in , , ,

Pengalaman Budiey Bertemu Dengan Pelakon Filem AQUAMAN di Manila

Pada bulan lalu, Budiey telah terbang ke Manila untuk mengikuti media junket AQUAMAN dibawakan oleh Warner Bros. Oh mak aih, dah lama rasanya tidak dihantar untuk Media Junket untuk filem yang hebat.

Kali ini, satu peluang yang cukup berharga dan sukar untuk Budiey lepaskan. Walaupun tidak dapat peluang untuk menemubual secara eksklusif secara berdepan dengan figura itu, namun Budiey anggap trip ini satu pembelajaran.

Mana tidaknya, dapat berada dalam sepuluh kaki jaraknya dari selebriti A-list Hollywood itu dah mencukupi. Budiey akui ini adalah pertama kali sebenarnya bertemu dengan pelakon Aquaman iaitu Jason Momoa atau nama penuhnya Joseph Jason Namakaeha Momoa dan Amber Heard. Tak tahu lagi bila nak jumpa mereka selepas ini, kan? Jadi berusaha gigih jugak la nak berselfie dengan mereka walaupun agak sukar.

Mencecah jarum jam 2.30 petang, para media dan blogger tampak bersedia menantikan kemunculan tiga figura yang diterbangkan dari jauh ini. Kami berkumpul di Grand Ballroom untuk bertemu mata dan berbicara sepatah dua kata. Nampak jelas, semua sudah bersedia untuk bertanyakan soalan. Mereka datang dari media tempatan mahu pun yang diterbangkan dari beberapa buah negara Asia Tenggara.

Filem Aquaman di Manila

Suasana ballroom saat menantikan kehadiran selebriti agak tenang petang itu. Tiada hinggar binggar dan sorak hilai. Mungkin mereka bersedia dengan kamera, kemaskini segala laman sosial dan ada juga yang tengah berborak-borak kosong.

Dalam hati Budiey memang cukup teruja untuk mendengar apa yang diperbualkan oleh pengarah James Wan, Amber Heard, dan Jason Momoa. Mungkin sebab itu, Budiey sanggup berebut-rebut untuk memilih kerusi di barisan paling hadapan. Barulah view di lensa nampak jelas dan cantik gitu di skrin kan?

Filem Aquaman di Manila

Lima belas minit selepas melabuhkan punggung di kerusi, Jason Momoa, Amber Heard, dan pengarah James Wan muncul dari tengah pentas. Diiringi dengan sorakan dan tepukan.

Media Junket Filem AQUAMAN

James Wan kelihatan bersahaja memakai baju T berwarna hitam dengan gambar kepala harimau dipadankan dengan jeans biru tua lusuh. Jason Momoa pula nampak agak ranggi. Rambut panjangnya dibiar nampak seperti mana dalam movie. Mengenakan jaket kulit warna pastel, seluar khakis jeans yang kasual dan sepatu but yang sempoi. Manakala Amber Heard pula kelihatan ayu dan cukup sweet.

Media Junket Filem AQUAMAN

Sebagai intro mereka bertiga telah berborak dengan nada yang cukup santai. Jason Momoa bercakap tentang dirinya yang berasal dari dua budaya iaitu Hawaii dengan latar belakang Jerman-Iowa. Wajah yang sesuai untuk mengendalikan watak Aquaman yang nampak gagah dan perkasa.

Media Junket Filem AQUAMAN

“Nampak pada wajah, rasanya ramai tahu saya ada campuran dua budaya. Saya suka kedua-dua tempat kelahiran saya. Siapa yang tak suka dengan rumah sendiri, saya tetap rindu nak pulang ke kampung halaman. Saya juga suka bersiar-siar dan travel.”

– Jason Momoa

Kemudian, tiba masa untuk bersoal jawab dengan para media. Ketiga-tiga mereka memberikan peluang untuk semua bertanyakan apa sahaja tapi masih dalam lingkaran tentang filem AQUAMAN.

Media Junket Filem AQUAMAN
Amber Heard

Budiey seperti para media lain yang mengharapkan sesi soal jawab melahirkan buah idea dan dialog yang bermutu dari ketiga-tiga panel.

Media Junket Filem AQUAMAN

Ada media bertanyakan tentang budaya dan tempat kelahiran Jason Momoa serta apakah persediaan semasa membawa karakter utama dalam AQUAMAN.

“Saya tidak pernah ada pengalaman bersama dengan orang Filipina di Hawaii. Jadi, saya sangat teruja berada di sini (Manila). Sesuatu yang baru buat saya sebab ini pertama kali saya sampai di sini. Orangnya semua sangat ceria dan menyambut saya dengan baik. Sambutan cukup hangat sekali. Terima kasih, Manila.”

– Jason Momoa

Budiey dapat melihat hubungan yang akrab dan sangat baik antara James Wan. Mesra dan ada vibe yang positif sekali. Nampak kejujuran dan riak wajah masing-masing saat bersalaman dan berlaga bahu.

Ada media mengusik dengan bertanyakan James Wan. Mungkin selepas ini, James Wan akan menjemput Jason Momoa untuk berlakon dalam filem seram pula. Dengan seloroh, James Wan menjawab dengan nada bergurau… mungkin boleh berlakon dalam filem seram, cuma boleh ke Jason Momoa memotong rambutnya yang panjang tu.

Jason Momoa menganggap James Wan seorang pengarah yang sangat hebat dan beliau banyak belajar tentang dunia lakonan. Sesuatu pengalaman yang baharu dipelajari dari James Wan, antaranya bagaimana mengarah filem aksi dengan menggunakan teknologi.

Selepas 30 minit yang singkat, sidang akhbar berakhir, dan kami kemudian bergegas pula ke SM Mall of Asia, sebuah pusat membeli belah dan lokasinya cukup sesuai iaitu ruang concourse separuh bulat menghadap pantai Manila Bay, untuk acara Aquaman bertemu dengan peminat. Sesuai kan?

Walaupun jam baru mencecah ke angkap empat petang, namun SM Mall of Asia nampak sesak. Budiey pun semacam tak percaya dengan sambutan hangat yang sebegitu. Ramai sekali peminat yang memakai kostum, tak lupa ada yang membawa sekali senjata Aquaman, lembing yang menjadi kesaktian dan keperkasaan Aquaman. Tak kurang ada yang membawa miniature Aquaman untuk ditandatangani.

Keadaan agak hangat! Nasib baik bayu lembut dari arah pantai menyapa mendinginkan lokasi pertemuan itu. Satu layar besar disediakan untuk memudahkan peminat menonton memerhatikan kehadiran selebriti Aquaman menjengah di pentas.

Setelah beberapa minit menanti, kehadiran Jason Momoa, Amher Heard dan James Wan membuatkan ramai bersorak. Keterujaan yang amat. Semuanya bertepuk. Menjerit memanggil nama artis pujaan masing-masing. Mereka diberi peluang untuk bersalaman dan bermesra serta bersua foto.

Media Junket Filem AQUAMAN

Amber Heard begitu menawan sekali dengan busana yang cukup glamor dan seksi pada malam itu. Warna kilat hitam menawan. Mempesonakan. Jason Momoa pula seperti sebelum ini nampak sempoi sahaja ranggi dengan seluar jeans dengan kemeja lengan panjang.

Malam itu, mereka bertiga dihadiahkan lukisan dari seorang pelukis terkenal dari Manila. Momen seperti mencemburui peminat Aquaman di Manila ini kerana mereka bertiga terpaksa berlalu setelah acara pertemuan ini.

Media Junket Filem AQUAMAN

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Suami Elfira Loy Dedah Kisah Cinta di Majalah EH!

Bagusnya! Suria Edarkan 300 Beg Sekolah