in , ,

Putri Ariani Didakwa Tidak Profesional Sidai Media Malaysia Selama Dua Jam

Pada sidang media Walker World Tour 2024 yang berlangsung sebentar tadi, media Malaysia menzahirkan rasa kecewa terhadap penyanyi dari Indonesia Putri Ariani, penyanyi remaja yang semakin meningkat naik.

Penyanyi Indonesia, Putri Ariani, yang baru berusia 18 tahun, didakwa bersikap tidak profesional apabila enggan menyambung semula sesi temubual bersama media tempatan ketika menghadiri sidang media Walker World Tour 2024 di sebuah hotel di Bandar Sunway, hari ini. Situasi ini menimbulkan kekecewaan di kalangan media tempatan yang menunggu hampir dua jam untuk sesi temubual yang tertangguh.

Menurut wakil penganjur, bapa pemenang tempat keempat program realiti America’s Got Talent 2023 (AGT 2023) itu tidak membenarkannya bertemu dengan media tempatan tanpa memberikan alasan yang kukuh. Wakil penganjur memohon maaf kepada media dan menyatakan, “Maaf, bapanya baru maklumkan Putri tidak akan turun bertemu media untuk menyambung semula sesi temubual yang tertangguh. Maaf, media tempatan terpaksa tunggu hampir dua jam.”

Putri Ariani Didakwa Tidak Profesional Enggan Ditemubual Media Malaysia

Insiden ini berlaku selepas media tempatan hanya berpeluang untuk bertanyakan tiga soalan kepada Putri, yang juga mengalami kecacatan penglihatan. Jawapan yang diberikan oleh Putri dikatakan agak acuh tak acuh. Sesi temubual itu kemudian terpaksa dihentikan apabila pengurusannya membawa Putri keluar dari dewan dengan alasan bahawa dia belum bersarapan.

Wakil penganjur berjanji untuk membawa Putri bertemu media tempatan semula bagi meneruskan sesi temubual yang tertangguh berhubung konsertnya bersama Alan Walker yang dijadualkan berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon pada 22 Jun depan. Namun, selepas menunggu selama dua jam, pihak media kesal dengan tindakan tidak profesional pengurusan penyanyi berkenaan.

Untuk memberi sedikit latar belakang, Putri memulakan kerjayanya dengan menyertai program realiti Indonesia’s Got Talent pada tahun 2014 yang disiarkan di stesen televisyen SCTV. Kemudian, Putri mencuba nasib dalam program realiti terkenal, America’s Got Talent bagi musim ke-18 pada tahun yang sama. Pada uji bakat itu, Putri membawakan lagu ciptaannya yang berjudul Loneliness sebagai penampilan pertama. Tuah berpihak kepadanya apabila juri terkenal, Simon Cowell, membuka peluang untuknya menyanyikan lagu Sorry Seems to Be the Hardest Word dendangan asal Elton John pada peringkat seterusnya.

Putri berjaya menarik perhatian dunia apabila mendapatkan ‘golden buzzer’ daripada Simon Cowell dan akhirnya menduduki tempat keempat dalam pertandingan akhir AGT 2023. Kejayaan ini memberikan Putri peluang besar untuk merakamkan lagu bersama Alan Walker dan Peder Elias yang berjudul Who I Am.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Shopee dan Peniaga SME Lancar #ShopeeHaul Bagi Perkasa Wanita Malaysia

Nothing Phone (2a) Special Edition Berharga RM1699 Terhad 100 Unit Di Malaysia