in , ,

Band KOTAK Promosi Album di Kuala Lumpur

“Kehadiran Tantri banyak mengubah perjalanan seni Kotak kerana sebelum ini kami dirundung pelbagai masalah yang tiada hentinya” – POSAN

WALAUPUN kemunculan mereka pada permulaannya dalam industri seni seakan-akan tidak diendahkan, malah penyanyi asalnya iaitu Pare menarik diri, ia tidak langsung mematahkan semangat kumpulan dari seberang, Kotak untuk terus berjuang.

Tempat kosong Pare kini sudah digantikan dengan penyanyi berbakat besar, Tantri, yang merupakan pemenang vokalis terbaik pertandingan Dream Band 2005.

Meskipun terpaksa akur dengan penarikan diri Pare, namun ahli Kotak lain; Cella, Posan Tobing dan Chua, tetap menerima dengan hati terbuka kemasukan Tantri. Tiada sebarang sikap diskriminasi terhadap anggota baru.

Barangkali, kemasukan Tantri ke dalam Kotak memberi nafas baru kepada kumpulan itu apabila mereka mulai meraih perhatian hingga lagu-lagu mereka menjadi siulan peminat.

Kata pemain drum Kotak, Posan, dia cukup bersyukur apabila keserasian Tantri bersama kumpulannya lekas bersatu sekali gus melonjakkan penjualan album terbaru mereka, Kotak Kedua.

“Kehadiran Tantri banyak mengubah perjalanan seni Kotak kerana sebelum ini kami dirundung pelbagai masalah yang tiada hentinya.

“Tantri punya kelebihan tersendiri kerana vokalnya yang kedengaran rock walaupun menyanyikan lagu berentak balada.

“Dengan komitmen penuh yang ditunjukkan Tantri bersama Kotak, semangat kami untuk meneruskan perjuangan dalam arena seni terus mencapai tahap paling maksimum.

“Kini kami sudah boleh menarik nafas lega dengan terciptanya perubahan demi perubahan terhadap Kotak setelah melalui bermacam-macam kesulitan.

“Untuk album kedua ini, perkembangannya cukup positif hingga berada di luar dugaan kami. Kami sekarang sibuk dengan promosi album dari satu daerah ke daerah lain termasuk promosi di TV,”

MAMPUKAH Kotak menyaingi kumpulan popular yang sedia ada?

Nama Kotak yang ditafsirkan bergabung dalam empat penjuru diasaskan pada September 2004. Terbentuknya kumpulan itu adalah daripada gabungan peserta terbaik dalam pertandingan Dream Band pada tahun sama.

Masing-masing yang mewakili Kotak terdiri daripada juara bagi setiap kategori iaitu vokalis, pemain drum, gitar dan bass terbaik.

Mudah wujudkan keserasian

Dalam pada itu, wanita kecil molek, Tantri pula tidak mampu menyembunyikan perasaan teruja apabila disuakan tawaran untuk menyertai Kotak.

“Saya merupakan pemenang untuk kategori vokalis bagi Dream Band 2005. Setelah diberikan peluang untuk mewakili kumpulan ini, saya bingkas bersetuju tanpa menoleh ke belakang.

“Siapa sahaja yang tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini, bukan?” soal Tantri sambil tersenyum manis.

Sambung wanita yang punya stail rock apabila berpakaian itu, tidak sukar pada awalnya untuk dia membiasakan diri dengan anggota sedia ada Kotak.

“Walaupun dua daripada mereka adalah golongan lelaki, namun saya tidak lihat situasi ini sebagai penghalang untuk saya melibatkan diri dalam kumpulan ini.

BERSAMA orang kuat syarikat rakaman SRC, Tan Sue Loke yang sentiasa memberi keyakinan untuk Kotak mencuba pasaran di Malaysia.

“Kami sering bertemu di Jakarta untuk mengadakan sesi latihan dalam studio dan berbincang lebih lanjut tentang album.

“Bermula dari itu, saya mula terfikir untuk mengajak mereka keluar pusing-pusing sekitar kota dengan tujuan untuk mengenali lebih dekat sesama sendiri.

“Kalau kami berborak, kebiasaannya tajuk perbualan kami mencakupi tentang aliran muzik rock sekali gus merencana masa depan Kotak ke tahap lebih membanggakan.

“Memanglah setiap daripada kami ada pengaruh muzik tersendiri baik pemuzik dalam mahupun luar negara, namun kami masih dapat bersatu atas nama Kotak.

“Tidak sukar untuk mewujudkan keserasian antara satu sama lain. Kami semua bersikap terbuka dalam segenap hal termasuk berkaitan kehidupan.

“Terus-terang, senang sekali dapat bersama-sama sebagai satu kumpulan walaupun saya masih baru,” jelasnya sambil memandang tiga anggota Kotak lainnya.

Setelah didengari dengan lebih mendalam, album Kotak dibaluti dengan muzik yang agak ringan, namun mereka tetap ada karakter yang kuat dan tersendiri.

Vokal Tantri juga memperlihatkan warna dalam setiap lagu Kotak. Karakter suaranya terlontar setelah berpengalaman beberapa tahun menyanyi. Dalam setiap lagu, Tantri cuba menzahirkan gaya yang berbeza, tetapi masih dalam bulatan gaya rock 90-an. Itu rumusan awal tentang Kotak.

Kelainan Kotak Kedua

Berbicara lebih lanjut tentang kelainan album Kotak berbanding nashkah sulung mereka sebelum ini, kata Cella, sebelum ini Kotak terarah untuk mendukung konsep segmentasi.

“Kini dengan kelahiran Kotak Kedua, peminat dapat menyaksikan pembaharuan kami yang mengangkat format rock industrial.

“Kami tidak hanya membikin lagu-lagu rock rancak, sebaliknya ada juga lagu balada bertemakan cinta yang dimuatkan ke dalam album ini.

“Untuk album kedua ini juga, pengolahan lirik Kotak semakin kreatif dalam meneroka dunia cinta yang tiada sempadannya.

“Ini terlihat dengan judul lagu-lagu kami yang semakin dipelbagaikan seperti Kembali Untukmu, Tinggalkan Saja serta Mencintaiku Dan Dia.

“Kotak juga menampilkan nuansa muzik yang berbeza apabila mereka bergandingan bersama penulis lagu yang gigih menghasilkan karya hit, Dewiq untuk lagu Masih Cinta,” terangnya.

Sebanyak 12 lagu dimuatkan ke dalam album Kotak antaranya adalah Beraksi, Kosong Toejuh, Berbeda, Lagi Lagi, Tetap Ada, Terluka, Bayang Abadi dan Rock Never Dies.

Album Kotak diedarkan oleh Suria Records Sdn. Bhd. (SRC) dan sudah dipasarkan semenjak awal Januari lalu dalam bentuk CD pada harga RM29.90.

SENTIASA yakin mereka mampu membuka lembaran baru dalam karier nyanyian setelah sekian lama berhadapan dengan cabaran hebat.

Sebelum mengakhiri perbualan, Kotak sempat mengungkapkan agar kehadiran mereka dalam dunia muzik Malaysia dapat diterima oleh oleh rakyatnya tanpa ada sebarang prejudis.

“Kotak mencari ruang untuk mempromosikan album, pantas melebarkan sayap kami di Malaysia. Kami sudah bersedia untuk menggegarkan pentas persembahan dan menawan peminat rock di sini dengan alunan lagu-lagu Kotak.

“Kami harap dapat sukses di negara luar, selain dapat menstabilkan diri dalam negara sendiri,” doa Posan mewakili rakan Kotak lain.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Fahrin Ahmad | 19

Saksikan Drama Melayu Terbaik Di TV3, Ini Senarai Tajuk Yang Wajib Ditonton!

Penjelasan Gambar Johan Raja Lawak Peluk Ozlyn Wati