in , ,

Pelakon Dayana Kamal Rentung Maut Kemalangan di Kota Bahru

Al-Fatihah… sama-sama kita sedekahkan doa buat arwah.

Budiey Blog

Wan Nurdiyana Mohd Kamarul Zaman atau nama komersialnya, Dayana Kamal, salah seorang daripada tiga yang rentung dalam kemalangan ngeri di km 2 Jalan Kota Baharu-Kuala Krai, Bunut Payung awal pagi semalam merupakan seorang pelakon filem dan drama.

Wan Nurdiyana, 22, pernah membintangi filem “Black Maria” dan beberapa drama tempatan iaitu “Rumah Itu Duniaku”, “Sumaiyyah”, “Raya Dengan Tok”, “Selamat Tinggal Noni”, “Ayah Kami” dan terbaru siri drama popular “Matahari”.

Ayah Wan Nurdiyana, Mohd Kamarul Zaman Mohd Nor, 44, berkata arwah anak sulung daripada empat beradik itu kini masih bercuti Aidilfitri dan sedang menunggu tawaran baru untuk berlakon.

“Pada bulan puasa lalu, arwah mahu memakai tudung untuk penampilan baru dan seminggu sebelum kejadian, arwah membaca al-Quran yang menyebabkan ibunya, Wan Norhayati Ismail, 47, rasa sebak dan hairan.

Ini merupakan petanda yang Wan Nurdiyana akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,”

– katanya ketika ditemui di rumah datuk Wan Nurdiyana di Kampung Chempaka di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, selain Wan Nurdiyana yang terkorban, dua lagi adalah warga Amerika yang juga pekerja pelantar minyak di Terengganu Gonzalez Christopher, 30, dan Tengku Shamsu Tuan Ibrahim, 25, dari Tanah Merah.

Pemandu kereta jenis Proton Persona yang dinaiki mereka, Tengku Ahmad Nazim Tengku Azizan, 30, mengalami cedera parah dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Wan Nurdiyana pernah berkahwin dengan vokalis kumpulan The Times, Nataza Muhamad dan bercerai dua tahun lalu dan hasil perkahwinan itu dikurniakan seorang anak perempuan Dayang Fatihah Amanda yang berusia empat tahun.

Jenazah Wan Nurdiyana dikebumikan petang semalam di Tanah Perkuburan Islam Mata Pasir, Kampung Chempaka. Lebih menyedihkan Mohd Kamarul Zaman, dua hari lagi genap setahun adik Wan Nurdiyana, Wan Ikmal Hisham, meninggal dunia juga kerana kemalangan jalan raya di Gua Musang.

“Hati mana tidak sedih kehilangan dua anak dalam kemalangan jalan raya dalam tempoh dua tahun berturut-turut,” katanya sayu.

Beliau berkata sehingga kini Dayang Fatihah Amanda masih tidak mengakui ibunya telah meninggal dunia kerana tidak percaya jenazah yang rentung itu adalah Wan Nurdiyana.

Bercerita sebelum kemalangan, beliau berkata Wan Nurdiyana telah keluar rumah untuk minum bersama rakan-rakannya di Hotel Renaissance di sini pada pukul 11 malam.

“Saya dimaklumkan mereka berempat keluar untuk makan sup belut yang saya sendiri tidak tahu sehinggalah dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh salah seorang keluarga pada pukul 1 petang semalam,” katanya.

Ibu Allahyarham, Wan Norhayati berkata sebelum ini juga anaknya itu juga enggan mengenakan baju berwarna biru semasa sesi fotografi di Kuala Lumpur dan mahukan baju berwarna putih untuk dipakai.

“Hari terakhir bertemu Wan Nurdiyana seminggu sebelum ini dan tiga hari lalu dia meminta wang perbelanjaan,” katanya yang menetap di Lembah Keramat bersama keluarga yang lain.

Semoga ruh dilimpahi rahmah Ilahi selalu.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kuman KU2 Pelawak Bob Sakit Jantung Bengkak

Sasha Bashir dan Yani Hijjas Berkahwin