in ,

Perdana Menteri Jalani Kuarantin Kendiri Selama 14 Hari

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjalani kuarantin kendiri di kediamannya selama 14 hari mengikut nasihat yang diberikan Kementerian Kesihatan.

Ini susulan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah disahkan positif jangkitan Covid-19 dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Seremban.

“Pada 3 Oktober lalu, saya telah mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut dihadiri menteri itu (Zulkifli).

“Kementerian telah menjalankan ujian saringan pengesanan Covid-19 ke atas semua ahli dan urusetia mesyuarat tersebut,”

– Kenyataan Media

Katanya, berdasarkan penilaian risiko yang dilakukan Kementerian Kesihatan, mereka yang dikenal pasti kontak rapat semasa mesyuarat itu telah diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah selama 14 hari dari tarikh 3 Oktober lalu dan dipakaikan gelang pengawasan.

Beliau berkata, ahli mesyuarat yang bukan merupakan kontak rapat pula dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari bermula 3 Oktober hingga 16 Oktober ini dan memantasi status kesihatan kendiri di rumah setiap hari.

“Sehubungan itu, saya juga akan menjalani kuarantin kendiri di kediaman saya selama 14 hari. Hal ini bagaimanapun tidak akan mengganggu urusan kerajaan.

“Saya akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video bagi mesyuarat yang perlu saya pengerusikan,”

– Kenyataan Media

Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau juga melakukan ujian saringan pengesanan Covid-19 (ujian swab) setiap dua minggu sejak April dan kesemua ujian pengesanan telah disahkan negatif.

“Selain itu saya telah melakukan tiga ujian pengesanan COvid-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September dan didapati negatif,”

– Kenyataan Media

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Azzam Sham Juara Big Stage 2020, Berikut Senarai Penuh Pemenang

Temubual Eksklusif Bersama Angie Tan Selaku Ketua JOOX Malaysia