in , ,

Penyanyi Singapura Andry Darwisy Harap Magis Single RELA AKU RELA

Nama-nama seperti Hady Mirza, Taufik Batisah, Aliff Aziz, Sufi Rashid antara penyanyi kelahiran Singapura yang berjaya mencuri hati peminat di Malaysia. Malah, kerjaya seni dan karya mereka juga mekar hingga kini.

Terbaharu, bintang muda yang menggunakan nama pentas Andry Darwisy bakal mengikut jejak langkah seniornya dalam bidang nyanyian itu sekali gus memperkenalkan namanya ke persada muzik tanah air.

Andry Darwisy yang dicungkil bakatnya menerusi program Youth Got Talent pada 2012 terus mengorak langkah dalam industri hiburan Singapura apabila kini bernaung di bawah syarikat Boss Production selepas menjadi juara pertandingan Who’s The Boss Singing Competition yang diadakan tahun lalu.

Bertitik tolak dari pertandingan itu, kelebihan dan bakat nyanyian dimiliki Andry melayakkan dia untuk muncul dengan single sulung, Rela Aku Rela yang sudah dilancarkan secara rasmi di semua platform muzik digital sejak 27 Oktober.

Penyanyi Kelahiran Singapura Andry Darwisy Harap Magis Rela Aku Rela

Andry berkata, lagu ciptaan Wanz Baronz itu diharap dapat mencipta magis bukan saja dalam kerjaya nyanyian tapi juga secara peribadi.

“Alhamdulillah, selepas memenangi pertandingan nyanyian Who’s The Boss Singing Competition anjuran Boss Production pada tahun lalu, saya kini artis di bawah naungan Boss Production. Syukur, single pertama saya, Rela Aku Rela sudah dilancarkan secara rasmi. Lagu ini mendapat sentuhan oleh Wanz Baronz yang juga pengubah lagu yang dinyanyikan oleh beberapa artis terkenal seperti Saleem, Kristal, Wany Hasrita dan Awis Spin,” katanya.

Menurut Andry, berbekalkan single itu juga, dia memasang impian untuk mengembangkan kerjaya nyanyian di Malaysia.

“Sudah tentu ini adalah impian dan cita-cita saya agar dapat mengembangkan kerjaya di Malaysia. Insya-Allah,” katanya.

Menariknya mengenai Andry, selepas kali pertama menyertai pertandingan nyanyian pada 2012, dia mencuba nasib lagi dalam beberapa pertandingan lain seperti Dangdut Academy Asia (2018), Anugerah (2021) dan Warna 94.2 Singing Competition (2021).

Bagi Andry, tidak ada istilah putus asa dalam kamus dirinya, sebaliknya menjadikan platform pertandingan itu sebagai medan untuk membina keyakinan diri.

“Bagi saya menyertai pertandingan bukan sahaja untuk keyakinan diri saya, tetapi juga untuk mencabar diri sejauh manakah kemampuan saya. Seperti pepatah yang mengatakan ‘you’re only as good as your last achievement’. 

“Sebagai contoh, penyanyi terkenal yang pada masa kini masih relevan seperti Tomok, Jatt Ali, Jaclyn Victor, Fuad Rahman dan sebagainya. Walaupun mereka sudah dianggap sebagai legenda, mereka tetap mencabar diri dengan menyertai program Gegar Veganza. 

“Jadi, untuk orang baharu seperti saya, tidak salah untuk menyertai apa saja pertandingan. Bukan saja untuk menonjolkan bakat yang ada, tapi dalam masa sama dapat mengasah skil nyanyian itu.

“Selain itu, pertandingan nyanyian juga adalah kesempatan dan peluang terbaik untuk kita menguji diri dengan cabaran lain terutama daripada peserta yang turut bertanding. Dari situ juga kita dapat belajar sesuatu yang baharu,” katanya.

Penyanyi Kelahiran Singapura Andry Darwisy Harap Magis Rela Aku Rela

Berkongsi lanjut mengenai perjalanan kerjaya seni yang dibina, Andry berasakan laluan itu dipermudahkan apatah lagi sering mendapat sokongan dan respons positif daripada orang sekeliling.

“Kalau nak bercakap soal perkembangan yang saya perolehi sekarang ni, ia bukan hanya dari segi nyanyian tetapi juga dalam bentuk pendirian seperti keyakinan diri saya juga.

“Alhamdulilah, dari awal hingga sekarang, sambutan yang saya terima semuanya positif. Antara contoh sambutan yang saya terima adalah daripada NurJM Official di mana setiap kali beliau memuat naik mengenai perkembangan saya, ramai yang bertanya bila pelancaran single saya Rela Aku Rela ini,” katanya.

Ditanya mengenai sejauh mana dia percaya dan yakin pada kontroversi mampu melonjakkan nama seseorang artis, Andry berkata dia sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku.

“Ya, saya yakin dan percaya kontroversi itu mampu melonjakkan nama seseorang artis. Ini kerana pada zaman ini memang mudah untuk seseorang artis melonjakkan namanya dengan menggunakan kuasa media sosial.

“Dalam masa sama, saya amat bersedia untuk berdepan situasi tular. Diakui ia sedikit sebanyak membantu kerjaya dan karya yang ada. Kita ambil contoh seperti Datuk Seri Aliff syukri, dia seseorang yang bijak. Menggunakan kuasa media sosial untuk mencapai matlamatnya untuk mudah dikenali dan mencapai populariti dan akhirknya itu yang membuat dirinya trending. Suara sedap atau tidak itu adalah pendapat masing-masing,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tulus

Konsert Tulus ‘Manusia’ Yang Dinanti di Kuala Lumpur Buka Tirai 2023

Najwa Latif | 17

Najwa Latif Sah Bergelar Isteri Kepada Rakan Duetnya, Akwa Arifin