in , ,

Penghantar Barangan Antara Wira Tidak Didendang di Era Pandemik

Wira Tidak Didendang Pandemik: Penghantar Barangan Barisan Hadapan Yang Berani Menghadapi COVID-19, Menghantar Barangan Keperluan Kita Tidak Kira Hujan Atau Panas.

Tidak dinafikan bahawa sektor e-Dagang telah berkembang dengan sangat pantas dalam tempoh setahun lepas, lebih-lebih lagi semasa pandemik. Beli-belah dalam talian kini sudah menjadi lumrah gaya hidup sambil rakyat Malaysia semakin bergantung kepada platform e-Dagang untuk membeli barangan keperluan harian seperti barangan runcit, elektronik dan banyak lagi. 

Kesan daripada pertumbuhan pantas industri e-Dagang ialah permintaan yang semakin meningkat bagi penghantaran barangan dengan segera dan boleh dipercayai, kerana pembeli mahu mendapatkan barangan secepat mungkin selepas membuat pesanan. Untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat ini, logistik memainkan peranan penting dalam rantaian nilai e-Dagang, bukan sahaja memastikan pelanggan menikmati pengalaman beli-belah dalam talian bermutu tinggi, tetapi juga membantu peniaga membina daya saing. 

Walaupun kita sering menggelar petugas perubatan barisan hadapan sebagai wira pandemik – dan mereka layak diberi gelaran tersebut kerana mereka perlu berhubung secara langsung di samping menghadapi risiko menjaga dan merawat pesakit, tidak ramai yang sedar akan peranan yang dimainkan dan sumbangan besar yang diberikan oleh penghantar barangan barisan hadapan kepada masyarakat, agar kita boleh duduk di rumah dengan selamat.

Mereka yang keluar bekerja setiap hari menghadapi risiko pandemik, tidak kira hujan atau panas, untuk memastikan rakyat Malaysia menerima barangan keperluan harian dengan cara yang selamat dan terlindung pada masa yang getir ini.  

Salah seorang daripada petugas logistik barisan hadapan yang dimaksudkan ialah Shairul Rizal, yang sentiasa berada di jalan raya menghantar barangan keperluan orang ramai, tanpa mengira keadaan cuaca.

Mengutamakan keselamatan negara berbanding kepentingan peribadi semasa pandemik, pemandu berusia 47-tahun ini biasanya membawa kenderaan ke enam kawasan berbeza untuk menghantar beratus-ratus bungkusan setiap hari kepada rakyat Malaysia yang tidak sabar-sabar menunggu di rumah untuk ketibaan pesanan mereka. 

Shairul_Photo

Keterangan gambar: Shairul lazimnya bekerja 12 jam sehari  untuk menghantar beratus-ratus bungkusan sehari kepada rakyat Malaysia tanpa mengira keadaan cuaca. 

“Hari kerja saya bermula pada waktu pagi apabila lori membawa masuk muatan barangan pertama yang dijadualkan untuk penghantaran sehingga waktu tengah hari. Kemudian pada jam 1 tengah hari, lori kedua membawa barangan untuk dihantar sehingga jam 7 malam,” jelas Shahrul. “Dalam kempen mega Lazada seperti 9.9 Biggest Brands Sale, saya mungkin memandu di jalan raya selama lebih daripada 12 jam untuk memenuhi lonjakan pesanan dalam tempoh ini. Walaupun ini bermakna bekerja lebih keras daripada biasa, saya rasa bersemangat dan memang menantikan tempoh kempen kerana saya mendapat ganjaran komisen lebih tinggi yang boleh saya gunakan untuk belanja keluarga saya!”

Sebagai bapa kepada empat orang anak, Shairul berhati-hati apabila membuat penghantaran dan melakukan sebaik mungkin untuk mengurangkan hubungan fizikal dengan orang lain. “Untuk melindungi keluarga saya daripada ancaman virus, saya mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan seperti memakai dua pelitup muka serta melakukan sanitasi tangan dan kenderaan dengan kerap. Saya bersyukur kerana terdapat prosedur penghantaran tanpa sentuhan yang ditetapkan semasa pandemik di samping protokol kesihatan dan keselamatan wajib yang dilaksanakan di tempat kerja saya. Saya rasa lega dan dapat meneruskan kerja dengan fikiran yang tenang,” katanya.

Walaupun menghadapi risiko jangkitan dan perlu bekerja keras setiap hari, Shairul seronok bekerja kerana beliau tahu tugas yang dilakukannya amat bermakna untuk masyarakat. “Walaupun pandemik telah menjejaskan kedudukan kewangan dan kesihatan mental ramai orang, pelanggan masih rasa teruja untuk menerima bungkusan yang kami hantar. Saya rasa gembira kerana setiap penghantaran yang saya buat mengukir senyuman di wajah mereka,” tambahnya. 

Seorang lagi petugas barisan hadapan logistik ialah Azmi Othman, 47 tahun, yang kini merupakan Pengurus Hab di pusat logistik terbesar negara di bawah Lazada Malaysia – iaitu Hab Petaling Jaya.  Beliau sudah berkecimpung dalam bidang logistik selama tiga dekad dan menguruskan sepasukan 150 orang. Tanggungjawabnya melibatkan komunikasi dan perancangan untuk memastikan bahawa semua operasi di hab dikendalikan dengan lancar. “Tetapi tugas utama saya ialah untuk memastikan pasukan saya terlindung semasa bekerja dan pelanggan menerima bungkusan mereka dengan selamat,” katanya. 

Azmi_Photo

Keterangan gambar: Azmi bertanggungjawab terhadap seluruh proses logistik dan penghantaran di hab dari jam 6.30G dan habis kerja antara jam 9MLM hingga 11MLM. 

“Tiada waktu kerja biasa dalam bidang tugas ini. Setiap hari memang berbeza,” ujar Azmi.  Beliau bertanggungjawab terhadap seluruh proses logistik dan penghantaran di hab daripada peringkat awal; iaitu mengutip produk daripada penjual, kepada proses penyisihan dan pengagihan bungkusan kepada pasukan penunggang dan pemandu, dan juga perkhidmatan pelanggan. Azmi lazimnya habis kerja antara jam 9 malam hingga 11 malam, dan sekali-sekala beliau pulang pada jam 2 pagi pada hari yang sibuk. 

Walaupun dengan jadual kerja yang ketat, Azmi seronok bekerja dan merupakan pemimpin pasukan yang menjadi teladan yang amat mengutamakan pertumbuhan dan pembangunan anggota pasukannya. “Mereka ibarat keluarga saya sendiri dan saya menghargai kegigihan mereka bekerja dan menyabung nyawa menempuh panas terik, hujan lebat dan banjir untuk menghantar barangan dengan selamat ke tangan pelanggan, dengan tahap profesionalisme yang tinggi. Oleh yang demikian, saya cuba melakukan apa sahaja yang saya mampu untuk mendorong dan membina kejayaan pasukan saya kerana saya rasa gembira untuk melihat mereka mencapai potensi maksimum dan memenuhi impian masing-masing.” 

Azmi buat masa ini sedang beralih kepada tugas baharunya sebagai Pengurus Kawasan untuk mengendalikan lima hab di Lembah Klang, di samping lapan hab berbilang fungsi di seluruh negara sebagai sebahagian daripada projek baharu. Sebagai persediaan, Azmi telah mengunjungi hab-hab di seluruh negara untuk bertemu dan mengenali setiap pasukan. Walaupun ini bermakna waktu kerja lebih panjang dan beban kerja lebih berat beliau teruja dan yakin menghadapi masa depan. “Saya memang seronok bertugas dan saya suka menyahut cabaran dalam kerjaya ini. Oleh yang demikian saya tidak sabar-sabar membuka lembaran baharu dan menerokai segala kemungkinan dalam jawatan baharu ini.” 

Walaupun pandemik masih berlarutan, para petugas barisan hadapan logistik terus berusaha gigih memastikan pesanan dihantar ke depan pintu kita sambil kita terus menjaga keselamatan dan membeli dari rumah. Syarikat-syarikat seperti Lazada perlu terus menambah baik persekitaran di tempat kerja dan melaksanakan protokol keselamatan sewajarnya yang ketat, seperti sanitasi harian gudang dan hab logistik, serta kaedah penghantaran tanpa sentuhan untuk memberi perlindungan dan jaminan kepada pasukan petugas barisan hadapannya yang berdedikasi sepanjang tempoh pandemik.  Berkat kerja keras dan komitmen yang ditunjukkan, merekalah sebenarnya wira-wira tidak didendang dalam suasana semasa yang mencabar ini. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Maid Tukang On Butang ‘Live’ Bersama Tya

Hasnol Dedikasi NADI CINTA KITA Buat Allahyarham Adnan Abu Hassan & Tony Spider