in ,

Peraduan Menang Tiket Teater OlaBola The Musical

Salam semua, seperti mana yang Budiey war-warkan di laman sosial Twitter, Fanpage Budiey.com dan Instagram sebelum ini, Budiey dengan kerjasama Enfiniti Productions mahu memberikan sepasang tiket untuk 10 orang pembaca setia blog ini di mana pemenang peraduan ini akan menonton persembahan istimewa pada 7 Februari 2018 di Istana Budaya.

Bermakna dengan Budiey sekarang ini, ada 20 keping tiket (setiap sekeping tiket berharga RM200) kesemuanya khas akan diberikan kepada pembaca dan Budieyators kat luar sana yang sangat berminat untuk menonton teater ini. Haaa…. mahu tak? Mahu tak?

Kalau anda mahu, jom sertai peraduan ini. Budiey kira senang je nak join peraduan ni. Tak susah sangatlah.

[L-R] Lim Jian Wen, Luqman Hafidz, Iedil Putra, Brian Chan. Abimanyu Misilamani, Kai Chalmers

Istimewanya Teater OlaBola The Musical

[dropcap]T[/dropcap]eater yang berlatar belakangkan kisah hidup pemain bola sepak ini akan mula dipersembahkan pada malam pembukaan perdana muzikal iaitu pada 8 Februari dan pementasannya akan berlangsung sehingga 11 Mac 2018.

Enfiniti telah mengumumkan Luqman Hafidz, Lim Jian Wen, Brian Chan, Abimanyu Masilamani, Kai Chalmers dan penyanyi rap Altimet sebagai barisan utama muzikal ini; dan mereka telah pun tampil membuat persembahan secara langsung single radio pertama Muzikal OlaBola bertajuk “Luar Biasa” di pentas rancangan realiti popular Astro Ria, Akademi Fantasia Megastar pada 8 Oktober lalu.

Turut menyertai barisan bintang-bintang ini adalah Iedil Putra sebagai Rahman dan Melissa Ong sebagai Chow Mei Ling. Juga termasuk pelakon dan penari Emma Toh dan pemenang Miss World Malaysia 2015, Brynn Zalina Lovett, serta kumpulan tarian jalanan yang banyak memenangi anugerah, Giller Battle Crew yang terdiri daripada tiga beradik yang berasal dari Sabah – Khenobu, Weskarnain dan “Juicy” Mohd Yasin serta penari-penari hip hop terkenal Budak Joget, yang diketuai oleh Pembantu Jurureka Tari Muzikal OlaBola, Fuzz Wayne.

Pelakon Iedil Putra yang berkecimpung dalam dunia lakonan sejak 2011, telah memegang watak utama di dalam pelbagai filem popular seperti Ngorat, Terbaik dari Langit dan Interchange. Dengan pengalaman selama dua dekad dalam bidang seni persembahan, pelakon yang dilatih oleh Tunas Budaya ini telah mengembangkan sayapnya dalam industri hiburan baik di depan atau di belakang tabir. Beliau juga merupakan salah seorang ahli kumpulan sketsa komedi yang banyak memenangi anugerah, Projek Disko Baldi. Bakat Iedil lebih terserlah ketika membawa watak Sukardi dalam pementasan Muzikal P.Ramlee Musim ke-3.

Melissa Ong merupakan seorang penghibur dan personaliti TV. Mula dikenali sebagai hos rancangan TV Tong Tong’s Wonderland di Astro XTY. Beliau yang bermula sebagai penari balet seawal umur 3 tahun, dan mengembangkan bakatnya ke genre tarian lain seperti tarian moden dan tradisional, tarian Latin, hip hop, tarian gelek, tarian jazz dan tarian broadway. Melissa juga telah berjaya bergelar penyanyi apabila beliau muncul dengan EP single bersama kugiran wanita Previous.

TIARA JACQUELINA MELATIH BARISAN WIRA

Tiara Jacquelina, pengasas Kumpulan Enfiniti dan Pengarah Muzikal OlaBola berkata,

“Kami amat kagum dengan jumlah bakat-bakat dari dalam dan luar Malaysia yang hadir ke ujibakat kami, pada bulan Ogos yang lalu. Lebih 300 orang telah hadir, dan ujibakat kami berlangsung sehingga lewat tengah malam! 100 orang telah disaring dipanggil semula, di mana mereka perlu diujibakat sekali lagi, dan akhirnya kami memilih 40 yang terbaik. Bagi saya, ini memang barisan yang diimpikan. Mereka pasti akan memukau penonton melalui persembahan mereka Februari akan datang. “

“Dengan barisan yang turut menampilkan pelakon pentas mantap seperti sahabat lama kami, Iedil, dua pelakon asal filem OlaBola yakni Luqman dan Jian Wen, bakat baru penuh potensi seperti Brian, Abimanyu dan Kai serta penyanyi dan penulis lirik Altimet dengan penampilan pertamanya dalam pentas muzikal; kami mempunyai bakat dari pelbagai bidang seni persembahan, kini bekerjasama untuk menghidupkan semangat dan mesej OlaBola.

“Ia sememangnya sebuah fakta seluruh dunia, bahawa seni persembahan hanya mampu maju dan berkembang dengan kerjasama dan sokongan sektor swasta, kerajaan dan industri seni sendiri. Kerajaan telah melaksanakan sebuah inisiatif penting, iaitu penolakan cukai sehingga RM700,000 kepada semua syarikat yang mendukung Muzikal OlaBola. Ini bertujuan untuk menggalakkan agar lebih banyak syarikat supaya menyokong produksi seni persembahan tempatan.

“Hari ini, kami ingin menunjukkan penghargaan di atas penyertaan CIMB dalam Muzikal OlaBola. Ini adalah contoh hebat bagaimana sektor swasta telah tampil dan membantu jadikan impian kami tercapai iaitu untuk membawa seni persembahan Malaysia ke tahap lebih tinggi, sekaligus melangkaui batasan dan mencipta tanda aras baharu bukan saja di negara ini tapi moga-moga di rantau ASEAN juga.

“Dalam filem OlaBola, rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang bersatu untuk untuk menyokong pasukan bola sepak kebangsaan dalam perjalanan mereka ke Olimpik. Hari ini, dengan semangat yang sama, kami menggabungkan individu-individu paling berbakat daripada pelbagai komuniti seni persembahan, daripada filem, teater, muzik, Youtube, rap, hip hop, penari breakdance malahan pelakon cilik dan seorang ratu cantik dalam persembahan kami. Semuanya bersatu untuk persembahan paling hebat yang pernah ditonton rakyat Malaysia.

“Keluarga berbilang bangsa Muzikal OlaBola terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India, juga dari Sabah dan Sarawak. Kami telah bekerja bersama sejak bulan Ramadhan lagi, dalam bengkel adegan, dialog, lagu, bola sepak, tarian dan kami juga bermain futsal bersama!

“Lebih 300 orang menyertai ujibakat pada bulan Ogos, dan kami memanggil semula senarai pendek pelakon sebanyak dua kali, hinggalah kami mendapat 40 yang terakhir dalam barisan pelakon kami.

“Bagi saya, ini barisan yang diimpi-impikan – kami mempunyai pelakon teater yang mantap seperti Brian Chan, Abimanyu Masilamani, Kai Chalmers, artis rakaman Melissa Ong dan pelakon pentas dan filem Iedil Putra, dan dua daripada pelakon asal filem OlaBola, Luqman Hafidz dan Jian Wen. Tambahan lagi, kami ada bintang rap, Altimet dalam peranan pentas pertamanya!

“Saya telah berkerja dengan Brian, Abi dan Kai dalam projek lain sebelum ini, dan saya telah memerhatikan etika kerja mereka selama beberapa tahun. Jiwa muda, ketekunan dan keinginan mereka untuk berjaya mengingatkan saya ketika saya bermula dahulu, dan mereka mempunyai sikap kerja yang betul, layak untuk mendapat pendedahan besar.

“Luqman dan Ah Chai ‘Wen’ pula, saya hargai usaha mereka untuk menyertai beberapa pusingan ujibakat bersama pelakon lain. Ketika bengkel skrip kedua, dan kami sedang memuktamadkan skrip serta pelakon, saya kata pada Luqman dia perlu betul-betul ‘jual’ kepada saya kebolehannya demi membawa lagu rap epik yang ditulis Altimet untuk salah satu adegan Ali, dan dia boleh bawa watak “budak nakal” Ali. Keesokan harinya, dia datang dengan plaster di bawah mata kanannya. Seperti penyanyi rap Nelly. Saya terpaksa menahan ketawa setiap kali melihat aksi dia. Apa pun, saya harus nyatakan betapa saya suka dedikasi Luqman sebagai seorang pelakon, walaupun sudah terkenal dengan watak Ali di dalam filem asal, namun dia tetap merendah diri dan mahu belajar untuk memperbaiki diri.

“Wen benar-benar menjiwai watak Ah Chai dan dia memang baik hati. Dia bawa kegembiraan ke dalam bilik latihan. Dia sentiasa meyakinkan saya dia akan beri yang terbaik, dan memang dia berikan yang terbaik.

“Kerana persembahan ini berlatarkan rap dan hip-hop, kami juga mempunyai penari hip-hop hebat, krew tarian Budak Joget, Kalai, Fahi dan Pembantu Jurureka Tari kami Fuzz Wayne. Mewakili komuniti penari breakdance di Malaysia, Khenobu, Juicy dan Wes, yang merupakan juara breakdance antarabangsa daripada Giller Battle Crew.

“Mereka akan mempesonakan penonton apabila anda memyaksikan persembahan mereka Februari nanti. “

OLABOLA THE MUSICAL

MENYATUKAN BOLA SEPAK, TARIAN JALANAN DAN TEATER

Muzikal OlaBola adalah merupakan muzikal epik rap dan hip-hop pertama di Malaysia, cukup segar dan berbeza daripada produksi Malaysia yang lain. Selain ikon rap Altimet di dalam pasukan kreatif kami, OlaBola The Musical menjanjikan koreografi mahir dan persembahan Giller Battle Crew (pemenang Showdown The Series 2012) dan krew tarian hip-hop serta pemenang anugerah antarabangsa, Budak Joget, yang akan membuat anda terkesima!

“Penari breakdance sebelum ini hanya boleh bermimpi untuk buat persembahan di Istana Budaya. Hari ini, salah satu impian seumur hidup saya akan jadi kenyataan. Bagi pihak komuniti penari breakdance, saya ingin ucapkan seikhlas terima kasih kepada Tiara kerana membuka peluang kepada kami untuk persembahkan kesenian kami di pentas Istana Budaya. Kami tidak sabar untuk menunjukkan reka tari terbaik kami dan tunjukkan kebolehan kami kepada negara,” kata juara dua kali pertandingan Red Bull BC One di Malaysia dan Jepun, Khenobu.

“Buat sekian lama, hip-hop telah menjadi gaya hidup saya dan kini diberi peluang menjadi sebahagian daripada Muzikal Olabola adalah satu penghargaan. Saya cukup teruja untuk memberikan sehabis baik untuk produksi ini dan saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Jurureka Tari Azwa, Pengarah Pergerakan Stephen dan juga barisan pelakon yang berbilang serta hebat,” kata Pembantu Jurureka Tari Muhammad Fazrin yang juga dikenali sebagai Fuzz Wayne.

Untuk maklumat lanjut dan maklumat penuh tiket, layari laman web di www.olabolamusical.com. Untuk berita terbaru, ikuti laman Facebook Enfiniti (https://www.facebook.com/EnfinitiMY/) dan Instagram (https://www.instagram.com/enfinitimy/).

Break a leg untuk semua pelakon dan team teater ini.

Cara Untuk Menyertai Peraduan Ini:

Tak susah dan tak senang. Sebab apa yang anda perlu buat ialah:

Jawab soalan mudah ini:

  1. What decade is OlaBola The Musical set in?
  2. Kemudian, lengkapkan slogan berikut: Saya mahu menonton persembahan Teater OlaBola The Musical kerana…

Sertakan juga maklumat peribadi:

Nama:

Twitter:

Alamat surat menyurat:

Email:

Nombor telefon:

Hantarkan jawapan anda kepada:

dengan tajuk email: Peraduan Menang Tiket Teater OlaBola The Musical

Tarikh tutup peraduan:

6 Februari 2018

Pemenang akan dihubungi oleh Budiey melalui email & Twitter.

Peringatan: Sila tulis tajuk emel anda dengan betul ya. Kalau salah tajuk emel ni, nanti Budiey tak dapat kasi sebab takde dalam list carian kat emel. Orait?

Terima kasih kepada Enfiniti dan pembaca Sensasi Selebriti yang sentiasa memberikan sokongan. Bertemu lagi di peraduan dan kuiz yang akan datang.

Jangan lupa untuk menonton teater ini di Istana Budaya.

Jangan lupa follow Budiey di Twitter (@budiey) and ‘Like’ Facebook page Budiey Dot Com untuk mengetahui ulasan filem dan berita terkini tentang dunia hiburan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TV2 Siar Siri Penyiasatan Jenayah Dalam LEGENDS

Temasya E-Sukan ESL One Genting 2018