in

Rawang BC Dapat Suntikan Semangat Menjelang ACPLJ2019

CEO Shekhinah PR, Christopher Raj hulur tajaan buat tahun kedua berturut-turut

Menjelang saingan AEON Credit Purple League Junior 2019 yang bakal bermula tidak lama lagi, Kelab Badminton Rawang (Rawang BC) mendapat suntikan semangat dalam misi mereka untuk menjadi antara pencabar utama kejuaraan saingan liga remaja itu. 

Ketua Pegawai Eksekutif Shekhinah PR, Encik Christopher Raj, menyumbang sebanyak RM10,000 kepada Rawang BC bagi menaikkan semangat para pemain untuk bersaing di dalam saingan divisyen 1 ACPLJ 2019. Untuk rekod, Rawang BC turut menerima sumbangan daripada Christopher apabila mereka membuat kemunculan sulung pada musim lepas.

Rawang BC

Majlis penyerahan cek sumbangan itu telah disempurnakan sendiri oleh Christopher kepada pengurus pasukan Rawang BC, Encik Jeyaseelan Anthony di dalam majlis serba ringkas yang diadakan di Rawang baru-baru ini.

Jeyaseelan mengharapkan Rawang BC dapat melakar keputusan yang cemerlang pada musim ini selepas menamatkan saingan di tempat kelima daripada sembilan pasukan yang bertanding di Purple League Junior 2018.

 “Kita mempertaruhkan tiga orang pemain import untuk musim ini. Mereka adalah Maharani Sekar Batari dan Achmad Ramadhan Ulul Azmi daripada Indonesia dan seorang pemain dari India iaitu Sathish Kumar Karunakaran,” ujar Jeyaseelan.

 “Maharani akan menjadi tonggak barisan pemain wanita sementara Sathish dan Achmad pula membantu pemain-pemain lelaki.

 “Kita juga akan diperkuatkan oleh pemain-pemain daripada BAM dan SSBJ iaitu Gan Jing Err dan Valeree Siow Zi Xuan (perempuan) dan V. Poopathia melengkapkan kuota pemain lelaki,” tambahnya.

Saingan ACPLJ2019 telah membuka tirai musim lalu apabila Kelab Badminton Bagan (Bagan BC) muncul juara sulung bagi kategori Divisyen 3 sekaligus menempah slot ke Divisyen 2 musim hadapan.

ACPLJ2019 akan bersambung semula pada 21-22 September ini selepas berehat memberi laluan kepada sambutan Hari Malaysia dan akan menyaksikan pasukan-pasukan dari Divisyen 1 dan Divisyen 2 akan berentap di Sports Arena Falim, Ipoh.

Kategori utama Divisyen 1 akan melihatkan Rawang BC bersaing bersama-sama juara bertahan Bukit Cheras BC serta pencabar-pencabar lain iaitu Ampang Jaya BC, Petaling BC serta pendatang baharu Amanjaya BC dan Kuantan Synergy BC.

Bagi Divisyen 2 pula akan menampilkan pasukan-pasukan seperti Ayer Itam BC, Tebrau City BC, PGBC, Desa Petaling BC, Serdang BC, Klang Rising BC, Ipoh BC dan Damansara BC.

Pusingan kedua Divisyen 1 dan 2 dijadualkan berlangsung pada 5-6 Oktober di Challenger Sports Centre, Ampang sementara juara akan ditentukan pada pusingan akhir di Sports Arena Sentosa pada 19 dan 20 Oktober nanti.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sertai Pengalaman RM1 untuk memperingati Hari Malaysia Anjuran Airbnb

Mamat Exists Mohon Maaf & Bakal Masuk Pusat Pemulihan