in ,

Perjalanan Hijrah Artis Jae Deen

Perjalanan Hijrah Artis Jae Deen: Dari Seorang Muallaf Sehingga Berjaya Menulis 30 juzuk Al-Quran

Joshua Asare atau kini dikenali dengan nama Jae Deen merupakan seorang artis terkenal di Amerika Utara di dalam genre muzik hip hop atau rap. Beliau mula-mula menampilkan diri dalam industri muzik melalui duo yang menggelarkan diri mereka Deen Squad kini meneruskan perjuangan seninya secara solo.

Pernah berduet dengan artis Harris J dan ramai artis terkenal dari USA dan Eropah, Jae Deen juga pernah tampil dalam sesi pembukaan konsert Justin Bieber di Kanada sewaktu bersama Deen Squad.

Jae Deen

Ramai yang tidak mengetahui sisi lain beliau dalam mengharungi perjalanan hijrah dari seorang yang dilahirkan bukan beragama Islam di Ottawa, Kanada sehinggalah beliau memeluk Islam pada usianya 15 tahun.

Menceritakan pengalaman beliau memeluk Islam, beliau mula mendapat hidayah dan tertarik dengan agama Islam apabila diperkenalkan dengan Surah Maryam oleh sahabat beliau di kolej. Menurut Jae Deen persamaan yang ada di dalam kisah yang tertulis dalam surah Maryam berkaitan kelahiran Nabi Isa A.S dengan apa yang dipelajari dari agama asal beliau telah menarik minatnya untuk lebih mendalami Al-Quran sehinggalah akhirnya beliau memeluk Islam pada tahun 2010.

Walaupun mendapat tentangan hebat dari keluarga dan kedua orang tua beliau, Jae Deen tetap meneruskan perjalanan hijrahnya. Beliau telah mengambil subjek Kesusateraan Islam sewaktu di Universiti dan banyak mendalami Islam dengan menghadiri kelas-kelas agama yang diadakan di Kanada.

Pada suatu ketika, Jae Deen merasa sangat sedih kerana beliau tidak memahami apa yang dibacakan Imam sewaktu solat Terawikh dan beliau cemburu dengan jemaah lain yang menangis ketika mendengar surah dibaca kerana memahaminya.

Sejak dari itu beliau telah bertekad mendalami bahasa Arab dan telah mengambil kelas Bahasa Arab Fusha (rasmi). Bermula dari situ, beliau telah memulakan usaha menulis ayat-ayat Al-Quran dan terjemahannya setiap hari bermula dari surah Al-Fatihah sehinggalah habis seluruh Al-Quran ke surah An-Nas.

“Pada mulanya, ia sangat sukar dan ada masa-masanya saya sangat kecewa dan hampir putus asa” ujar Jae Deen memceritakan pengalaman beliau cuba menulis ayat-ayat Al-Quran.

Jae Deen

Akhirnya beliau berjaya juga menamatkan usaha beliau itu dalam tempoh 6 bulan. Setiap hari beliau juga akan berkongsi gambar atau video usaha beliau itu di media sosial bagi menggalakkan remaja lain juga mendalami Al-Quran.

Atas sebab usaha, kegigihan dan pengalaman beliau dalam memahami dan menyebarkan kefahaman terhadap Al-Quran kepada remaja, beliau telah dikurniakan anugerah “The Quran Light of The People Award” dalam sebuah program konvensyen Islam terbesar di Amerika Utara iaitu MAS ICNA pada tahun 2018.

Beliau meneruskan lagi usahanya untuk mendalami bahasa Perancis pula, dan mula belajar bahasa tersebut pada tahun 2017 dan menjadi fasih berbahasa Perancis setelah mendalaminya secara intensif selama 4 bulan sahaja!

Kerana minatnya yang mendalam kepada bidang seni dan muzik, beliau telah mengambil pendekatan menggabungkan mesej Islam yang hendak disampaikannya kepada remaja melalui karya muzik beliau. Lagu-lagu yang beliau hasilkan banyak menyentuh isu-isu berkaitan kehidupan Muslim di Amerika seperti isu Hijab, racisme atau perkauman, tekanan mental, wanita Islam dan lain-lain.

Kini beliau sedang giat mendalami Bahasa Melayu kerana bakal berkolaborasi dalam single baru beliau bersama artis dari Malaysia. Menurut beliau, mempelajari Bahasa Melayu akan memudahkan beliau dalam urusan promosi dan meluaskan pengaruh muziknya di Asia Tenggara khususnya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Didi & Friends Menang Anugerah Program Prasekolah Terbaik Asian Television Awards Ke-24 di Manila

Transformasi Kool FM 2020