in ,

Pindah Ke Bali, Ini Status Terkini Rancangan Nourul Depp

Penyanyi Nourul Depp, 42, memanjatkan kesyukuran dan lega diberitahu Indonesia sudah membenarkan kemasukan ke sana selepas hasrat keluarganya berpindah ke Bali pada Julai lalu terbantut.

Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab mengakui rasa tidak keruan selama lebih sebulan akibat masih terkandas dalam negara kerana Indonesia menutup sempadan susulan situasi pandemik Covid-19 tambah membimbangkan.

“Alhamdulillah, dalam sehari dua lagi kami akhirnya dapat pindah ke sana (Bali). Kami diberitahu, kerajaan Indonesia sudah membuka semula kemasukan tapi masih menunggu tarikh untuk terbang.

“Difahamkan, mereka juga sedang mempersiapkan sistem keselamatan di lapangan terbang mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Baguslah kerana mereka betul-betul menitikberatkan aspek itu.

“Semestinya, saya lega dan gembira sebab sudah boleh masuk mengikut visa kami. Lebih sebulan kami tertunggu-tunggu tanpa sebarang kepastian, memang tak keruanlah jadinya,” katanya.

– Nourul Depp

Penyanyi lagu Kerana Terluka itu mendedahkan, mereka sekeluarga terpaksa bersabar dan berdoa selama lebih sebulan ini agar urusan perpindahan ke sana dipermudahkan.

“Sepanjang menunggu dari 22 Julai lalu, setiap minggu rasa berdebar sampai rasa tertekan juga. Ramai yang nak masuk sebab berpindah dan bekerja, terkandas.

“Walaupun emosi agak terganggu juga sebab banyak hal tergendala, kami cuma tawakal dan tabahkan hati. Kami fikir mungkin Allah memang nak selamatkan kami daripada wabak ini,” katanya.

– Nourul Depp

Dalam pada itu, Nourul mengakui agak gementar untuk mula berkelana di negara orang. Namun baginya, pengembaraan itu pasti mengujakan kerana dia sendiri ingin cuba angin berbeza di tempat baharu.

“Gementar campur teruja apabila memikirkan untuk sesuaikan diri di tempat orang. Apapun, saya ‘go with the flow’ saja dan jadi diri-sendiri di sana nanti,” katanya.

– Nourul Depp

Pada Jun lalu, Nourul memaklumkan mereka sekeluarga bakal berhijrah ke Bali pada pertengahan Julai, selepas lama berhajat untuk berbuat demikian.

Dia dan suaminya, Eric Daniel Depp berkahwin pada 2012 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zachary, 8, Raphael, 6, dan Isabella 2.

Sementara, menerusi perkahwinan terdahulunya bersama komposer Ajai, Nourul dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Ayu Nazirah, 23.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jinggo Bangga Anak Bongsu Kini Bergelar CEO, Ini Komen Tuan Punya Badan

Ini Senarai Harga Jualan iPad & iPad Mini Terbaru di Malaysia