in

Review Swiss-Belinn Ska Pekanbaru

Penginapan Bertaraf Antarabangsa di Swiss-Belinn Ska Pekanbaru!
oleh Shah Shamshiri

Melancong ke Indonesia bukanlah suatu perkara baru bagi rakyat Malaysia masa kini kerana negara jiran ini mempunyai banyak persamaan budaya yang menghubungkan tradisi serumpun kedua-dua negara. Biarpun tanah Jawa sering menjadi pilihan kebanyakan rakyat Malaysia kerana terdapatnya kota-kota seperti Jakarta, Bandung, Yogjakarta dan juga Pulau Bali, tanah Sumatera Indonesia tidak kurang hebatnya. Selain daripada Medan yang menjadi bandar paling popular di Sumatera, tersdapat sebuah lagi kota Indonesia yang mula mendapat perhatian para pelancong iaitu, Pekanbaru. Pekanbaru merupakan sebuah kota di Indonesia yang telah berabad lamanya dipengaruhi oleh budaya Melayu jiran mereka. Ini sangat ketara dalam loghat bahasa yang digunakan selain daripada makanan serta pakaian mereka.

Room Deluxe Queen

Mendapat jolokan ‘Kota Bertuah’,  ia juga tidak lekang daripada tempat-tempat penginapan yang selesa dan berkualiti. Terbaru, ia kini mempunyai sebuah hotel tiga bintang bertaraf antarabangsa iaitu Swiss-Belinn Ska Pekanbaru. Hotel di bawah pengurusan Swiss-Belhotel International ini terletak di luar pusat kota Pekanbaru, di kawasan yang tertumpu dengan perumahan penduduk. Swiss-Belinn Ska Pekanbaru juga mempunyai lokasi yang sangat strategik kerana terletak di sebelah pusat membeli-belah Ska, yang merupakan salah satu pusat membeli-belah terbaik di kota ini.

Hotel ini menawarkan penginapan yang selesa pada harga yang sangat berpatutan. Ia mempunyai 107 buah bilik dan suite di mana setiap unit mendapat sentuhan senireka dalaman yang kontemporari, berkonsep minimalis namun masih tampil eksklusif. Dilengkapi dengan kemudahan terkini seperti sambungan internet dan juga TV LCD 32″, ia menepati citarasa setiap pengunjung masa kini.

Gedung Exterior Depan

Sungguhpun begitu, yang menjadi tarikan utama hotel ini adalah kolam renang bumbungnya (rooftop pool) yang terletak di tingkat paling atas hotel ini. Selain daripada berenang, para pengguna kolam renang juga dapat menikmati keindahan pemandangan kota Pekanbaru dari tingkat tertinggi. Ini memudahkan para tamu untuk melihat Pekanbaru dari sudut yang lebih gah dan berbeza sambil beriadah pada waktu yang sama.

Hotel ini turut dilengkapi dengan sebuah restoran bernama BaReLo yang mana namanya mendapat gabungan daripada singkatan kata-kata “Bar, restaurant dan Lounge” yang merangkumi fungsi penuh tempat ini. Direka dengan suasana yang menenangkan minda, BaReLo menghidangkan sajian makanan antarabangsa dan tempatan untuk keselesaan para pengunjung. Selain kemudahan internet di BaReLo, perkhidmatan penghantaran makanan ke bilik juga boleh dipesan 24 jam dari sini!

Hotel ini turut mempunyai lima bilik serbaguna untuk tujuan mesyuarat dan pengendalian acara-acara besar yang lain. Malah sebuah pusat konvensyen yang baru bakal dibangunkan bersebelahan hotel ini di bawah pengurusan yang sama untuk mengukuhkan lagi kedudukan Swiss-Belinn Ska Pekanbaru sebagai sebuah pusat konvensyen di wilayah Riau. Ia dikatakan dapat menampung sehingga 5,000 orang pelawat dan dengan tergabungnya pusat membeli-belah serta hotel, ia bakal menjadi salah satu mercu tanda penting di kota ini.

Dengan lokasi strategik berhampiran aneka pilihan hiburan, pusat beli-belah serta tempat-tempat makan, ia memang sesuai dijadikan tempat penginapan bagi mereka yang datang berkunjung ke Pekanbaru untuk tujuan perkerjaan mahupun bercuti bersama keluarga!

Lobby Front Office

Restoran

Green Living Room Suite

Pool Without Model

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Aaron Aziz & Nadiya Nisaa di Sesi Bertemu Peminat Adam & Hawa

Jom Undi Calon Pilihan Anda Anugerah Blockbuster 2011