in ,

Saradha Sivalingam Kalai Mahu Kuasai Platform Digital Global 

Pencapaian 200 filem yang diedarkan ke pawagam seluruh dunia bagi tempoh 12 tahun termasuk 40 filem pada tahun 2021 merupakan kejayaan manis diraih syarikat produksi KS Movie Sdn Bhd.

Pengarah KS Movie Sdn Bhd, Saradha Sivalingam berkata, pengedaran filem ketika pandemik COVID-19 memberikan cabaran cukup besar padanya dalam meneruskan bisnes dalam industri perfileman global. 

“Semasa pandemik menyaksikan bisnes sinema turut terkesan dengan teruk tetapi kami dapat mengatasinya. Dalam usaha menanggung kos produksi, kami bekerja keras mengedar pelbagai genre filem ke seluruh dunia menerusi platform berbeza yang mencabar kesabaran dan faktor masa,” katanya. 

Saradha yang juga pengarah filem mengakui ada filem yang dikategori sebagai filem yang pernah mendapat kutipan pecah panggung (box office) tetapi tidak mendapat sambutan positif penonton kerana sebab lain yang tidak dijangka. 

“Pertama sekali, kami perlu memilih skrip yang menarik. Bagi setiap filem yang dibeli akan diedarkan ke beberapa negara bergantung kepada keperluan kandungan filem tersebut tetapi untuk mendapatkan pulangan pelaburan (ROI) dan keuntungan, ia memberikan cabaran yang besar. 

“Sebagai contoh, filem yang diedarkan di negara ini membabitkan banyak prosedur termasuk penapisan filem dan kami perlu mendapat sijil mandatori iaitu A dan B untuk setiap lokasi sinema yang menayangkan filem berkenaan dan juga pembelanjaan lain yang diperlukan,” katanya. 

Saradha yang berpengalaman selama dua dekad terbabit dalam industri perfileman tempatan dan antarabangsa mengakui cabaran membawa filem antarabangsa untuk tayangan bukan suatu bisnes yang mudah. 

Pengarah Saradha Sivalingam Kalai Mahu Kuasai Platform Digital Global

“Produser dan pengedar antarabangsa lain biasanya akan menghubungi kami berdasarkan perhubungan bisnes kami yang lalu dan juga menerusi festival filem yang pernah kami kunjungi. Pemamer dan sub pengedar juga akan menawarkan lesen sesebuah filem itu kepada kami sebelum berbincang untuk mendapatkan harga yang terbaik,” katanya. 

Dari aspek pandangan seorang pengarah filem, Saradha sentiasa mahukan penonton mempunyai rasa dan minat terhadap filem yang dibawanya. 

“Saya memilih cerita yang mempunyai kaitan dengan kehidupan seharian kita. Kadangkala ia memberikan tekanan apabila penonton tidak kenal bakat pelakon itu. 

“Sebelum terjun dalam bidang pengedaran filem, saya terlebih dahulu menimba pengalaman sebagai pelakon sehingga karier seni saya berterusan ke tahap sekarang. Saya pernah melakonkan pelbagai watak dan karakter tetapi kesungguhan lakonan itu menunjukkan siapa diri anda sebenar. 

“Saya berpengalaman membintangi lebih 20 drama Tamil dan Melayu antaranya Bila Musang Berjanggut bersama produksi aktres hebat, Sheila Rusly; drama bersiri dengan Datuk Rosyam Nor berjudul Nigina serta heroin kepada Erry Putra menerusi telefilem Setulus Kasihmu,” katanya. 

Tambahnya, selepas mempunyai cahaya mata, Saradha lebih fokus pada kerja bidang produksi dan pengedaran filem. Saradha merupakan pengedar filem Malaysia pertama yang mempunyai lesen untuk mengedarkan filem menerusi platform over-the-top (OTT) Amazon Prime Video (Prime Video) ke seluruh dunia termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat dan Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura dan Brunei. 

Pengarah Saradha Sivalingam Kalai Mahu Kuasai Platform Digital Global

Akuinya, cabaran penggiat seni pada zaman kini lebih besar selepas bisnes kebanyakan sinema lebih terarah kepada media digital. 

“Sudah tentu kita semua perlu menyesuaikan diri dengan perubahan baru dalam industri filem semasa. Saya juga terus belajar dan mencuba perkara baru setiap hari. 

“YouTube dan pelbagai platform media sosial lain memberikan anda peluang untuk mencuba filem anda sendiri. Sudah tentu, ia memerlukan masa dan kesabaran, tiada hasil atau kejayaan datang dengan mudah,” katanya. 

Saradha yang juga ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) berkongsi tips sebagai penyedia kandungan digital yang berjaya iaitu perkara pertama yang perlu difikirkan ialah membuat pilihan jenis kandungan yang ingin ditawarkan dan memikirkan cara untuk menghubungkan kandungan tersebut dengan khalayak. 

“Jumlah penonton yang ramai membolehkan penyedia kandungan digital itu mendapat pendapatan menerusi saluran media sosialnya. Memuat naik kandungan yang menarik akan memberi impak pada saluran media sosial itu sendiri. 

Pengarah Saradha Sivalingam Kalai Mahu Kuasai Platform Digital Global

Saya melihat filem tempatan kita sebenarnya berjaya menarik perhatian penonton di seluruh dunia. YouTube merupakan alat pemasaran terbaik untuk sesebuah kandungan dan saya berbangga apabila meraih anugerah YouTube Silver Button Holder dengan pencapaian 250,000 pelanggan,” katanya. 

Bagi tahun 2023, Saradha bersama KS Movie Sdn Bhd mempunyai lebih banyak judul filem yang akan diedarkan pada tahun ini termasuk beberapa projek filem terbesar yang akan masuk ke pawagam bermula Februari depan. 

“Saya sendiri berpesan pada diri saya sendiri, jangan putus asa dalam mengejar sesuatu impian yang diharapkan. Begitu juga saya berhasrat menerbitkan filem yang akan mengiktiraf saya sebagai pembikin filem berjaya suatu hari nanti, mungkin impian saya itu menerbitkan filem genre seram selain meneruskan karier lakonan saya,” katanya. 

LATAR BELAKANG 

Saradha Sivalingam Kalai merupakan seorang produser, pengarah filem dan ahli perniagaan terbabit dalam industri penerbitan TV dan filem tempatan mahupun antarabangsa. 

Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini berpengalaman selama 20 tahun dalam industri perfileman termasuk terlebih dahulu menjadi seorang pelakon. Minat dan cinta terhadap bidang seni berterusan apabila menubuhkan syarikat produksi sendiri, KS Movie Sdn Bhd pada tahun 2019. 

Bertanggungjawab sebagai Pengarah Urusan MSK Cinemas Sdn Bhd dan Pengarah di 2K Studios Pte Ltd di Singapura dan Pengarah KS Movie Sdn Bhd, Saradha lebih memberi fokus pada aspek pengarahan filem dan produksi selepas mendirikan rumah tangga. 

Objektif dirinya ialah mengasah bakat dan menggunakan pengalaman dalam bidang seni untuk menyerlah potensi diri hingga memberi inspirasi pada tahap maksimum serta mencapai peringkat tertinggi dalam bidang pengarahan filem, penerbitan dan pengedaran. 

Dari aspek segmen bisnes, Saradha mempunyai kepakaran dalam pengedaran filem dari luar negara mencakupi hak cipta bagi produk filem, program TV seperti telefilem, bersiri, muzikal, iklan, korporat dan animasi dalam pelbagai bahasa sama ada Tamil, Hindi dan Inggeris. 

Tidak terhad itu saja, perkhidmatan yang ditawarkan Saradha membolehkan dia mengeksport dan mengedar produk hiburan ke luar negara untuk pasaran antarabangsa. 

Sebagai usahawan yang berwawasan tinggi dan bekerja keras, Saradha yang juga bertindak sebagai Penyedia Kandungan Digital sentiasa memastikan bisnesnya mempunyai penstriman dalam talian menerusi platform seperti YouTube, Google, iTunes, Yupp TV dan Amazon. 

Saradha mengakui dia seorang yang berminat untuk belajar setiap aspek proses pembikinan filem daripada praproduksi hingga karya itu ditayangkan di pawagam. Berpengalaman luas dalam selok belok kerja pengedaran filem antarabangsa, Saradha gemar melakukan pelbagai kerja secara profesional sama ada dalam kerja dan kehidupan peribadi. 

Sebagai ahli perniagaan dan produser, Saradha membuktikan kredibiliti mempunyai wawasan yang kreatif, pengurusan yang positif dan fokus dalam hala tuju kerja seni kreatif. Saradha berbangga usaha bersama syarikatnya membuahkan hasil dalam menerajui pengedaran filem seluruh dunia bagi filem genre bebas, program TV dan pelbagai kandungan digital lain. 

Fokus bisnes Saradha tertumpu pada pasaran tempatan dan antarabangsa seperti Singapra, platform Video on Demand (VOD), over-the-top (OTT), YouTube, kandungan hiburan dalam penerbangan dan pasaran digital. 

Pencapaian terbaik Saradha dalam kandungan digital menerusi pengiktirafan YouTube Silver Button Creator Award dengan kejayaan melebihi 250,000 pengikut dengan 35 juta tontonan. Saradha juga tersenarai sebagai individu paling berjaya iaitu Successful People in Malaysia di Malaysia menerusi buku Ensiklopedia BritishPedia Edisi ke-4, 2020. 

Bagi mengembangkan bisnes, Saradha menceburi bidang makanan iaitu bisnes Food and Beverage (F&B) pada tahun 2018 lalu memperkenalkan jenama My Mama’s Kitchen. Beroperasi di tingkat bawah, 184, Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, Kuala Lumpur, Saradha menawarkan pengalaman menikmati pelbagai juadah masakan India, Malaysia, Thai, Sri Lanka di restoran. 

Pada tahun 2020, Saradha bersama bisnes makanannya terus melangkah kehadapan dengan memperkenalkan jenama papadum sendiri dikenali sebagai My Mama’s Papadums. 

Produk makanan kegemaran ramai rakyat Malaysia ini diusahakan di bawah syarikat My Mama’s Papadum Trading yang menghasilkan produk papadum berkualiti dari aspek pembuatan, eksport dan pengedaran dalam kualiti premium secara global. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Juara I Can See Your Voice Hariz Danial Hadir Dengan Single HUKUM

Syafiq Kyle Sah Bakal Kahwin Dengan Mimi Lana Tahun Ini