in , , , ,

Sajian 10 Rancangan Menarik Dalam Kempen Bersama TV AlHijrah Seisi Keluarga

Akur dengan kehendak Covid-19, kita harus membuat banyak perubahan dan penyesuaian kehidupan yang sebahagian besarnya memedihkan dan menuntut pengorbanan. 

Namun begitu, TV AlHijrah terus berdiri utuh menetapkan resolusi penyiaran sambil meniupkan semangat buat penonton setianya untuk membuka lembaran 2021 dengan azam dan iltizam bagi mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi. 

Terbaru, TV AlHijrah melancarkan kempen Bersama TV AlHijrah Seisi KeluargaKempen ini dilancarkan istimewa bagi memenuhi keperluan rohani penonton yang dahagakan rancangan-rancangan yang membaja nurani dan budi penonton seisi keluarga.

Kempen Bersama TV AlHijrah Seisi Keluarga akan bemula pada 28 November 2020 hingga 31 Januari 2021 dengan sajian lapan rancangan baharu serta dua kapsul istimewa.

Haflah Al-Quran

Antara rancangan-rancangan tersebut adalah Haflah, Jom Dengar Cerita, Cinta Suami Isteri, Filem 99 Cahaya Langit Eropa, Filem Bulan Terbelah di Langit Amerika, Hijrah Berselawat, Cinta Ilmu, My H.A.U.S, Kapsul Inilah Doaku dan Kapsul Resepi Juadah Anda.

Sinopsis Rancangan

  1. Haflah 

Bermula 5 Disember 2020, setiap Sabtu, 7.30 malam

Haflah adalah sebuah rancangan yang memartabatkan pembacaan Al-Quran dengan maqam seni tarannum seperti Bayati, Nahawand, Rast, Sikah, Hijaz dan Jiharkah. Para penonton akan ditemani barisan Qari kebangsaan dan antarabangsa seperti Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, Dr. Anuar Hasin, Ustaz Wan Ainuddin, Ustaz Radzi dan Kamarul Hailan dalam mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran dengan penuh kelunakan dan tertib yang pastinya menjadi halwa telinga dengan ganjaran pahala yang besar.

Jom Dengar Cerita
  • Jom Dengar Cerita

Bermula 14 Disember 2020, setiap Jumaat, 6.55 petang

Jom Dengar Cerita pastinya memikat hati dan jiwa penonton cilik TV AlHijrah seisi keluarga dengan 15 kisah agung Nabi Allah yang diceritakan oleh Ustaz Fadzli Aziz dan Ustazah Noni. Antara kisah-kisah nabi yang menjadi tauladan adalah kisah Nabi Adam A.S, kisah Nabi Idris A.S, kisah Nabi Nuh A.S, kisah Nabi Ibrahim A.S dan banyak lagi.

  • Cinta Suami Isteri

Bermula 13 Disember 2020, setiap Ahad, 6.30 petang

Cinta Suami Isteri merupakan program bual bicara yang membincangkan isu kekeluargaan Islam dan solusi berlandaskan Syariah. Program ini dihoskan oleh Azidah Mohamed dan ditemani panel-panel jemputan seperti Ustazah Nik Salida Nik Salleh, Ustazah Shadiya, Imam Muda Hassan dan Ustaz Zul Ramli Mohamad Razali. Mereka akan bersama-sama membincangkan topik-topik menarik seperti Kahwin Kelambu, Suamiku Panas Baran, Isteri Gila Kerja, Isteri Royan Aib Suami dan banyak lagi.

Filem 99 Cahaya Di Langit Eropa
  • Filem 99 Cahaya Langit Eropa

21 November 2020 (Bhg .1) & 28 November 2020 (Bhg.2), Sabtu, 9 malam

Filem 99 Cahaya Langit Eropa adalah kisah adaptasi novel yang dilakonkan oleh  Acha SeptriasaAbimana AryasatyaRaline Shah dan ramai lagi. Filem ini berkisar sekitar kehidupan seorang wartawan yang berhijrah ke Australia bersama suaminya demi ilmu. Pelbagai suka duka dilalui mereka dalam menyesuaikan diri dengan kehidupan masyarakat Eropah lantas membawa mereka menjejaki jejak Islam di Benua Eropah pada era Merzifonlu Kara Mustafa Pasha dari Kesultanan Utsmaniyah.

  • Filem Bulan Terbelah di Langit Amerika

26 Disember 2020, Sabtu, 9 malam

Filem Bulan Terbelah di Langit Amerika adalah kesinambungan daripada filem 99 Cahaya Langit Eropa. Namun pada kali ini kisah penceritaan tertumpu kepada penjelajahan Hanum dan Rangga yang menjalankan misi mengesan harta karun misteri milik pelaut Muslim Tiongkok yang belayar ke Amerika sebelum Columbus. Tanpa disedari, bahaya sedang menanti apabila gerak geri mereka diperhatikan oleh pemburu harta karun.

  • Hijrah Berselawat

Bermula 31 Disember 2020, Khamis terakhir setiap bulan, 9 malam

Bagi meneruskan momentum besar yang terhasil daripada program Hijrah Berselawat di TV AlHijrah 12 Rabiulawal yang lalu, serta bagi meneruskan budaya berselawat dan memuji baginda saw, TV AlHijrah ingin mengajak penonton untuk terus membudayakan selawat dan salam buat Baginda Rasulullah pada malam Jumaat terakhir setiap bulan bermula 31 Disember 2020.

Hijrah Berselawat bakal dimeriahkan dengan kehadiran kumpulan nasyid dan artis tanah air seperti InTeam, AlMawlid, Lah Ahmad, Zayne dan ramai lagi. Turut bersama di dalam rancangan ini adalah para pentazkirah seperti Habib Ali Zaenal Abidin, Habib Najmuddin Othman Al Khered, Ustaz Don Daniyal yang akan berkongsi sifat dan perilaku Baginda SAW untuk dijadikan suri teladan oleh umat masa kini.

  • Cinta Ilmu

Bermula 4 Januari 2021, Isnin hingga Rabu, 7.30 malam

Cinta Ilmu adalah sebuah program yang cukup dekat dengan hati penonton TV AlHijrah sedari stesen ini ditubuhkan. Bermula tahun 2021, Cinta Ilmu diberi nafas baharu dalam menjawab kemusykilan agama terutamanya persoalan yang berkisar sekitar Akidah, Sirah dan Ibadah bersama Ustaz Dato’ Haji Badli Shah bin Haji Alauddin, Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali dan Ustaz Roslan Mohamed.

  • My H.A.U.S

Bermula 25 Januari 2021, Isnin, 9 malam

Program Realiti Make Over rumah Asnaf yang memerlukan perhatian khusus bagi mendapatkan tempat kediaman yang selesa dan boleh diduduki seisi keluarga. Program yang menjejaki Asnaf di Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Johor ini menampilkan 13 keluarga Asnaf terpilih yang diberi bantuan untuk membaiki kediaman mereka. Pengacara program ini adalah Syamsul Debat yang turut sama bergotong royong membaiki rumah mereka yang memerlukan bantuan. Program 13 episod ini akan ditayangkan bermula 25 Januari 2021. 

  •     Kapsul Inilah Doaku

    Bermula 1 Disember 2020, Setiap hari, 8.30 malam

Kapsul Inilah Doaku adalah himpunan doa-doa pilihan untuk pelbagai situasi kehidupan harian. Kapsul ini mengajak penonton menghafal doa, memahami maksudnya serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.  

  1. Kapsul Resepi Juadah Anda

    Bermula 28 November 2020, Setiap Sabtu & Ahad 6.55 petang

Kapsul Resepi Juadah Anda adalah koleksi lapan video masakan penonton TV AlHijrah yang telah terpilih sebagai pemenang pertandingan video Resepi Juadah Anda yang dilancarkan pada Oktober 2020 lalu. Jom dapatkan idea juadah istimewa untuk dihidangkan kepada keluarga tersayang menerusi Kapsul Resepi Juadah Anda.

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Tonton Siri Animasi Korea SYNOSTONE Setiap Hari di TV Okey

Selepas Nikon, Kilang Sony Di Pulau Pinang Juga Ditutup Setelah 36 Tahun Beroperasi