in , ,

Puas Bergelar Rapper & Penyanyi, Rayi Putra Mahu Menari Dalam MATAMATA

Tahun ini Rayi Putra ingin mengembangkan satu lagi bakatnya. Selain melagukan rap, dan menyanyi dia juga ingin menari. Setelah puas bergelar rapper dan penyanyi, dia kini ingin mula menari.

Tidak mahu melakukannya dengan separuh hati, dia mula belajar seni tari dari penari profesional Ufa Sofura. Ternyata usahanya tidak sia-sia. Biarpun dia tidak asing dengan dunia pentas dan persembahan, menari mengikut koreografi merupakan sesuatu yang sangat berbeza. Dengan niat untuk menjadi lebih bagus, dia telah berlatih setiap bulan sepanjang tahun sehingga kini. Ini akhirnya menjadi dasar untuk satu bab baharu dalam dunia Rayi Putra.

“Selama ini saya tidak rasa yang saya mempunyai lagu solo yang sesuai untuk ditarikan, sehinggalah kelahiran lagu ini,” katanya tentang single terbaharunya “MATAMATA”.

Demo ini telah menarik perhatiannya dan selanjutnya menjadi satu pengembaraan yang mengujakan. Lirik lagunya ditulis oleh dirinya sendiri bersama STYPHT, dan diterbitkan oleh Oomax serta DJ CZA, DJ tersohor dari Medan yang pernah mencipta nama dalam dunia hip hop Malaysia.

Melalui lagu ini, Rayi Putra telah melakukan sesuatu yang tidak pernah dia buat, iaitu melucutkan jiwa rap serta hip hopnya untuk seketika dan menggantikannya dengan nyanyian serta tarian sepenuhnya. Hasil akhirnya benar-benar menakjubkan dan mampu mengubah katalog peribadi Rayi Putra.

Bermula dengan irama xylophone dan bunyian whoa-oh yang bergema di latar belakang, lagu ini pasti akan menggoda mereka di lantai dansa. ‘You’re on my radar. Then you go,’  begitu bait-bait lagunya yang menunjukkan dia gigih ‘mencari’.

Tepukan pada pra-korus membina kemuncak lagu yang diakhiri dengan korus yang meletup berbunyi ‘I’m looking for you. Using all means like spies,’ tanpa disedari, pendengar juga mula ‘tercari-cari’.

RAYI PUTRA

Dia mendedahkan bahawa warga net Indonesia yang suka mencari perkara remeh dan juga maklumat penting di internet dengan penuh ketekunan menjadi ilham di balik lirik MATAMATA. Dari situ dia mengubahnya menjadi satu sketsa umum yang mencerminkan cabaran bercinta di zaman digital: “stalking” atau menjejak orang yang disukai melalui media sosial. 

Sebuah klip video dinamik dan penuh warna-warni untuk MATAMATA juga bakal menunjukkan kehebatan tarian Rayi Putra yang telah gigih dia pelajari. 

Diarah oleh Chandra Liow dan Timo, ia turut menampilkan guru tarinya Ufa Sofura, dan ia adalah video muzik paling unik yang pernah dia hasilkan.

RAYI PUTRA

Walau pun telah lama berada dalam industi muzik sepanjang lebih sedekad bersama kumpulan RAN, Rayi  berasa yang dia masih mencari satu identiti untuk projek solonya. Namun dia menjanjikan satu perkara, iaitu dia tidak akan berhenti mencari, menjelajah dan berusaha sehabis mungkin. 

“Buat masa ini saya gembira dengan proses pencarian dan hasil kerja projek MATAMATA. Semoga ini menjadi puncak kerjaya dan menjadi pembuka untuk projek solo saya yang lain di masa hadapan.”

– Rayi Putra

Dengan pandemik yang kini (diharap) berada di penghujung fasa, MATAMATA menjadi satu karya sempurna dan sesuai untuk diraikan, sesuatu yang sangat diperlukan masa kini. Muzik baharu, identiti baharu, Rayi Putra 2.0. Bakal didedahkan 25 Mac, 2022.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Supercube Capai Jualan RM20.5 Juta Bagi Tahun 2021 & Lahirkan 15 Jutawan

Tuah Tepati Ramalan Ramai! Dinobatkan Sebagai JUARA Musim Kedua!