in

RTM Siar 6 Filem Inggeris Khas Sempena Sambutan Krismas

Semarak sambutan perayaan Krismas yang diraikan seluruh penganut Kristian turut dikongsi sama  pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran Dunia Ria, TV2 yang berbesar hati menghadiahkan enam tayangan filem Inggeris hebat termasuk animasi yang pastinya memenuhi selera penonton tanpa mengira lapisan usia dan sekaligus sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Tayangan filem-filem ini bakal bermula pada 20 Disember 2009 (Ahad), jam 4.00 petang dengan filem Surviving Christmas lakonan Ben Affleck, James Gandolfini, Christina Applegate, Catherine O’Hara, Josh Zuckerman, Bill Macy dan Jennifer Morrison ini berkongsi kisah watak Drew Latham yang mengisahkan seorang ketua eksekutif yang kehidupannya kosong tanpa pengisian. Cuba mengelakkan dirinya menyambut Krismas sendirian seperti tahun-tahun sebelumnya, Drew merancang untuk melawat Rumah Orang-Orang Tua yang diharapkan dapat meninggalkan memori manis dalam hidupnya. Namun ketika dalam perjalanan ke sana, dia bertemu semula rumah lama tempatnya membesar waktu kecil lalu menawarkan kepada penghuni rumah itu untuk berkongsi keceriaan sambutan Krismas bersama.

Kemudiannya diteruskan pada 24 Disember 2009 (Khamis) disiarkan pula filem Adam Sandler’s Eight Crazy Nights, jam 10.00 pagi dan The Santa Clause pada jam 10.30 malam.

Adam Sandler’s Eight Crazy Nights berlegar sekitar cerita animasi dongeng muzikal percutian menerusi watak Davey Stone yang cukup membenci percutiannya. Dia lalu memutuskan bercuti di bandar Dukesberry dan mahu mengubah perasaannya itu. Namun dugaan yang dilalui sukar apabila pada malam pertama di Hanukkah dia dikehendaki untuk menjadi pembantu pengadil untuk liga remaja bola keranjang. Atau diheret ke penjara kerana kesalahan yang tidak sengaja dilakukannya.

Davey menyangkakan dengan bertemu lelaki bernama Whitey Duvall dapat menyelesaikan masalahnya. Namun hakikatnya jalan hidupnya semakin mencabar. Adam Sandler’s Eight Crazy Nights popular tahun 2002 ini disumbangkan suara watak-wataknya oleh Adam Sandler, Jackie Titone, Austin Stout dan Kevin Nealon.

Di sebelah malamnya, penonton diajak menyaksikan The Santa Clause  filem popular sekitar tahun 1994 lakonan Tim Allen (Scott Calvin), Judge Reinhold (Dr.Neal Miller), Wendy Crewson (Laura Calvin), Eric Lloyd (Charlie Calvin) dan David Krumholtz (Bernard) yang mengisahkan seorang duda menjaga anak lelakinya semasa sambutan Krismas. Begitu pun pelbagai kejadian yang berlaku telah menimbulkan pelbagai kejutan pada mereka.

Ketika meraikan sambutan Krismas, pastikan janji temu anda pada 25 Disember 2009 (Jumaat) untuk menyaksikan filem Legend Of Frosty The Snowman jam 10.00 pagi, I’ll Be Home For Christmas, jam 3.00 petang dan Call Me Claus pada jam 11.30 malam.

Animasi terkenal 2004, Legend Of Frosty The Snowman pula bakal berkongsi kisah ikon dongeng legenda Krismas yang tinggal di bandar dikenali Evergreen. Datuk Bandar dan sekolah-sekolah mengadakan peraturan memastikan kawasan tempat tinggal mereka dilengkapi jadual ketat yang pendek dan meriangkan setiap hari.

Disusuli filem I’ll Be Home For Christmas, sebuah filem remaja melibatkan watak Jake yang merindui kemeriahan sambutan Krismas di New York bersama keluarganya. Sebagai insentif, bapanya menjanjikan sebuah kereta Porsche jika Jake dapat menceriakan rumahnya dengan hiasan Krismas. Kisah remaja ini mempertaruhkan lakonan Jonathan Taylor Thomas, Jessica Biel dan Adam Lavorgna.

Kepada peminat setia pelakon Whoopi Goldberg, jangan ketinggalan menyaksikan Call Me Claus yang menggandingkannya dengan aktor seperti Nigel Hawthorne, Victor Garber, Taylor Negron dan Brian Stokes Mitchell. Ia mempertaruhkan watak Lucy Cullins, seorang usahawan internet yang mencari seseorang untuk menjadi Santa Clause bagi melariskan jualan internetnya. Nick telah diambil sebagai Santa Clause. Namun siapakah Nick yang sebenarnya?

Pastikan anda meluangkan masa menyaksikan filem-filem hebat ini yang pastinya menghiburkan anda seisi keluarga dengan plot cerita berbeza dan menghiburkan hanya di Saluran Dunia Ria, TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Eksklusif Gambar Maya Karin Masa Pengambaran Nona 2010

Quotes of The Day: Saya Dah Letih – Remy Ishak