in

Program Salam Baitullah Secara Langsung di TV1

Salam Baitullah Kembali Bersiaran Sempena Musim Haji 1433H di TV1

Sempena musim haji tahun ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Bank Rakyat akan menyiarkan program Salam Baitullah secara langsung di TV1.

Rancangan yang memasuki musim ke-3 ini akan mula bersiaran pada 10 Oktober, setiap hari jam 9 malam di TV1. Rancangan sebanyak 20 episod ini turut mendapat kerjasama daripada Tabung Haji di mana tiga krew terlibat secara langsung dan turut dibantu dua Petugas Media Tabung Haji RTM.

Mereka yang terlibat dalam liputan Salam Baitullah kali ini ialah, Penerbit Rancangan Idzham Hadi Sidik yang juga Ketua Meja Laporan Khas dan Bencana Berita Ehwal Semasa, Ahli Fotografi yang juga Jurukamera, Shahrrudin Ibrahim, dan Juruteknik, W.Jefri Abd Kadir.

Program Salam Baitullah Secara Langsung Di Tv1

Turut membantu krew Salam Baitullah ialah Penyunting Bahasa Malaysia Berita Ehwal Semasa, Wan Lukman Mohd Fisol dan Jurukamera, Aris Ahmad, mereka berdua adalah Petugas Media RTM/Tabung Haji.

Menurut penerbit Tuan Haji Idzham Hadi Hj Sidik, Salam Baitullah musim ke-3 ini adalah kesinambungan Salam Baitullah yang mula diperkenalkan RTM pada 2010. Format siaran berbentuk bualbicara dan dimuatkan dengan bahan-bahan berkaitan urusan serta ibadah haji.

Seperti tahun lalu, Salam Baitullah menampilkan Pengacara Profesor Dr Mohd Ridhwan Tee Abdullah dan beberapa tetamu jemputan bagi membincangkan topik berkaitan dengan ibadah haji.

Salam Baitullah 2012/1433h kali ini akan dimuatkan dengan 4 segmen secara khusus dari tanah suci. Segmennya ialah laporan harian dan Lintas Langsung dari lokasi, pakej eksplorasi haji, segmen tetamu Allah iaitu ucapan-ucapan ringkas jemaah haji, segmen sejarah lokasi menarik dan sejarah haji serta aktiviti harian jemaah dan petugas.

Pada rancangan kali ini, Salam Baitullah akan memberi fokus kepada bahan siaran berbentuk interaktif dengan tujuan ahli keluarga di tanah air dapat mengetahui status semasa keluarga mereka di tanah suci.

Bahan-bahan “human interest” seperti perkuburan dan pengkebumian Baqi’ yang berjaya disiarkan tahun lalu akan terus dipaparkan untuk Salam Baitullah kali ini. Beberapa lokasi bersejarah yang tidak dapat dipaparkan pada rancangan tahun lalu akan cuba disiarkan pada tahun ini.

Bagi memantapkan penghantaran bahan siaran yang berkualiti, pihak Jurutera dan Juruteknik RTM telah bersiap sedia dengan fasiliti terkini bagi membolehkan penghantaran bahan dari tanah suci berjalan lancar.

Pihak teknikal juga akan menggunakan kemudahan komunikasi dan media baru seperti laman social seperti facebook, tweeter dan cisco bagi memudahkan petugas di lokasi untuk berinteraksi dan menghantar bahan.

Bagi membentuk pasukan penerbitan yang mantap, pihak RTM telah melantik Ketua Penolong Pengarah, Megat Samsudin Megat Idris sebagai penyelaras siaran langsung Salam Baitullah.

Program Salam Baitullah Secara Langsung Di Tv1

Lima Penerbit Studio sudah dilantik dan mereka akan bergilir-gilir menerbitkan 4 rancangan setiap orang bagi memastikan Salam Baitullah 2012/1433 mendapat rating terbaik.

Untuk rekod, pada siaran tahun lalu, Salam Baitullah ditonton lebih 800,000 penonton setiap malam. Jumlah itu tidak termasuk penonton Brunei, Singapura dan sekitar Riau , Sumatera dan Kalimantan,Indonesia.

Objektif utama, rancangan Salam Baitullah ini bertujuan memaparkan aktiviti jemaah haji dan aktiviti pengurusan serta operasi haji, selain memberi maklumat terkini keadaan di Tanah Suci kepada sanak saudara dan umat Islam di tanah air dan sekitar Asia Tenggara.

Melalui Salam Baitullah juga ia dapat membantu meningkatkan kefahaman terhadap Ibadah Haji dan mengeratkan persaudaraan sesama umat Islam. Liputan dan penggambaran krew Salam Baitullah akan dapat menonjolkan peranan Malaysia yang aktif sebagai negara anggota OIC khususnya dalam bidang penyiaran aktiviti haji.

Pembabitan Bank Rakyat dalam penajaan Salam Baitullah kali ini sangat dihargai dan ia sekaligus dapat membina hubungan baik antara RTM dengan Bank Rakyat. Sebagai penaja utama, Bank Rakyat mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih rancangan Salam Baitullah sebagai produk tajaannya. Tajaan untuk tahun ketiga berturut-turut oleh Bank Rakyat membolehkan rancangan ini dapat diteruskan dan memberi impak yang baik kepada penonton.

Melalui respon di laman sosial Salam Baitullah, penonton sudah tidak sabar menantikan kemunculan rancangan ini. Siaran Salam Baitullah juga boleh ditonton melalui live streaming pada laman sesawang www.rtm.gov.my

Turut hadir semasa majlis pelancaran dan sidang media Salam Baitullah, Pengarah Program TV Tuan Haji Suhaimi Jamalim dan Pengurus Besar Kanan Operasi Perbankan , Bank Rakyat Tuan Haji Mustafha Abd Razak di Auditorium P.Ramlee, Angkasapuri.

Program Salam Baitullah Secara Langsung Di Tv1

Program Salam Baitullah Secara Langsung Di Tv1

Program Salam Baitullah Secara Langsung Di Tv1

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

David Guetta Live in Malaysia Concert

Drama Lelaki Lakonan Shafie Naswip Sein Ruffedge