in , ,

Rohas Remi Memberi Suasana Romantis Baru Dengan Single HAI NONA MANIS

Hai Nona Manis adalah sebuah single terbitan Luncai Emas, dan dinyanyikan oleh Rohas Remi. Single ini telah dirakam pada tahun 2020 di Studio Ronggeng, Luncai Emas dan adalah hasil kolaborasi bersama produser, Yasin, pemain drum kumpulan psychedelic rock, Pitahati.

Rohas Remi merupakan sebuah nama yang penuh misteri di dalam dunia muzik tempatan. Pada Oktober 2016, beliau telah mengeluarkan sebuah album berjudul E S O K M A S I H I D E, sebuah album eksperimental art rock, hasil kolaborasi bersama produser dan kaki eksperimental, Kamal Sabran.

Daripada karya ini dua buah single telah diangkat daripada sepuluh buah lagu; Tinggi Harap dan Fermina, dan mulai itu nama Rohas Remi makin dikenali ramai orang muda. Namun begitu, sekitar tahun 2018 kehadiran beliau makin tidak dirasai dan lama-kelamaan beliau seolah-olah lenyap daripada dunia muzik. 2020, beliau timbul kembali, membawa bersamanya dua buah lagu yang baru dan segar.

Rohas Remi

“Untuk album pertama, saya dan Kamal Sabran mengambil pendekatan yang sangat eksperimental, mungkin terlalu eksperimental dalam lagu-lagu saya. Sehinggakan saya sendiri tidak mampu untuk menghadam lagu-lagu sendiri.

Perkara ini disebabkan konflik kepentingan; saya mahukan lagu-lagu yang lebih rancak dan mempunyai rentak yang lebih konsisten, Kamal mahu mencipta muzik ‘masa hadapan’. Tetapi untuk lagu-lagu baru ini, saya cuba untuk mengambil pendekatan yang kurang eksperimentasi dan lebih fokus kepada rentak dan melodi”. 

“Daripada sudut lirik pun saya mengambil pendekatan yang sama. Waktu album pertama, kebanyakan lirik saya adalah tentang perkara-perkara umum; tanpa ada apa-apa cerita atau kisah, kadang-kadang hanya sekadar luahan diri secara abstrak.

– Rohas Remi
Rohas Remi

Manakala Iagu-lagu baru saya pula mempunyai cerita yang lebih senang untuk dikenalpasti”. Walaupun begitu beliau masih tetap mengekalkan gaya penulisan dan bahasa sendiri yang merangkumi identiti Rohas Remi. 

“Hai Nona Manis adalah tentang menghargai seseorang yang bakal kita cintai, dan mengenang kasih sayang selepas kita kehilangan orang yang menyayangi kita.”

– Rohas Remi

Lagu ini adalah satu penanda aras baharu bagi beliau dalam penulisan, kerana tema yang dipilih adalah sesuatu yang tak pernah disentuh iaitu tentang “Aku, Kau dan Dia” sepertimana yang diungkapkan beliau, yang membawa maksud cinta yang dikongsi antara beliau, insan yang dicintai/ mencintainya dan Tuhan yang Maha Melihat. 

Pelbagai perkara yang menjadi inspirasi bagi beliau. Kadang-kadang beliau mendapat ilham daripada karya-karya artis lain daripada pelbagai genre; daripada muzik yang paling ganas sampailah irama yang paling lembut.

Selain itu, inspirasi menulis bagi beliau juga datang daripada pengamatan mata dan penelitian bicara dengan teman-teman yang mencerminkan kehidupan manusia dan dunia yang didiaminya.

Dunia perfileman juga merupakan satu inspirasi bagi beliau, terutamanya filem-filem melayu zaman P.Ramlee sehinggalah filem-filem 90an, dan filem-filem barat seperti Tenet, atau mana-mana filem yang mempunyai visual dan penceritaan yang hebat. 

Rakaman Hai Nona Manis menggunakan perkhidmatan beberapa orang musisi; Fai (drum) dan Limin (gitar) daripada kumpulan A.Limin, Ojay (keyboard & synth) daripada kumpulan Sendiket Jongkong Emas, Golden Mammoth dan Captn Trips and the Kid, dan Akmal (bass) daripada kumpulan Plong dan Sayonara Boys. “

Hai Nona Manis mempunyai gaya rentak yang aneh, penuh emosi dan memberi satu suasana romantis bernafas baru.” kata Yasin, selaku produser Rohas Remi. Yasin merupakan seorang pemain drum dan juga produser yang telah menghasilkan beberapa karya untuk artis-artis lain, seperti Salam Musik, Ramayan, Margasatwa, Plong dan lain-lain. 

Hai Nona Manis sedia dilayari di pelbagai platform streaming seperti Spotify, JOOX, iTunes, Deezer dan lain-lain. Selain daripada itu, sebuah video lirik juga sedia dilayari di YouTube Luncai Emas, hasil arahan Irfan Aljuffry. 

Rohas Remi

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Vida 2020 | 23

Bekas PA Mahu Hantar Rombongan Meminang Datuk Seri Vida

Amar Baharin | 24

Amar Baharin Berpesan Agar Orang Ramai Tidak Terpedaya dengan Iklan di Facebook