in , ,

Saksikan Drama Melayu Terbaik Di TV3, Ini Senarai Tajuk Yang Wajib Ditonton!

Khusus untuk peminat setia drama-drama melayu, pastikan anda bersedia menantikan lebih banyak drama menarik yang telah diatur sepanjang bulan April ini.

Semestinya drama-drama yang ditayangkan menyelitkan unsur-unsur pengorbanan, tauladan, suka, duka dan hiburan. Slot Cerekarapilihan yang bersiaran setiap hari Jumaat jam 1.30 tengahari bakal memaparkan drama-drama seperti Di Luar Bukan Syurga, Garisan Luka, Terlerai Kasih dan Seiras yang menampilkan pelakon terkenal seperti Nabila Huda, Rita Rudaini, Fauzi Nawawi, Rosyam Noor, Rozie Rashid, Azean Irdawaty, Aida Raidzwill, Benji dan Jehan Miskin.

Manakala slot Pesona 3 menceriakan hujung minggu anda dengan menayangkan drama-drama klasik berjudul Si Badol, Raja Bersiong dan Tajul Ashikin yang dilakonkan oleh pelakon veteran seperti AR Badol, Mahmud June, Noormadiah, Raja Ismail, Julie Dahlan, Nordin Ahmad dan Roseyatimah. Bagi mereka yang gemar menonton pada lewat malam, saksikan slot Malay Telemovie yang membariskan cereka seperti Hadiah, Kereta Kuda dan Etika menampilkan pelakon seperti Abdullah Chik, Aida Rahim, Faizal Hussein, Razak Ahmad, Jasmin Hamid, Norazlin, TS Jeffr, Khairul Anuar, Shamsul Azhar dan ramai lagi.

CEREKAPILIHAN, JUMAAT, 1.30 TENGAHARI

Di Luar Bukan Syurga (3 April 2009)

Suraya mempunyai seorang adik bernama Haryati yang tinggal bersama dengannya dan suaminya Johan. Haryati menjalani kehidupan sosial dan perkara ini menimbulkan kebimbangan di hati Suraya dan Johan. Haryati marah dengan sikap Suraya yang baginya mengongkong, dia cuba untuk memporak perandakan rumahtangga mereka. Haryati mula memasang stategi bersama Zaki, iaitu bekas teman lelaki Suraya. Namun, apabila niatnya itu tidak berjaya Haryati melarikan diri ke Johor bersama Zaki yang ketika itu dikehendaki oleh pihak polis kerana melakukan jenayah berat. Malang nasib Haryati niatnya yang ingin lari dari dibelenggu kakaknya dirundung musibah apabila Zaki yang terdesak ketika itu melacurkan Haryati untuk melangsaikan hutangnya kepada Dino. Suraya dan Johan yang kebimbangan dengan kehilangan Haryati melakukan pelbagai ikhtiar untuk membawanya pulang ke rumah. Dapatkah Haryati diselamatkan daripada lelaki yang tidak berguna itu?
Pelakon: Rashidi Ishak, Nabila Huda, Rita Rudaini, Fauzi Nawawi

Garisan Luka (10 April 2009)

Nani sudah mendirikan rumahtangga bersama kekasihnya, Zaidi dan dikurniakan cahayamata lelaki bernama Hafiz. Sejak berkahwin Nani jarang balik ke kampungnya sehinggalah Hafiz berumur 3 bulan barulah Nani pulang ke kampung itupun kerana menjemput ibunya, Mak Pah tengokkan Hafiz yang selalu tidak sihat. Zaidi tidak suka Mak Pah tinggal bersamanya malah Puan Saadiah, ibu Zaidi selalu menghasut Zaidi supaya jangan terlalu memberi muka kepada Nani dan Mak Pah. Zaidi dan Puan Saadiah mula mereka cereka dan menghalau Mak Pah pulang ke kampung. Setelah beberapa ketika Nani menerima panggilan telefon dari jiran di kampung, memberitahunya Mak Pah jatuh sakit. Nani tidak dapat pulang ke kampung kerana Zaidi tidak membenarkannya. Zaidi tidak memberi kebenaran kerana dengan menuduh Nani sengaja tidak mahu pulang ke kampung kerana tidak mahu menjaga Puan Saadiah yang ketika itu sedang sakit. Bagaimanakah kesudahan kemelut kehidupan Nani yang tersepit antara suami yang dicintainya dan kasihnya kepada ibu?
Pelakon: Rosyam Noor, Rozie Rashid, Shahruddin Thamby, Khaty Azean, Afida Es

Terlerai Kasih (17 April 2009)

Kematian suami telah menyebabkan kehidupan Habibah sekeluarga menjadi susah. Dia terpaksa menanggung segala perbelanjaan rumah dan persekolahan anak-anaknya. Lebih-lebih lagi anaknya Usu dan Angah yang akan menghadapi peperiksaan besar. Anaknya yang sulung, Along pula berhasrat menangguh pengajiannya kerana mahu membantu ibunya menyara keluarga. Setelah mendapat pekerjaan mengajar sambilan di pusat tuisyen berdekatan, Nazri membatalkan hasratnya. Habibah terserempak dengan bekas kekasihnya, Cikgu Jalil dan semenjak itu dia mula cuba merapati Habibah kembali. Pelbagai dugaan dan kesusahan terpaksa ditempuhi oleh Habibah ketika membesarkan anak-anaknya itu. Suasana sedih sekali lagi menyelubungi keluarga Habibah tidak lama selepas itu, apakah yang telah terjadi?
Pelakon: Azean Irdawaty, Aida Raidzwill, Benji, Syukri Hashim

Seiras (24 April 2009)

Kamariah merupakan ibu tunggal kepada dua anak lelaki, Amir dan Amri yang mempunyai rupa paras yang seiras. Mereka berdua mempunyai karakter yang berbeza di mana Amir merupakan seorang yang pemalu dan mempunyai teman wanita bernama Zura manakala Amri pula mempunyai sikap yang peramah dan menuntut di luar negara. Kamariah menaruh hati terhadap Pak Ali yang merupakan jirannya merupakan bapa tunggal kepada anak lelakinya yang cacat, Keoi. Namun, Pak Ali tidak menunjukkan minatnya terhadap Kamariah kerana dia menyukai jururawat bernama Haizah yang menjaga Keoi. Haizah sering menegur Amir tetapi Amir tidak bersikap mesra lantaran sikapnya yang pemalu. Satu hari, Haizah agak terkejut apabila Amir mula mesra terhadapnya dan mengajaknya keluar. Tanpa pengetahuannya sebenarnya lelaki itu ialah Amri yang telah pulang dari luar negara. Apakah yang berlaku seterusnya?
Pelakon: Jehan Miskin, Aliza Abdullah, Fasha Sandha

PESONA 3, AHAD, 3.00 PETANG

Si Badol (5 April 2009)

Drama menarik ini menampilkan pelakon veteran, Badul sebagai bintang utama. Kisah bermula apabila Badol menyamar menjadi orang kaya dari Sarawak dan kemudiannya berkahwin dengan Milah. Selepas berkahwin dia menggunakan tipu helah untuk memperdayakan orang kaya dengan meminjam wang yang terlalu banyak. Bila berjaya mendapatkan wang itu dia telah menghilangkan diri. Akhirnya sikapnya itu telah dikesan dan menimbulkan masalah kepadanya. Berjayakah Badol memboloskan diri dari masalah yang dicarinya itu sendiri?
Pelakon: AR Badol, Mahmud June, Noormadiah , Raja Ismail, Julie Dahlan

Raja Bersiong (12 April 2009)

Cerita ini merupakan salah satu cerita seram yang diterbitkan oleh Maria Menado Production. Filem ini mengisahkan tentang seorang Raja (Malek Selamat) yang ketagih darah manusia. Perkara in terjadi semasa tukang masak terpotong jarinya untuk menyediakan santapan DiRaja. Setelah memakan santapan tersebut dia merasakan masakan itu sangat sedap yang telah bercampur dengan darah yang terpotong dari jarinya itu. Satu hari telah berlaku satu kejadian ganjil ke atas Raja. Sepasang batang siong telah tumbuh. Lama kelamaan baginda begitu ketagih darah lalu baginda menyuruh tukang masak supaya memasak seperti itu selalu. Demi desakan inginkan darah baginda secara diam-diam telah membunuh rakyat jelata untujk mendapatkan darah. Dalam usaha untuk menghalang perkara ini dari berlanjutan dan keselamatan isterinya, Comel dan puteranya, baginda telah menitahkan Datuk Gontor supaya mengurungnya. Demi kasih sayang seorang isteri yang setia, Comel cuba mengubati baginda Raja. Apakah kesudahannya?
Pelakon: Maria Menado, Malek Selamat, Ahmad Nisfu

Tajul Ashikin (26 April 2009)

Kisah seorang Tengku Mahkota bernama Tengku Ibrahim yang mula merasa bosan dengan kehidupan di istana dan protokol yang harus dilaluinya setiap hari. Justeru, beliau mula memasang keinginan untuk belajar mengenai dunia luar dengan menjalani kehidupan sebagai rakyat biasa. Akhirnya, beliau menyamar sebagai penjual kain bernama Tajul Ashikin. Ketika berniaga, kainnya dicuri oleh seorang budak. Apabila mengejarnya, Tajul berjumpa dengan kakak budak itu lalu hatinya terus terpaut. Namun, pada waktu sama berlaku pergolakan di kampung itu. Bagaimanakah kesudahan Tengku Ibrahim yang terlalu inginkan kehidupan yang baru itu?
Pelakon : Nordin Ahmad, Roseyatimah

MALAY TELEMOVIE, AHAD, 12.30 TENGAH MALAM

Hadiah (5 April 2009)

Nani telah kehilangan kedua-dua belah matanya akibat kemalangan yang turut mengorbankan bapa, ibu dan abangnya. Semenjak peristiwa hitam tersebut, Nani tinggal berasma datuknya, Pak Ibrahim yang merupakan seorang nelayan di kampung. Nani berkawan baik dengan Amir dan Siti malahan mereka pergi ke sekolah yang sama. Lantaran kecatatan matanya itu, Nani tidak mengetahui bahawa datuknya itu kini tidak sihat. Setelah tamat persekolahan, Nani dan Amir bekerja di bandar manakala Siti pula bekerja di Kuala Lumpur. Sementara itu, usahawan bernama Mohd Nor datang dari Kuala Lumpur mahu membeli tanah kampung orang nelayan kerana mahu membina sebuah hotel. Musa ditugaskan untuk memujuk orang kampung tetapi mereka menggunakan paksaan dan ugutan. Ramai orang kampung telah bersetuju setelah dijanjikan bermacam-macam tawaran tidak kurang juga yang bersetuju secara terpaksa. Namun, Pak Ibrahim masih berkeras mempertahankan tanah pusakanya itu. Berjayakah Pak Ibrahim bertahan?
Pelakon: Mahmud June, Emylia Hamid, Norman Hakim, Izi Yahya, Azwan Hj Ali

Kereta Kuda (19 April 2009)

Ariffin dan Hussin merupakan peniaga buah-buahan dan sayuran yang membuka gerai di tepi jalan. Satu hari, Lokman yang memiliki bengkel mahu menjual kereta lama kepada Ariffin dengan tujuan untuk menipunya. Atas desakan adiknya. Lin dan kasihankan ibunya yang terpaksa menaiki bas, Ariffin akhirnya bersetuju membeli kereta lama tersebut. Malangnya hari pertama Ariffin memandunya bersama Lin ianya sudah rosak. Nasib baik Pak Halim dan anaknya Nurul menolong dan menghantar mereka pulang. Lokman gembira kereta tua itu rosak kerana dia akan dapat wang untuk memperbaikinya. Dalam pada masa itu Hussin yang tahu serba sedikit tentang kereta cuba memperbaiki kereta tersebut. Ariffin sangat marah pada Lokman kerana menipunya dan pergaduhan telah tercetus!
Pelakon: Razak Ahmad, Jasmin Hamid, Norazlin, TS Jeffr, Khairul Anuar, Shamsul Azhar

Etika (26 April 2009)

Dato’ Shukri mempunyai sebuah syarikat pembinaan yang berjaya. Anak perempuannya, Syakina membantunya dalam urusan seharian syarikat itu. Dato’ Shukri juga mahu anak lelakinya,  Shahrizan yang belajar di luar negeri mengikut jejak kakaknya. Sekembalinya Shahrizan dari luar negara, dia membuka studio rakaman berkongsi dengan rakannya bernama Yunus kerana mahu menceburi diri dalam bidang muzik dan nyanyian. Pada mulanya, Dato Shukri menentang keputusan Shahrizan membuka studio itu, tetapi akhirnya membiarkan Sharizan mencuba di dalam bidang yang diminatinya itu. Sementara itu, Syakina mengambil alih perniagaan bapanya. Setelah album pertamanya laris, Shahrizan mula berkecimpung dalam syarikat pembinaannya sendiri di samping menguruskan studio rakamannya. Sebagai orang baru dalam perniagaan pembinaan, Shahrizan telah menggunakan cara yang salah untuk mendapatkan satu kontrak dengan cara merasuah seseorang. Apabila ayah dan kakaknya mengetahuinya, Shahrizan dimarahi kerana menyalahi etika yag diamalkan oleh bapanya selama ini. Apakah kesudahan drama Etika ini?
Pelakon: Abdullah Chik, Aida Rahim, Faizal Hussein, Razak Ahmad

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kemiskinan Bukan Penghalang : Dokudrama Kemasyarakatan Di RTM

Band KOTAK Promosi Album di Kuala Lumpur