Menu

Sensasi Selebriti

Portal Berita Hiburan, Trending & Viral, Acara, Travel, Gaya Hidup & Tech Gadget Terkini

in ,

Profile & Kronologi Cinta Rumahtangga Erra Fazira

Erra Fazira atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, dilahirkan pada 9 Februari 1974 dan berasal dari Sungai Choh, Rawang, Selangor. Memulakan kerjayanya dalam bidang modelling sehinggalah dinobatkan sebagai Miss Malaysia/World 1992. Dia juga pemenang tempat ketiga Miss South East Asia 1992/1993. Erra seterusnya menceburkan diri ke dunia seni sebagai penyanyi dan pelakon, kini usahawan.

Antara album yang pernah dihasilkannya termasuklah Erra Fazira (1994), Aku dan Dia (1995), 2.5 Sayang (1996), Kini (1999 ), Sampai Bertemu (2002), Kini Kembali (2003) dan Ya Atau Tidak (2006). Manakala lagu popularnya ialah Pasrah, Jendela Hati, Hadirnya, Pertemuan, Ucapkanlah (duet dengan Yusry) dan Nada Kasih (duet dengan Rio Febrian).

Erra pernah mendapat jolokan primadona filem Melayu alaf baru. Antara filem lakonannya ialah Sembilu, Maria Mariana, Gemilang, Tragedi Oktober, Pasrah, Gerak Khas The Movie (GKTM), Mr Cinderella, Gila- Gila Pengantin, Cinta Kolesterol, Hingga Hujung Nyawa, Pesona Non Grata dan Qabil Khusri Qabil Igam (QKQI). Tujuh kali dia dinobatkan sebagai Pelakon Filem Wanita Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABP-BH).

Biodata Erra Fazira
Nama sebenar: Fazira Binti Wan Chek
Tarikh lahir: 9 Februari 1974
Tempat lahir: Sungai Choh, Rawang, Selangor, Malaysia
Kerjaya: Aktres, penyanyi, model dan usahawan
Mula terkenal: Selepas memenangi Miss Malaysia/World 1992. Dia juga pemenang tempat ketiga Miss South East Asia 1992/1993.

  • Mempunyai album Erra Fazira (1994), Aku dan Dia (1995), 2.5 Sayang (1996), Kini (1999 ), Sampai Bertemu (2002), Kini Kembali (2003), Ya Atau Tidak (2006).
  • Antara lagu popular Pasrah, Jendela Hati, Hadirnya, Pertemuan, Lepaskanku, Sampai Bertemu, SMS Saja, Ucapkanlah (duet dengan Yusry) Jika Kau Tiada (duet dengan Yusry) Bermula Detik Ini dan Nada Kasih (duet dengan Rio Febrian).
  • Pernah tujuh kali dinobatkan sebagai Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABP-BH).
  • Pernah bertunang dengan bekas vokal utama Wings, Awie. Bernikah dengan Yusry, pada 15 Jun 2003 dan bersanding pada 21 Jun 2003. Mereka bercerai secara rasmi pada 16 Jun 2006.

Agak-agak korang, apa komen Awie dalam isu kontroversi gossip Erra ni? Mesti dia jawab… “No komen…” atau pun kalau Ako Mustapha…. dia mesti cakap…”No big deal…” Ahaks!

Ratu Filem Melayu itu pernah menjalin hubungan serius dengan Awie selama empat tahun. Mereka bertunang pada Oktober 1997, tetapi terputus di tengah jalan pada tahun berikutnya. Hanya pada 1999, Erra mula rapat dengan Yusry Abdul Halim (Yusry KRU) apabila mereka digandingkan menerusi filem Mr Cinderella. Ternyata desas-desus hubungan cinta mereka benar apabila kedua-duanya bertunang pada 3 Mac 2003

Erra akhirnya diijabkabulkan dengan Yusry pada 15 Jun 2003 di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Majlis persandingan penuh gemilang atau dianggap Wedding of the Year itu diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 22 Jun 2003.

Namun, selepas mengecapi kebahagiaan alam berumah tangga kira-kira dua tahun, perkahwinan mereka tiba-tiba dilanda badai sehingga kedua-duanya tidak lagi tinggal sebumbung untuk beberapa ketika. Erra dan Yusry akhirnya bercerai secara rasmi pada 16 Jun 2006.

Hubungan intim Erra dengan Hans Isaac mula menjadi bualan ramai ketika mereka berlakon sama dalam filem Persona Non Grata pada 2005. Penggambaran filem itu dibuat di Thailand. Ketika itu rumah tangga Erra bersama Yusry sedang bergolak.

Bagaimanapun, Erra menafikan keretakan rumah tangganya berpunca daripada hubungan rapatnya dengan Hans kerana mereka hanya kawan baik. Pun begitu, selepas Erra bercerai dengan Yusry, sekali lagi hubungan istimewa Erra bersama Hans kembali diperkatakan apabila mereka sering kelihatan bersama.

Hubungan rapat mereka terus menjadi bualan hangat apabila Hans Isaac sanggup menghadiahkan jam tangan Rolex bernilai RM15,000 sempena hari jadi Erra ke-33 pada Februari lalu. Pun begitu, Erra tetap menafikan mereka bercinta, selain mendakwa tiada salahnya dia menerima hadiah mewah daripada rakan baik.

Hanya pada awal Julai 2007, Hans Isaac tiba-tiba mengesahkan hubungan cintanya dengan Erra Fazira sudah pun berakhir berikutan penyanyi dan pelakon terkenal itu dikatakan bakal berkahwin dengan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin. Cinta Erra dan Engku Emran dikatakan berputik semasa Erra Fazira menyertai rombongan persembahan Suria FM di Sabah.

Pada 25 Oktober 2007, Erra Fazira dan Engku Emran telah berkahwin dan mereka telah dikurniakan seorang anak yang comel bernama Aleesya.

Pada Jun tahun 2012, desas-desus dan spekulasi mengenai keretakan rumah tangga Erra Fazira dan Engku Emran telah tersebar dan ada khabar angin mengatakan Engku Emran berkahwin lain.

Namun, pada hari Selasa, 18 Februari 2014, segala spekulasi itu terjawab apabila pasangan berkenaan sah bercerai talak satu secara baik di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur kerana tidak ada lagi persefahaman antara mereka dan tidak lagi tinggal bersama sejak setahun enam bulan. Lafaz cerai dilakukan Engku Emran di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain kira-kira pukul 12.50 tengah hari. Penceraian tersebut dilakukan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2003 (Negeri Selangor).

Dalam pada itu, pasangan berkenaan turut bersetuju untuk menyelesaikan hak penjagaan anak mereka iaitu Engku Aleesya yang kini berusia lima tahun tanpa sebarang pertikaian. Engku Emran selaku defendan diberikan hak penjagaan sepenuhnya terhadap anak perempuan mereka manakala Erra diberikan hak lawatan dan bermalam selain cuti sekolah dan hari perayaan. Pelakon itu juga tidak menuntut sebarang nafkah daripada bekas suaminya.

Semoga Erra Fazira tabah menghadapinya.

Erra Fazira kini sedang sibuk menjalani latihan untuk persembahan bersama Awie & Ziana Zain dalam Konsert Teaterikal Suara Kita di Istana Budaya yang bermula pada 3 hingga 9 Februari 2014.

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Exit mobile version