in , , ,

Primeworks Studios Umum Kolaborasi Bersama WeTV Malaysia

Penerbit dan pengedar kandungan program dan filem terbesar di Malaysia, Primeworks Studios baru-baru ini mengumumkan satu lagi kolaborasi bersama perkhidmatan penstriman video, platform OTT (Over-The-Top), WeTV Malaysia.

Melalui perkongsian strategik ini, ia bukan sahaja bakal menghasilkan produksi bersama antara kedua-dua pihak malah turut menyenaraikan beberapa drama terpilih secara khas untuk tontonan pelanggan WeTV yang boleh ditonton secara percuma selepas 1 jam bersiaran di TV3.

Salah satu drama dari slot Lestary TV3 berjudul Sang Pewaris yang ditayangkan dari  26 November hingga 30 Disember 2020, dipilih untuk tayangan di WeTV Malaysia. Drama 13 episod yang dibintangi oleh pelakon pujaan ramai Ben Amir selaku hero dan Amyra Rosli sebagai heroin ini mengetengahkan kisah kehidupan Ali dari ‘zero’ to ‘hero’ dengan unsur-unsur romantis dan konflik kekeluargaan yang muncul satu demi satu.

(Dari Kiri) Datuk Fizz Fairuz, Amyra Rosli, Heng Aik Kuang Pengurus WeTV Malaysia, Wan Sharmila, Nini Yusof Ketua Pegawai Kandungan Omnia _ Pengarah Primeworks Studios

Sebuah lagi karya drama hebat yang terpilih adalah Bidadari Salju, drama 28 episod yang mengangkat tema buli dan dendam, membariskan pelakon Adam Lee dan Sweet Qismina. Drama dari slot Akasia ini akan ditayangkan bermula 15 Disember hingga 21 Januari 2021. 

Bidadari Salju berkisar tentang seorang gadis miskin bernama Kayra yang akhirnya jatuh cinta dengan senior dan pembuli di sekolahnya iaitu Hariz. Hariz amat membenci Kayra hingga tergamak melemparkan fitnah. Namun jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan. Apabila mereka dewasa, Kayra dan Hariz bertemu semula dan timbullah bibit-bibit percintaan antara kedua-duanya. 

20201129_SangPewaris0333

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios dan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Dato’ Khairul Anwar Salleh, berkata, “Kami sangat teruja dengan kolaborasi terbaharu ini kerana ia memberikan satu anjakan bagi mengukuhkan lagi rekod prestasi kami dalam bekerjasama dengan platform penstriman terbaik di negara kita  dalam membina platform langganan yang utama dengan menawarkan program-program hebat masa kini. Secara tidak langsung ia dapat mempertingkatkan lagi strategi dan usaha kami untuk menerbit dan menghasilkan kandungan yang lebih hebat di samping dapat memperluaskan sasaran penonton baharu.”

Pengurus WeTV Malaysia, Heng Aik Kuang menambah, “Kami gembira dapat bekerjasama dengan Media Prima dalam menerbitkan lebih banyak program tempatan. Kami mengharapkan agar lebih banyak program hebat dan bermutu tinggi dapat diterbitkan melalui usahasama ini. Kehendak dan citarasa penonton menjadi keutamaan kami selain dapat memberi manfaat  dan membantu serta menyokong bakat-bakat di belakang tabir industri tempatan.”

20201129_SangPewaris0657

Pelanggan WeTV bukan sahaja dapat mengakses filem Aku Bukan Gila, Arus Merah dan program terbitan produksi WeTV, tetapi juga dapat menikmati kandungan premium di WeTV dengan harga langganan promosi RM7.90 sebulan atau RM79.90 setahun.

Langgan WeTV sekarang dan tonton drama-drama dan filem-filem menarik yang disiarkan di WeTV melalui pelantar wetv.vip, atau diaplikasi yang tersedia di Apple Store untuk pengguna iOS dan Google Play Store untuk Pengguna Android.

Sang Pewaris - Poster
Bidadari Salju_poster

MENGENAI PRIMEWORKS STUDIOS

Primeworks Studios adalah syarikat produksi terkemuka di Asia Tenggara yang bergiat dengan pelbagai pengolahan kandungan kreatif seperti penerbitan TV dan filem, jualan kandungan syarikat, pengedaran dan pemasaran filem, animasi, serta perlesenan dan perdagangan. Ia merupakan sebuah syarikat bertaraf antarabangsa yang telah menghasilkan lebih 3,000 jam isi kandungan hebat untuk pelbagai platform televisyen, pawagam dan digital setiap tahun. Juga, sebagai rumah produksi, Primeworks Studios adalah lambang mutu kreatif disamping pelbagai genre kandungan termasuklah hiburan, majalah, dokumentari, sukan, dan drama. 

MENGENAI WeTV

WeTV adalah perkhidmatan penstriman yang menyediakan kandungan tempatan video-on-demand (VOD) dan over-the-top (OTT) utama di Asia Tenggara. Pelbagai kandungan perkhidmatan disediakan termasuk siri drama dan filem terpilih dari Malaysia, Cina, Tamil, Indonesia dan Korea. Beroperasi sebagai perkhidmatan ‘freemium’, kandungan boleh diakses secara percuma sementara untuk mendapatkan perkhidmatan bebas iklan dengan lebih banyak kandungan premium, sedikit bayaran akses dikenakan. WeTV dapat dilayari melalui pelantar wetv.vip, atau menerusi aplikasi yang tersedia di Apple Store untuk pengguna iOS dan Google Play Store untuk pengguna Android.

ABOUT MEDIA PRIMA BERHAD

Disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia, Media Prima Berhad (“Media Prima” atau “Kumpulan”) adalah syarikat media utama dan terkemuka di Malaysia dengan repertoar lengkap perniagaan berkaitan media di televisyen (TV3, 8TV, ntv7, dan TV9), Penerbitan (The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad), Radio (Ripple), Pengiklanan (Big Tree, The Right Channel, Kurnia Outdoor, Gotcha, UPD, Big Tree Seni Jaya), Rangkaian Membeli-belah (CJ WOW SHOP), Penciptaan Kandungan (Primeworks Studios) dan Media Digital (REV Media Group).

Perkhidmatan terbaru Kumpulan, Media Prima Omnia, adalah penyedia penyelesaian bersepadu yang menawarkan perkhidmatan kreatif dan penyelesaian pemasaran bersepadu di semua platform Media Prima, pengkhususan dalam penjenama kempen, acara dan kandungan kreatif. Perkhidmatan Omnia pada masa ini memenuhi 98% isi rumah Malaysia, dan 24 juta penonton di semua peringkat umur dan lapisan masyarakat di negara ini setiap hari.

What do you think?

73 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Naim Daniel Kecewa Babak Berpakaian Wanita Dalam Video Muzik PURNAMA Terpaksa Dibuang

“Saya Boleh Mati Bila-Bila Sahaja” – Bob Lokman