in

Program Candawara Aktif 5

AKTIF 5 TAMBAT HATI PENONTON

Setelah 5 episod bersiaran secara langsung dari Studio 1, Angkasapuri, program Candawara (game show) terbitan RTM, Aktif 5 semakin rancak menambat hati penonton apabila berjaya meraih lebih 800 ribu penonton.

Disiarkan setiap Ahad, jam 9 malam selama satu jam, Aktif 5 adalah sebuah program candawara berteraskan muzik di samping menerapkan unsur jenaka dan keceriaan.

Aktif 5 RTM

Penerbit Aktif 5, Azman Hashim menjelaskan Aktif 5 menumpukan kepada bakat peserta dan perwatakan yang riang serta bersahaja.

“Kami memilih peserta daripada pelajar Institut Pengajian Tinggi. Sehingga episod ke-5 ini, sambutan amatlah menggalakkan daripada peserta dan juga penonton di rumah. Aktif 5 juga berbeza daripada program Telebriti yang pernah disiarkan di RTM kerana Telebriti adalah program interaktif antara pengacara dan penonton di rumah. Manakala Aktif 5 menampilkan 5 peserta di Studio yang bersaing sesama mereka untuk menjadi juara mingguan.”

“Program ini diterbitkan bagi meneruskan penghasilan program-program bermutu oleh RTM. Selain itu, Aktif 5 bertujuan menghiburkan penonton serta mendekatkan penonton muda dengan program-program terbitan RTM. Penonton bukan sahaja dapat mendengar muzik tetapi turut dapat menonton aksi-aksi menarik peserta menerusi Aktif 5. Program ini juga sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Jika anda sukakan muzik dan jenaka, anda patut menonton Aktif 5.”

Menurut Azman, meskipun tanpa interaksi secara langsung dengan penonton di rumah, namun program ini turut menyediakan kuiz iaitu soalan terkumpul untuk penonton-penonton di rumah.

Aktif 5 RTM

Tajuk Aktif 5 ini bukan sahaja berkaitan dengan lima peserta untuk setiap episod malah diilhamkan juga daripada lima pusingan dalam program ini iaitu Irama dan Lagu, Rentap Berentap, Tukang Muzik, Ajuk Sakan dan Satu-satunya. Dalam pusingan Irama dan Lagu, semua peserta akan diberi lima lirik lagu tanpa tajuk.

Mereka kemudiannya diminta menyanyikan lagu tersebut. Pusingan Rentak Berentap mencabar peserta untuk mengikut gerak tarian dan bersama-sama menari dengan kumpulan tarian Rentak Berentap.

Peserta diuji kemahirannya dalam muzik menerusi pusingan Tukang Muzik yang mana mereka perlu menggunakan peralatan yang bukan alat muzik (peralatan dapur, alat membasuh pakaian, tempurung dan sebagainya) untuk mengikuti rentak muzik yang dimainkan. Pusingan Ajuk Sakan menghendaki peserta untuk bertindak sebagai pemimpin kumpulan muzik. Dua peserta yang mengumpulkan markah paling tinggi akan bersaing untuk mempersembahkan bakat tersendiri untuk menjadi juara dalam sesebuah episod.

Aktif 5 dikendalikan oleh Ahdan Salleh yang merupakan anggota kumpulan FLAVA dan bekas pelajar Pilih Kasih 1. Setiap minggu, program ini akan menjemput seorang artis sebagai pengadil. Antara artis-artis popular yang menjayakan Aktif 5 ialah Nubhan, Siti Nordiana, Haiza dan Azlan Typewriter.

Aktif 5 RTM

Aktif 5 RTM

Aktif 5 RTM

Aktif 5 RTM

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Siri Hawaii Five O di TV2

Gambar Hantaran & Dekorasi Akad Nikah Siti Sarah & Shuib