in , ,

Peminat Luah Rasa Hampa Tiket Konsert Siti di Singapura Habis Licin

Datuk Seri Siti Nurhaliza, penyanyi terkenal negara kita, baru-baru ini berjaya lagi dengan konsertnya yang terkenal, Fenomena Live in Singapore. Hampir 5,000 tiket konsert itu telah laris terjual dalam masa kurang dari 24 jam!

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi mencatat kejayaan peribadi selepas sekitar 5,000 tiket konsertnya, Fenomena Live in Singapore, habis terjual dalam tempoh kurang daripada 24 jam, semalam.

Menerusi hantaran yang dimuat naik Siti, 45, dalam Instagram miliknya, penyanyi itu melahirkan rasa syukur dan gembira atas sambutan hangat peminatnya dari negara ‘seberang tambak’ itu.

“Syukur tiket konsert di Singapura sudah habis dijual. Kita jumpa di konsert Fenomena nanti,” katanya.

Difahamkan, tiket konsert yang bakal berlangsung pada 29 Jun ini mula dijual pada pukul 10 pagi, semalam (Rabu).

Konsert berkenaan akan berlangsung di The Star Theatre, Singapura yang boleh menampung kapasiti sebanyak 5,000 penonton.

Bagaimanapun, situasi sama berlaku apabila ramai peminat dari Singapura merungut selepas gagal mendapatkan tiket apabila habis terjual dalam masa singkat.

Tinjauan dalam media sosial mendapati ramai peminatnya kecewa gagal melepasi laman web untuk membeli tiket kerana berlaku kesesakan dalam talian.

“Sedihnya tak dapat beli tiket. Pertama kali gagal menonton konsert Siti,” ujar seorang peminatnya.

“Cepatnya tiket habis. Sepatutnya buat di stadium dengan kapasiti lebih besar,” kata seorang lagi peminatnya.

“Hampa gagal membeli tiket konsert Siti,” kata seorang lagi peminat.

Sebelum ini, Siti mencipta kejayaan apabila tiket konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza yang bakal berlangsung pada 9 Mac nanti di Axiata Arena, Bukit Jalil, habis dijual dalam tempoh dua jam.

Meskipun mendapat permintaan ramai mendesak penambahan persembahan menjadi dua malam, Siti bagaimanapun tidak dapat berbuat demikian atas beberapa kekangan termasuk, tarikh yang mennghampiri bulan Ramadan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Festival Supalapa Himpunkan Lebih 40 Bintang di Resorts Awana Genting

Ashraf Muslim Sekali Lagi Menjadi Mangsa Fitnah Mengenai Poligami