in ,

Ramlah Ram Tidak Risau Soal Jodoh, Akui Cepat Rimas

Pada usia 55 tahun, penyanyi, Ramlah Ram tidak lagi memikirkan soal jodoh biarpun sudah kira-kira sedekad meraikan Aidilfitri tanpa pasangan.

Ramlah akur ketentuan Tuhan dan bersyukur sekurang-kurangnya kehidupannya tidak susah. 

“Saya bersyukur hidup tidak susah. Alhamdulillah, dengan apa yang Allah beri pada hari ini, saya bersyukur.

“Sudah lama saya katakan pada Allah bahawa saya serahkan semuanya kepada Dia untuk mengatur.

“Jadi, apa sahaja yang Allah beri, saya percaya itu adalah yang terbaik,” katanya kepada BH Online.

Sehubungan itu, Ramlah tidak terlalu risau soal jodoh dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah.

“Jodoh, itu semua kerja Tuhan. Saya tidak berani hendak cakap soal itu. 

“Kalau ada orang nak mendekati pun saya tidak ambil tahu. Saya cepat rimas, bagaimana mereka hendak dekat dengan saya?

“Lagipun, saya tidak pernah fikir atau terlalu risau soal tidak berteman. Bukan tipu, tapi, Alhamdulillah… Itu bukan perkara yang saya risaukan.

“Bukanlah tidak fikir sudah tua nanti siapa mahu jaga. Namun, saya fikir, apa sahaja yang Allah takdirkan untuk kita adalah yang terbaik.

“Dahulu saya ada merancang tapi sekarang, saya serahkan semuanya kepada Allah. Apa yang Allah atur adalah yang terbaik. Kita cuma berdoa yang baik-baik,” katanya.

Penyanyi berasal dari Kesang, Johor ini mengakui pengalaman lalu mematangkan dirinya. 

“Pengalaman dan musibah yang kita lalui terselit perkara terbaik buat kita. Saya bersyukur dengan semua yang saya tempuhi sebab segala apa yang Allah beri adalah yang terbaik,” katanya. 

Sementara itu, sempena Aidilfitri, Ramlah tampil dengan lagu baharu berjudul Kemenangan ciptaan Mohar dan lirik dihasilkan Ismi Rusli dan dirinya sendiri.

“Jika diimbas kembali, kali terakhir saya hasilkan lagu raya adalah pada 2012 menerusi single duet bersama Jay Jay, Bila Aidilfitri Kembali. 

“Alhamdulillah, tahun ini saya berpeluang merakamkan sebuah lagi lagu raya. 

“Sebenarnya, saya tidak merancang. Pada awalnya, saya hanya merakam video nyanyian lagu irama ghazal dan muzik tradisional untuk dimuat naik di YouTube.

“Namun, abang ipar saya, Mohar mengajak menghasilkan lagu istimewa. Apabila mendengar lagu ini, sedap pula, terasa kegembiraan hendak beraya. Lalu, terhasillah lagu ini,” katanya.

Ramlah berharap Kemenangan dapat mengubat rindu peminat terhadap kampung halaman.

“Saya juga berharap mudah-mudahan stesen radio memutarkan lagu saya ini,” katanya yang melancarkan single berkenaan di semua pelantar penstriman muzik popular.

*Sumber: BH Online

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Sering Kongsi Perkembagan Palestin, FB Warga Malaysia Di Gaza Disekat

Bergambar dengan Baju Raya Sedondon, Kamal Adli Sunting Foto Uqasha Senrose di IG