in ,

Selepas Singapura Restoran Mamanda Kini Menakluki Malaysia

Selepas menggalas peranan sebagai rakan kongsi bisnes merangkap Cef Eksekutif Kumpulan bersama Mamanda Restaurant di Singapura baru-baru ini, penyanyi serta cef selebriti, Dato’ Fazley Yaakob, 39, secara rasmi mengumumkan pembukaan cawangan kedua restoran itu di sini yang bakal memulakan operasi pada awal Ogos ini.

Dato’ Fazley Yaakob

Berlokasi di 10, Jalan 1/70D & Off Jalan Bukit Kiara, Jalan Bukit Kiara, 60000 di sini, Mamanda merupakan sebuah restoran berkonsep fine dining yang mengenengahkan masakan warisan Melayu tradisional dinaik taraf bertujuan dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat termasuk penggemar masakan Barat.

Mengimbas kembali, pertalian bekas juara MasterChef Selebriti Malaysia dan Mamanda bukan sesuatu yang baru. Sebaliknya, hubungan dua hala itu bermula sejak beberapa tahun lalu saat beliau memilih restoran tersebut sebagai lokasi majlis beramah mesra sempena lagu Chocolate Cake bersama peminat sekitar tahun 2013.

“Kalau dulu saya berkolaborasi dengan Mamanda sebagai cef jemputan, kali ini saya merupakan salah seorang pemilik bersama. Selepas dilantik sebagai Cef Eksekutif Kumpulan, saya tampilkan menu sulung – Dulang Minang Seafood di mana variasi seafood yang dimasak, akan dituang bersama kuah lemak cili api di atas sebuah dulang,” kata Fazley pada majlis pengumuman penglibatan beliau sebagai rakan bisnes Mamanda di Singapura pada 18 Jun lalu.

Mamanda yang terletak di Singapura berlokasi di sebuah banglo lama berusia 173 tahun di 73 Sultan Gate. Saat menjejakkan kaki di situ sambil menikmati beraneka hidangan Melayu menggamit selera, para pengunjung pasti bakal merasai momen serta atmosfera mewah warian dahulu kala.

Tiada lain, Fazley meletakkan ekspektasi tinggi agar Mamanda Malaysia dapat diterima ramai kerana berpandukan visi utama; memartabatkan makanan Melayu tradisional dalam konsep fine dining.

“Saya hendak memperkenalkan masakan Melayu ke arena antarabangsa kerana Mamanda merupakan satu jenama yang sentiasa menaiktaraf dan mementingkan ketrampilan masakan Melayu di mata dunia. Dan kini, apabila bersama Mamanda semula, saya ingin mengenengahkan konteks masakan Melayu boleh diterima tanpa mengira penggemar makanan itu berasal dari mana sekalipun.

“Kita sedia maklum bahawa masakan Melayu dimakan di kampung. Hakikatnya, sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, ia telah dimakan oleh orang-orang berdarah biru. Jadi, konsep makanan Melayu ini dikembalikan semula untuk diberi satu kualiti, penampilan, dan bentuk yang berbeza supaya dapat merealisasikan impian ramai penggemar masakan lama bahawa masakan Melayu tidak akan hilang di mata dunia.”

Untuk maklumat lanjut mengenai Mamanda, boleh melayari laman sesawang, mamanda.com.my.
Sementara itu, Fazley baru sahaja melancarkan buku resepi beliau yang berjudul My Sucre Story dan single terbaharu, Ketiadaan.

Dato’ Fazley Yaakob

Dato’ Fazley Yaakob

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hadiah RM60,000 untuk DRAMA LIRIK Hot FM!

Video Uqasha Senrose’s Birthday Trending di Youtube Malaysia