in ,

Sekitar Majlis Ramah Mesra Bersama Pelakon Bila Musang Berjanggut

Gelagat Lucu Musang Berjanggut Versi Moden

Pada 17 Mac lalu, TV3 telah mengadakan sidang media & majlis ramah mesra dengan pelakon drama Slot Lagenda – Bila Musang Berjanggut. Yang hadir pastinya, pelakon utama iaitu Fizo Omar dan Nur Fathia.

Menyusuli “SIONG”, sebuah karya kreatif yang pasti mencuitkan hati para penonton slot Lagenda di TV3 terbitan JS Pictures, “BILA MUSANG BERJANGGUT” bakal disiarkan mulai 29 Mac 2010, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang.

Drama bersiri 20 episod ini diadaptasi dari drama popular Allahyarham seniman Tan Sri P.Ramlee dan diberikan nafas baru dengan jalan cerita komedi dan melucukan. Gandingan barisan pelakon popular tanah air seperti Fizo Omar, Nur Fathia, Shahrulnizam, Sheila Rusly, Mahmud Ali Bashah, Kuna, Datuk Jalaluddin Hassan dan Zaibo pasti menceriakan lagi drama ini.

Menurut Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, “Siri terbaru ini memaparkan kelainan dalam slot Lagenda kerana Bila Musang Berjanggut merupakan sebuah adaptasi drama yang berunsur komedi. Slot Lagenda sering mengangkat cerita rakyat, dongeng dan lagenda yang akan diolah semula supaya bersesuaian dengan citarasa penonton sekarang. Kali ini, dengan kerjasama JS Pictures, kami juga berharap sambutan yang baik daripada penonton TV3 yang sentiasa meminati drama-drama tayangan TV3.”

Jinggo, pengarah drama

Bila Musang Berjanggut diterbit dan diarahkan oleh Azman Yahya (Jinggo) manakala Sofia Rhyland ialah penulis skrip.

Shahrulnizam SEBAGAI Orang Kaya Jamil

Memey Suhaiza sebagai Lina

Nur Fathia sebagai Cempaka

Sinopsis Drama Bila Musang Berjanggut

Hikayat mengisahkan tentang Orang Kaya Jamil (Shahrulnizam) berasal dari keluarga yang berada dan berstatus tinggi. Ayahnya, Tuan Termasyur (Datuk Jalaluddin Hassan) berpura-pura sakit tenat supaya Jamil pulang ke Malaysia dan berkahwin dengan gadis pilihannya.

Tanpa disangka, Tuan Termasyur mengahwinkan Jamil dengan 3 wanita berlainan kaum iaitu Melayu, Cina dan India serentak. Walaupun begitu, mereka tidak dikurniakan anak kerana Jamil disahkan mandul.

Waris amat penting bagi Jamil kerana dia bakal mewarisi harta keluarga Tuan Termasyur bernilai berbillion ringgit. Jika tidak, sepupu Jamil iaitu Mamat Trump berhak mendapat harta tersebut. Pelbagai kaedah perubatan dan cara alternatif telah dicuba, akhirnya mereka membuat keputusan untuk mengambil anak angkat.

Faridah aka Ferra (Sheila Rusly) muncul dalam kehidupan mereka dan berjaya mendapatkan seorang anak yang menepati kriteria Jamil iaitu Ashraff. Ashraff ditatang bagai minyak penuh dan diberikan pendidikan terbaik termasuk adat dan budaya ketiga-tiga ibunya. Oleh itu, Ashraff boleh bertutur dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil tanpa masalah. Namun, sejak usia 13 tahun, pelbagai ugutan muncul dalam keluarga mereka. Oleh kerana bimbang akan keselamatan Ashraff, Jamil menghantar Ashraff dan sepupunya Romeo sambung belajar ke luar negara.

Kembalinya Ashraff ke tanah air, Jamil mula khuatir jika Ashraff (Fizo Omar) tidak akan berkahwin dan harta keluarga Tuan Termasyur akan jatuh ke tangan Mamat Trump (Mahmud Ali Bashah) dan anaknya Romeo. Lalu dia meminta pertolongan Faridah aka Ferra untuk mencarikan calon isteri buat Ashraff.

Namun tiada seorang pun yang memikat hati anaknya. Ashraff mahu membuktikan kepada keluarganya bahawa dia akan menemui ‘wanita sejati’ yang mencintai dirinya dan bukan kerana harta kekayaan.

Ashraff bertemu dan terpikat kepada Cempaka (Nur Fathia), satu-satunya wanita yang berjaya melepasi segala ujian yang diberikan. Mereka disatukan sebagai suami isteri. Namun, kehadiran Cempaka di dalam keluarga Ashraff menimbulkan pelbagai gelagat lucu. Apakah yang terjadi selanjutnya?

Ikuti siri terbaru yang pasti mencuit hati dan berhibur dengan kompilasi muzik-muzik menarik yang akan membawa anda mengimbau kembali nostalgia filem lagenda tesebut. Jangan lepaskan peluang untuk menonton Bila Musang Berjanggut menerusi slot Lagenda, setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30petang, hanya di TV3 dan 8.30malam di TV9 bermula pada 29 Mac 2010.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Krew Produksi The Biggest Loser Asia Tidak Cekap?

Yatt Hamzah & Sheera Iskandar Drama Kasih Dalam Madu Cinta