in

Program Animasi Ummi Ceritalah Pada Kami Bananana TV3

BERKONGSI KISAH-KISAH PENGAJARAN DARIPADA AL-QURAN & HADIS

Program Animasi Muzikal Ummi Ceritalah Pada Kami Bananana TV3. Bersempena dengan bulan Ramadan, TV3 menerusi jenama Bananana juga tidak ketinggalan dalam menyediakan program-program menarik untuk tontonan semua. Istimewa buat adik-adik, terimalah buah tangan daripada Nora yang beraksi di samping anak-anaknya (Mohd. Syakir, Alif, Atan, Hana, Putri dan Aiman) dalam program animasi muzikal baru di TV3, UMMI…CERITALAH PADA KAMI.

Bakal disiarkan sebanyak 4 episod pada setiap hari Jumaat jam 10.00 pagi mulai 27 Julai 2012, UMMI…CERITALAH PADA KAMI diterbitkan oleh Johan Nawawi dari Hud Hud Media dan merupakan cetusan idea daripada Nora selaku Pengarah Kreatif yang mahu berkongsi kisah-kisah pengajaran dari Al-Quran dan Hadis kepada kanak-kanak. Program animasi yang berkonsepkan Islam ini juga diselitkan elemen muzikal untuk menarik minat penonton cilik.

Ummi Ceritalah Pada Kami Bananana TV3

Hasil nukilan skrip oleh Nora, Khariyyah Mohd Hanafiah dan Ustaz Aminullah Saliman, program tersebut mengisahkan tentang seorang wanita bernama Ummi yang sering mengajar nilai-nilai murni kepada kanak-kanak di sebuah rumah persinggahan yang dikenali sebagai Pondok Ummi. Ummi gemar memetik kisah-kisah pengajaran daripada Al – Quran, Hadis dan banyak lagi kisah menarik yang berunsur kebaikan.

Berikut ialah sinopsis bagi keempat-empat episod UMMI…CERITALAH PADA KAMI :

Episod 1 (27 Julai 2012) “Kelebihan Al – Fatihah”
Alif sedang membaca dan menghafal erti surah Al-Fatihah. Ummi memberi dorongan kepadanya dan menceritakan kepada mereka tentang kelebihan Al-Fatihah. Kisah tersebut mengenai sahabat Nabi yang memasuki sebuah perkampungan untuk berdakwah. Penduduk perkampungan tersebut tidak mahu menerima dakwah mereka pada mulanya, sebaliknya menyuruh mereka menyembuhkan Ketua Kampung mereka. Para sahabat tersebut membaca surah Al-Fatihah, dan dengan izin Allah, Ketua Kampung tersebut sembuh. Maka, para sahabat tersebut dapat meneruskan usaha dakwah mereka.

Tidak lama selepas mendengar cerita tersebut, Alif terserempak dengan Aiman yang sedang membaiki komputer Ummi dalam bilik yang agak gelap. Dalam niatnya membuka lampu bilik tersebut, Alif dengan tidak sengaja menyebabkan Aiman terkena gencatan elektrik. Alif teringat akan cerita Ummi dan cuba membaca Al-Fatihah untuk menyembuhkan Aiman. Namun ia tidak berjaya. Ummi memasuki bilik tersebut dan sedar bahawa Aiman telah terkena gencatan elektrik. Ummi berjaya menyelamatkan Aiman, dan kemudian menerangkan kepada Alif kenapa Aiman tidak sembuh walaupun dibaca Al-Fatihah. Kepentingan Al-Fatihah ditegaskan lagi, dan mereka semua berusaha untuk menghafalkan erti surah tersebut dengan menyanyikan lagu Al-Fatihah.

Episod 2 (3 Ogos 2012) “Lebah Membawa Manfaat”
Waktu makan tengahari, Hana kelihatan tidak berselera makan. Apabila Hana ditegur Ummi, dia memberitahu bahawa terdapat semut di pinggannya dan dia enggan makan kerana dia benci dan geli pada semut. Atan terus menerkam semut-semut itu dengan patung pendekar-man dan membunuh semut-semut itu dengan ganas. Ummi dengan kesal menasihati Atan bahawa semua makhluk ciptaan Allah ada manfaatnya samada kita ketahui atau pun tidak, dan harus dibelas kasihani.

Ummi pun bercerita tentang lebah– binatang kecil yang disebut dalam Al-Quran yang memberi banyak manfaat kepada manusia. Selesai Ummi bercerita, mereka berasa lebih menghargai binatang-binatang kecil ciptaan Allah termasuk semut. Mereka mengumpul semut-semut yang telah Atan bunuh dan membuat upacara pengebumian dengan penuh kesal.

Episod 3 (10 Ogos 2012) ”Rakan Sejati”
Putri tiba di rumah Ummi dengan wajah yang muram. Rupa-rupanya seorang rakan sekelasnya telah mengambil duit saku yang diberi ibubapanya. Putri menjadi lebih sedih kerana dia berniat untuk membeli buku cerita kegemarannya tentang ‘Jojo & Mimi’. Apabila ditanya Ummi mengapa Putri gemar akan buku cerita tersebut, Putri menerangkan bahawa persahabatan akrab Jojo & Mimi amat menggembirakan hatinya. Ummi teringat akan satu kisah yang sangat penting dalam sejarah Islam iaitu persahabatan antara Saidina Abu Bakar dan Rasulullah SAW. Ummi mula menceritakan kisah Saidina Abu Bakar disengat kala jengking di dalam gua Thur ketika menolong Rasullullah SAW melarikan diri dari orang Quraisy.

Episod 4 ( 17 Ogos 2012) “Kisah Sang Perisik”
Atan, Alif, dan Hana bermain perang-perang dengan Aiman, Putri, dan Jojo (kucing) di sekitar pondok Ummi. Aiman dan Putri marah dan menuduh Jojo tidak amanah kerana mengikuti kumpulan Alif, Atan dan Hana kerana ditawarkan ikan sardin. Aiman dan Putri mengadu kepada Ummi bahawa mereka dibelot Jojo. Maka, Ummi menceritakan kisah Nabi Sulaiman a.s dan burung hud-hud, burung yang kecil yang termasuk dalam senarai barisan tentera Nabi Sulaiman a.s.

Selain bertindak sebagai pengarah kreatif, Nora juga memainkan peranan dalam menghidupkan watak Ummi. Anak-anak Nora, Aiman, Alif, Hana, Putri dan Atan juga diberikan tanggungjawab untuk memainkan watak kanak-kanak yang dinamakan seperti mereka manakala watak Uncle Maiden mendapat khidmat suara daripada Bringgo dan watak Ustaz Syakir oleh Mohd. Syakir Iman.

UMMI…CERITALAH PADA KAMI juga disiarkan secara ulangan pada setiap hari Sabtu jam 7.00 malam mulai 28 Julai 2012. Layari laman web www.tv3.com.my dan www.ummi.my untuk maklumat lanjut. Penonton juga boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan layari Facebook & Twitter TV3MALAYSIA untuk mendapatkan berita terkini.

Scene pic UMMI (2)

Scene pic UMMI (1)

Scene pic UMMI (3)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Bekas Isteri Hattan Saman Blog Hiburan Kerana Fitnah

Mesin Sebarkan Semangat Ramadan Cola-Cola