in

Program Khas Hayati Maulidur Rasul Di TV1

7 Program Khas Hayati Maulidur Rasul Di TV1

Untuk membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW pada hari ini seharusnya sambutan Maulidur Rasul bukan semata-mata untuk meraikan hari kelahiran Rasul sebaliknya sambutan sepatutnya lebih kepada usaha mengingatkan kembali umat Islam kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya.

Pada masa ini ditambahkan lagi aktiviti dengan perarakan sepanduk sambil berselawat dan niatnya juga untuk membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW. Sempena sambutan itu juga, turut diadakan acara memberi anugerah dan penghargaan kepada orang tertentu. Amalan ini juga dilihat baik dan boleh membawa kepada rasa minat seseorang untuk mencontohi Rasulullah.

Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) sepanjang sambutan Maulidur Rasul yang disambut pada 24 Januari 2013 ini mengajak penonton setia salurannya mengikuti program-program khas bermula dengan Perhimpunan Maulidur Rasul (jam 7.15 hingga 11.30 pagi), dua dokumentari ; Setulus Kasihmu (jam 11.30 pagi) dan Air Mata Kasih (jam 12.00 tengahari), telemovie Mencari Takbir (jam 2.00 petang), Adik-Adikku … Mengenang Rasul (jam 6.00 petang), Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Khutbah Terakhir (jam 9.00 malam) dan hiburan khas ; Festival Nasyid Kebangsaan 2012 (mulai 21 hingga 24 Januari 2013, jam 4.05 petang). Kesemua program ini disiarkan menerusi saluran TV1.

Perarakan Maulidur Rasul 2013 akan bermula dari Dataran Kehakiman menuju ke Masjid Putrajaya, Putrajaya. Perakakan akan diiringi oleh alunan selawat kepada Baginda Nabi Muhammad SAW. Tahun ini seramai 9 orang dari pelbagai bidang dan latar belakang akan menerima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan.

Setulus Kasihmu mengisahkan Wak Omar yang mengaplikasikan sifat kasih sayang Rasulullah SAW kepada anak yatim dengan menjadi penaung kepada Rumah Anak Yatim Darul Takwa di Sungai Besi. Usaha terpuji harus dicontohi oleh semua orang kerana mencontohi sifat-sifat Rasulullah adalah sunahnya.

Diikuti kemudiannya program majalah Air Mata Kasih yang membicarakan sifat-sifat terpuji Nabi Muhammad SAW yang dikongsi bersama tokoh-tokoh agama, orang ramai (kanak-kanak dan remaja) dan sebagainya. Turut diselitkan hiburan Qasidah untuk hiburan semua.

Mengisi slot Panggung 1 disiarkan drama menarik Mencari Takbir lakonan Eira Shazira, Fezrul Khan, Ku Fridah dan Jufery Rayyan yang mengisahkan ketabahan hati dan kesukaran hidup dihadapi wanita bernama Shahila apabila suaminya, Mikail yang juga saudara baru kembali mengamalkan cara hidup seperti sebelum memeluk Islam. Pelbagai cara dan pendekatan digunakan oleh Shahila untuk cuba membawa suaminya kembali ke jalan yang benar.

Kepada penonton cilik pula usah ketinggalan menyaksikan program Adik-Adikku … Mengenang Rasul yang membawakan kompilasi finalis Adik-Adikku musim terdahulu yang menceritakan perihal uswatun hasanah (sifat-sifat terpuji) junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Bersiaran dari Menara Kuala Lumpur, Forum Perdana Ehwal Islam mengupas satu lagi tajuk istimewa iaitu Khutbah Terakhir. Membicarakan khutbah terakhir Rasulullah SAW pada tahun 10 Hijrah ketika Baginda mengerjakan Hujjatul Wada’. Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah akan bersama dengan tetamu jemputan Ustazah Norhafizah Musa (UTM) dan Dr. Zaharudin Abd Rahman dari UIAM, mengupas pesanan-pesanan penting Rasulullah SAW kepada umat Islam.

Festival Nasyid Kebangsaan 2012 pula menghiburkan penonton dengan pertandingan nasyid yang telah diadakan di Sabah pada bulan Disember yang lalu. Kategori nasyid yang dipertandingkan adalah tradisi dan moden. Sebanyak 12 buah negeri telah menghantar penyertaan masing-masing.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TAHNIAH Jozan Juara Maharaja Lawak Mega 2 Bawa Pulang Wang Tunai RM500,000

Orange Africa Cup Of Nations 2013 di TV3