dan Edry KRU yang sudah pasti menjanjikan sesuatu yang agak berlainan.

Keistimewaan album ini adalah dengan adanya penggunaan alat-alat muzik yang dimainkan secara langsung oleh pemuzik-pemuzik professional seperti keyboard yang diterajui oleh Firdaus dan Zul Mahat, sementara petikan gitarnya oleh Azman Alias, Man Keedal dan Napie Spider. 

Sementara itu, Fly, Kelly dam Napie Spider rancak mengalunkan bunyi dari gitar bass dan menampilkan pemain drum terkemuka; Zahid Ahmad. Album ini bertambah hebat apabila menerima sentuhan dari Roslan Aziz utk proses mastering di Amerika Syarikat.

Album Allah Habeebi ini juga turut dicalonkan untuk dua kategori dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) 2008 iaitu Album Nasyid Terbaik dan dan Lagu Nasyid Terbaik.

Senarai lagu-lagu dalam album Allah Habeebi:

1. ALLAH HABEEBI
Lagu:  Farihin
Lirik: Yasin

2. HIJAB
Lagu: Bad Hisham
Lirik: Mawi

3. TOLA’ AL BADRU ALAINA (menampilkan Brothers)
Lagu: Syeikh Qalam
Lirik: Syeikh Qalam
 
4. SERULAH NAMANYA
Lagu: M.Nasir
Lirik: Ad Samad

5. SUJUD (menampilkan KRU)
Lagu: Edry
Lirik: Edry

6. WAL-ASRI
Lagu: Pak Long
Lirik: Pak Long

7. TEMAN HAKIKI
Lagu: Ku Sham
Lirik: Dr Mohd Asri / Syeikh Qalam

8. SEROJA
Lagu: Hussein Bawafie
Lirik: Hussein Bawafie

Album terbitan Maestro Records ini boleh didapati di pasaran dengan harga RM 25.90 untuk cakera padat.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Trivia: Awal Ashaari Angkat Sape Ni?

Peraduan Jom Menonton Filem X-Men Origins: Wolverine