in

Pantas-Pacuan Tanpa Sempadan

Menjelajah Sejauh 4200KM Bersama Kelab 4X4 Ekstrem Tawau Dalam PANTAS-PACUAN TANPA SEMPADAN di TV1

Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengajak penonton meneroka keindahan alam semula jadi sambil meresapi nilai estetika sesuatu budaya bersama Kelab 4X4 Ekstrem Tawau dalam siri dokumentari baharu “Pantas – Pacuan Tanpa Sempadan” bersiaran setiap Isnin, Selasa dan Rabu, bermula 9 April, pukul 11.05 pagi.

Dihoskan oleh Fiza Saad, program setengah jam ini membawa penonton dalam misi menawan Malaysia, Singapura dan Thailand melalui penjelajahan pacuan empat roda. Ekspedisi bermula dari Tawau ke Kota Kinabalu yang turut disertai oleh PDRM dan AKPK dan telah dilancarkan oleh YB Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching, Ahli Parlimen Tawau merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Kedua-dua tetamu kehormat dari Wilayah Penguasa Selatan Thailand, diberikan penghormatan untuk melepaskan konvoi secara rasminya meneruskan perjalanan menuju ke Wilayah lain di Selatan Thailand

Pada episod pengenalan, sementara menunggu persiapan kenderaan untuk berlepas, Fiza sempat mengunjungi Hutan Simpan Taman Bukit Tawau yang menyimpan pokok tropika tertinggi di dunia. Seterusnya Fiza ke Kampung Tinagat bagi melihat Rumah Api Batu Tinagat yang dibina pada tahun 1916 dan digunakan sehingga 2007. Keesokannya kenderaan-kenderaan tersebut dihantar ke pelabuhan untuk dibawa dengan kapal ke Pelabuhan Klang.

Masih di Kota Kinabalu, Fiza mengunjungi daerah Penampang yang terkenal dengan masyarakat daripada suku kaum Kadazandusun. Kadazandusun merupakan bumiputera yang terbesar di Sabah. Seterusnya Fiza ke Bandar Donggongon iaitu pekan utama di daerah Penampang. Fiza menuju ke Tamu Donggongan yang merupakan pasar tamu terbaik di Sabah. Di sini dijual berbagai hasil pertanian daripada penduduk-penduduk Penampang dan sekitarnya. Fiza turut mencuba makanan tradisional di sini. Kemudiannya Fiza meronda di tepi laut di Bandar Kota Kinabalu sambil menikmati pemandangan laut yang indah di waktu petang.

Selepas menjelajah beberapa lagi tempat di Sabah seperti Tuaran, Kota Belud, Ranau, Sandakan dan Semporna, kenderaan ekspedisi telah sampai di Pelabuhan Klang. Seterusnya konvoi bergerak ke Damansara sebelum meneruskan penjelajahan ke selatan tanah air. Pada sebelah malamnya diadakan majlis perasmian dan pelancaran ekspedisi serta majlis makan malam untuk peserta-peserta. Keesokan paginya konvoi telah dilepaskan dengan rasminya oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri Sabah. Konvoi berhenti sebentar di Putrajaya dan seterusnya di Seremban untuk berkunjung ke Taman Seni Budaya Negeri Sembilan. Meneruskan perjalanan, konvoi bergerak menuju ke Melaka dan destinasi berikutnya adalah Johor Bahru.

Sebelum ke Pantai Timur, konvoi berjaya menakluk Singapura. Konvoi singgah di mercu tanda utama Singapura iaitu di Merlion Park. Setelah kembali ke Johor Bahru, Fiza ke Bazar JB atau lebih dikenali sebagai Bazar Karat. Keesokan paginya perjalanan diteruskan ke Kuantan dengan jarak 322 km. Dalam perjalanan, konvoi terserempak dengan kereta yang terbabas dan para peserta telah membantu menarik kereta itu keluar dari dalam parit.
Kemudiannya mereka meneruskan perjalanan dan sempat singgah di Pantai Cherating untuk bergambar kenangan serta mencuba aktiviti meluncur ombak. Dari Cheranting perjalanan diteruskan ke Tanah Merah, Kelantan dan dijangka tiba di sana pada malam hari.

Selepas lima jam memandu, konvoi tiba di Tanah Merah, Kelantan dan disambut oleh ahli-ahli dari Kelab 4×4 Tanah Merah. Turut diraikan oleh pihak Majlis Daerah Tanah Merah. Mereka bermalam di tapak perkhemahan tidak jauh dari Bandar Tanah Merah. Pagi esoknya konvoi telah diiringi oleh beberapa kenderaan 4×4 dari Tanah Merah menuju ke sempadan Kelantan Perak. Jarak perjalanan dari Tanah Merah ke Gerik dan seterusnya ke Pengkalan Hulu adalah sejauh 213 km. Fiza singgah di Bukit Bunga dan sempat merasai buah salak, buah keranji serta kuih cakar ayam. Perjalanan ke Gerik akan melalui puncak Banjaran Titiwangsa, Tasik Banding dan Royal Belum yang menyajikan penorama yang sungguh indah.

(Dari Kiri) Presiden Kelab Jeffry Onn Hamzah, Ketua Bahagian Protokol Mohd Yusoff Ishak dan Bendahari Kelab Tn. Hj. Habibon mengambil gambar berhadapan pejabat Imigresen Thailand di sempadan Pengkalan Hulu  - Betong

Setibanya di di Pengkalan Hulu, mereka disambut meriah oleh pihak Majlis Daerah Pengkalan Hulu, Pejabat Daerah Pengkalan Hulu, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu dan Tourism Perak. Kemudian konvoi meneruskan misi menjelajah Thailand. Setelah melalui proses di Imigresen Malaysia dan Thailand, konvoi bergerak menuju ke Bandar Betong dalam hujan lebat. Majoriti penduduk Betong adalah beragama Islam dan berketurunan Melayu. Ramai daripada masyarakat di situ boleh bercakap Bahasa Melayu. Suatu masa dulu Betong adalah markas Parti Komunis Malaya dan kini tinggalan komunis itu seperti kubu dan terowong menjadi tempat tarikan pelancong. Berikutnya konvoi dilepaskan oleh Datuk Bandar Betong menuju ke Krabi melalui Bandar Yala dan Patani.

Ekspedisi mereka tidak berakhir di situ. Episod seterusnya menjanjikan pelbagai tempat menarik yang pastinya membuat penonton semakin teruja. Saksikan pengakhiran ekspedisi Kelab 4X4 Ekstrem Tawau hanya di saluran TV1.

Tanggungjawab sosial yang dijalankan oleh ahli konvoi di mana dalam perjalanan melewati Mersing, sebuah kenderaan Mitsubishi mengalami kemalangan kecil.

Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Sehari sebelum majlis pelancaran di hadapan Majlis Perbandaran Tawau, Sabah

Konvoi mula menyeberang sempadan melalui tambak johor untuk memasuki Kota Singapura melalui Woodland.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Liputan Berteknologi Mojo Untuk Pilihan Raya Umum Ke-14

Rindu Bertemu Tuhan Lakonan Ana Dahlia