in

OMG & AKU DIANDRA Ke Separuh Akhir

Minggu lalu menyaksikan Kumpulan Spy Kampung dan Derhaka Seorang Cinderella menjadi mangsa penyingkiran pertama di pentas Liga Lawak Superstar selepas mendapat markah terendah. Menerusi markah terkumpul Kumpulan A, Apa Kasih Toq meraih 184 markah dan Aku mendapat 177 markah, melayakkan mereka ke peringkat Separuh Akhir yang akan berlangsung pada 24 November nanti. Semalam tumpuan beralih ke persaingan Kumpulan B yang menampilkan Kumpulan OMG, Aku Diandra, Asmara Luna dan Ayoub Lasak.

Barisan Kumpulan B

Empat pasukan ini telah berentap bagi meraih markah daripada barisan juri tetap yang terdiri daripada Ida Nerina, Vanidah Imran dan Adlin Aman Ramli, juri awam dan undian SMS daripada orang ramai. Mereka bakal dicabar dan diuji dalam 5 cabaran atau permainan iaitu ‘Apa Maksud Kau’, ‘Jampi’, ‘Pentiru Besar’, ‘Bilik Soal Siasat’ dan akhir sekali, ‘Karaoke Uncle Spa’.

Cabaran pertama mempersembahkan persaingan sengit antara OMG (Sathiya, Akim Ahmad & Anas Ridzuan) dan Aku Diandra (Ilya, Sheera Iskandar & Qazem Nor) dalam permainan ‘Apa Maksud Kau’. Seterusnya, Ayoub Lasak (Aziz M. Osman, Iqram Dinzly & Mikail Andre) akan dicabar oleh Asmara Luna (Ropie, Riezman Khuzaimi & Aidil Aziz) menerusi permainan ‘Jampi’.

Suasana di studio terus dihangatkan dengan gelagat OMG dan Aku Diandra dalam permainan ke-3 iaitu ‘Pentiru Besar’ di mana memerlukan peserta meniru kembali aksi artis jemputan, Kumpulan Bocik dan Danial Bowl dengan jalan cerita tersendiri. Selepas itu, Ayoub Lasak dan Asmara Luna melalui ujian ‘Bilik Soal Siasat’ di mana ia dimenangi oleh Asmara Luna. Permainan terakhir ialah ‘Karaoke Uncle Spa’, setiap peserta perlu meletakkan kaki ke dalam akuarium yang berisi cicak, katak dan cengkerik sambil menyanyikan lagu yang diberi.

Selepas 5 permainan di minggu ke-3 ini, dua kumpulan yang berjaya ke pusingan separuh akhir untuk bersaing bersama Apa Kasih Toq dan Aku ialah OMG dan Aku Diandra. Bagaimanapun, dua kumpulan yang tersingkir iaitu Asmara Luna dan Ayoub Lasak telah menunjukkan peningkatan yang mendadak dan memberi saingan sengit di dalam Kumpulan B ini.

Menurut Puan Siti Nurlisia Mohd Nadzri, Pengurus Besar TV3, “Pada minggu ini, dua kumpulan lagi telah tersingkir iaitu Asmara Luna dan Ayoub Lasak. Kita dapat melihat perkembangan positif yang dipamerkan oleh dua kumpulan ini di mana mereka benar-benar mahu bersaing. Pusingan separuh akhir yang bakal berlangsung hujung minggu ini menampilkan 4 kumpulan terbaik di pentas Liga Lawak Superstar, terdiri daripada OMG, Apa Kasih Toq, Aku dan Aku Diandra. Walaupun OMG dan Apa Kasih Toq mendahului pungutan markah di peringkat kumpulan, namun di pusingan separuh akhir ini, semua bermula dengan kosong. Hanya kumpulan yang konsisten, komited dan berdisiplin akan mara ke pusingan akhir.”

LLS menampilkan 8 orang komedian dan 16 pelakon popular tanah air yang dibahagikan kepada Kumpulan A dan Kumpulan B. Setiap kumpulan daripada 4 pasukan yang disertai oleh seorang komedian dan 2 pelakon dalam setiap pasukan. Pada pusingan awal, Kumpulan A dan Kumpulan B akan bertarung di pentas LLS secara selang seli pada setiap minggu. Selepas 4 pertarungan, 2 kumpulan yang berjaya meraih markah tertinggi dalam kumpulan masing-masing akan bersaing di pusingan separuh akhir. Hanya 2 pasukan yang terbaik akan melayakkan diri ke pusingan akhir untuk merebut gelaran Juara Liga Lawak Superstar serta membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 250,000.

Sepanjang 10 episod, Liga Lawak Superstar menampilkan Afdlin Shauki dan Adibah Noor sebagai pengacara program. Selain itu, Liga Lawak Superstar turut menampilkan nama besar dalam industri hiburan tanah air iaitu Ida Nerina, Vanidah Imran dan Adlin Aman Ramli sebagai juri tetap untuk program ini. Peserta paling menyerlah yang berjaya memikat hati juri dan para penonton bakal dinobatkan sebagai juara Liga Lawak Superstar sekaligus membawa pulang wang tunai sebanyak RM 250,000. Sementara itu naib juara akan membawa pulang RM 75,000 manakala tempat ketiga RM 50,000 dan tempat keempat RM 25,000. Bagi sistem pemarkahan pula akan dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu 50% daripada juri profesional, 30% melalui undian SMS dan 20% daripada juri awam di studio. Undian SMS akan dibuka selama satu minggu bermula daripada hari Ahad hingga Ahad minggu berikutnya jam 6.00 petang.

Jangan ketinggalan menyaksikan Liga Lawak Superstar dengan sketsa komedi yang lebih menarik dan mencuit hati pada setiap hari Ahad jam 9.00 malam di TV3!

Untuk menyemarakkan lagi Liga Lawak Superstar penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan ikuti info terbaru di radio rasmi Liga Lawak Superstar iaitu Hot FM. Pengguna laman sosial Twitter boleh menggunakan ‘hash tag’ #LigaLawak untuk menghangatkan lagi bahang Liga Lawak Superstar.

Qazem Nor dan Akim Ahmad di dalam permainan Apa Maksud Kau

Barisan juri yang terdiri daripada Adlin, Vanida dan Ida Nerina

Artis jemputan iaitu Kumpulan Bocik

Kumpulan Asmara Luna di dalam pemainan Jampi

Kumpulan OMG ketika cabaran Pentiru Besar

Kumpulan Ayoub Lasak ketika ujian Karaoke Uncle Spa

Kumpulan Aku Diandra di dalam permainan Karaoke Uncle Spa

Kumpulan Aku Diandra turut ke separuh akhir

Kumpulan OMG layak ke separuh akhir

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Broadway Musical Seussical Jr. The musical

Tune Hotels Zombie Busters