in

Pencarian Hero Oven Musim Kedua Bermula

Hero Oven, program realiti masakan pertama TV3 yang menampilkan peserta lelaki untuk menyediakan manisan dengan menggunakan oven kembali untuk musim baharunya pada tahun ini!

Pencarian Hero Oven musim kedua ini telah bermula pada 15 Februari dan akan berakhir pada 15 Mac 2017. Terbuka kepada jejaka berperwatakan menarik yang berusia antara 20 hingga 35 tahun, kemahiran untuk menyediakan pelbagai kek dan pastri dengan menggunakan oven dan petah bercakap merupakan syarat utama untuk penyertaan Hero Oven.

Naem - Pemenang Hero Oven 2016

Cara penyertaannya amat mudah. Anda hanya perlu merakam video menyediakan manisan berdurasi 2 minit. Hantar video tersebut atau pautan youtube anda berserta biodata dan nombor telefon ke emel [email protected] sebelum atau pada 15 Mac 2017. Pihak produksi akan menghubungi mereka yang tersenarai untuk hadir ke sesi uji bakat.

Selain itu, anda juga boleh hadir ke sesi uji bakat yang bakal berlangsung di Bilik Mojo, Tingkat 3, Sayap Utara, Sri Pentas, Bandar Utama pada 18 Mac dan 19 Mac 2017 (9.00 pagi – 5.00 petang). Anda hanya perlu membawa manisan yang disediakan untuk diadili oleh panel juri yang terdiri daripada Chef Fikree dan Chef Sarah.

Puan Siti Nurlisia Mohd Nadzri, Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9 berkata, “Percubaan pertama pihak stesen untuk memperkenalkan program realiti masakan yang mengetengahkan kaum Adam secara komersial sebagai pakar manisan berjaya memikat hati penonton dan mendapat perhatian daripada mereka yang berminat untuk menceburi bidang kulinari sebagai kerjaya. Jadi, kami juga meletakkan harapan tinggi untuk melihat lebih banyak bakat baharu yang akan menyertai musim baharu ini.”

Hero Oven juga ingin melahirkan chef selebriti muda selepas Chef Fikree, Chef Kamarul, Sherson dan Chef Nik Michael. Juara pertama kelahiran Hero Oven iaitu Naem (Muhammad Naim Ramli, 25 tahun) bakal bersua dengan penonton TV3 sebagai hos baharu Dapur Panas pada bulan April nanti. Naem juga akan bekerjasama dengan Zam Akmal, finalis Hero Oven musim pertama untuk mengendalikan program Ramadan 101.

Anda ialah pakar manisan dan jejaka idaman yang kami cari? Ayuh, hantarkan video penyediaan manisan anda ataupun hadir ke sesi uji bakat pada 18 Mac dan 19 Mac yang akan berlangsung di Bilik Mojo, Tingkat 3, Sri Pentas, Bandar Utama

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ketahui Rahsia Haiwan Laut Dalam Dokumentari NATURE REVENGE

Misteri Di Sebalik Filem MUNAFIK 2 Dilancarkan Malam Ini