in

Rusdi Ramli, Jue Aziz, Zul Yahya Dalam Drama CHEF MASIN PAHIT 4 RASA

PANGGUNG SERI : CHEF MASIN PAHIT 4 RASA, 13 SEPTEMBER 2008 (SABTU), JAM 8.40 MALAM DI RTM1.

Slot Panggung Seri akan mempersembahkan drama ‘Chef Masin Pahit 4 Rasa’, sebuah drama menarik yang menyelitkan unsur-unsur komedi yang pastinya membuat anda sekeluarga terhibur menontonnya.

Telemovie ini berkisar tentang kegigihan seorang pemuda bernama Malik yang minat memasak dan bercita-cita untuk menjadi seorang chef yang berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa. Selain itu, Malik gemar menonton rancangan masakan di kaca televisyen dan dia sanggup menghabiskan banyak masa dalam meniliti cara chef memasak dan menyediakan hidangannya.

Malangnya, impian Malik yang menggunung tinggi in mendapat tentangan ibunya, Puan Halimah. Puan Halimah merasakan kerjaya itu tidak sesuai dengan anaknya. Dia merasakan anaknya itu tidak berbakat. Berbeza pula dengan suaminya, Pak Non. Pak Non memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Malik walaupun hanya sekadar sebagai tukang rasa dan tukang kritik.

Suatu hari Malik terbaca di surat khabar mengenai iklan kursus masakan kulinari yang dikendalikan oleh seorang chef yang terkemuka dan menjadi idolanya iaitu Chef Zainal. Mengikut iklan tersebut, pelajar terbaik dalam kursus akan diserap terus untuk bekerja sebagai pembantu Chef Zainal. Malik berminat dengan tawaran itu. Malik tanpa berlengah dan berfikir panjang terus meletak jawatan sebagai editor di sebuah syarikat penerbitan.

Dalam kursus masakan kulinari itu Chef Zainal dibantu oleh dua orang pembantu iaitu anak gadisnya, Chef Nadia dan juga Chef Ikram. Pelbagai ujian perlu dilalui oleh Malik. Makin hari makin pandai dalam mengolah masakan dengan bijaknya. Akhirnya dia dipilih menjadi pembantu Chef Zainal. Hari berganti hari, akhirnya hubungan antara Malik dan Chef Nadia makin rapat. Ini mengundang kemarahan Chef Ikram yang menyukai Chef Nadia. Akibat perasaan dengki yang membuak-buak Chef Ikram akhirnya tergamak menganiayai Malik.
Berjayakah Chef Ikram mengusir Malik dari menjadi pembantu Chef Zainal dan memiliki cinta Chef Nadia ? Adakah cita-cita Malik menjadi chef terkenal berjaya ? 

Barisan pelakon terkenal yang menjayakan filem ini adalah Rusdi Ramli, Jue Aziz, Zaibo, Sheila Mambo, Zul Yahya dan Azhar Che Ree.

Pastikan anda tidak akan melepaskan peluang menonton drama “Chef Masin Pahit 4 Rasa” untuk mengetahui kesudahannya. “Chef Masin Pahit 4 Rasa” bakal ditayangkan pada 13 September bersamaan hari Sabtu, pukul 8.40 malam menerusi slot Panggung Seri di RTM1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

PINTU HIDAYAH DERITA KAKAKKU YANG STRESS

Dapatkan Buku 50+1 Malaysia di Pasaran Sekarang!