in ,

Malique Duet Bersama Dayang Nurfaizah dalam Lagu PEJAMKAN MATA

Malique Ibrahim merupakan seorang rapper Malaysia, penerbit lagu, penulis lirik dan komposer yang amat disegani khasnya di dalam dunia hip hop. Beliau mula menjadi popular dipersada muzik tanahair ketika bersama Too Phat yang membawa genre muzik hip hop dan rap.

Antara lagu-lagu ciptaan beliau yang menjadi siulan anak-anak muda adalah seperti lagu Mentera Beradu (M. Nasir), Teman Pengganti (Black), Bawaku Pergi (Zizan & Kaka) dan Aku Maafkan Kamu (Dato Jamal Abdillah). Hasil ciptaan lagu Malique telah banyak memenangi anugerah antaranya Anugerah Industri Muzik (AIM), Anugerah Juara Lagu (AJL), Shout Awards dan Voize Award (VIMA). Album ‘OK’ adalah album solo terkahir beliau yang dipasarkan dalam tahun 2008.

Kini, Malique tampil dengan album terbaru beliau berjudul TKO: Pejamkan Mata yang telah dipasarkan hanya menerusi online store Qarma Musiq pada 22 Disember 2016 yang lalu. Album ini menghimpunkan lagu-lagu yang telah dipasarkan dahulu dengan memuatkan tiga lagu baru iaitu Muzik Buatku High, Bukan Mudah bersama Nukilan dan Pejamkan Mata feat Dayang Nurfaizah.

Lagu ‘Pejamkan Mata’, menampilkan salah seorang penyanyi wanita popular Dayang Nurfaizah yang amat dikenali menerusi beberapa buah lagu yang menjadi hit di antaranya ‘Seandainya Masih Ada Cinta, ‘Dayang Sayang Kamu’ dan ‘Lelaki Teragung’ yang memenangi AJL31 (Anugerah Juara Lagu) baru-baru ini. Manakala lagu ‘Bukan Mudah’ pula menampilkan kumpulan Nukilan iaitu kumpulan pertama yang bernaung di bawah Qarma Musiq.

Kumpulan yang diberi nama Nukilan ini terdiri daripada tiga orang ahli iaitu Kirana, Kelana dan Agenda. Mereka mula dikenali menerusi lagu ‘Rindu’ kolaborasi bersama Shae artis Indonesia yang sebelum ini terkenal dengan lagu hitnya ‘Sayang’.

Album Malique kali ini menampilkan kulit album yang telah menjadi topik bualan di media sosial sekaligus, menjadi tanda tanya kepada peminat-peminat beliau diluar sana. Namun peminat Malique yang setia sahaja yang benar-benar akan memahami dan mengintepretasikan konsep kulit album ini secara positif.

Lirik-lirik yang penuh bermakna samada yang tersurat mahupun tersirat adalah nukilan sepenuhnya oleh Malique. Oleh yang demikian tidak hairanlah album ini sangat dinanti-nantikan oleh ramai peminat beliau. TKO : Pejamkan Mata terjual lebih 2,000 unit dalam tempoh kurang tiga minggu dilancarkan di laman web rasmi Qarma Musiq.

Berikut merupakan senarai lagu-lagu yang terkandung di dalam TKO: Pejamkan Mata:

1. Warkah Dari Perbatasan (Intro)
2. Salut featuring Ariz
3. Perang Dah Tamat featuring Rabbani
4. 2010 Masih Hip Hop featuring Joe Flizzow
5. Muzik Buatku High
6. Senyum featuring Najwa
7. Cuba Lagi featuring Lah Ahmad
8. Bukan Mudah with Nukilan
9. Aku Maafkan Kamu featuring Jamal Abdillah
10. Teman Pengganti with Black
11. Pejamkan Mata featuring Dayang Nurfaizah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Premiere With Budiey – Filem JOHN WICK 2

Tara HD Perkenal Tiga Rancangan Bollywood