in ,

Sinopsis Telemovie Pak Zain D.I.Y

Pak Zain seorang pesara yang gemar bertukang hingga adakalanya dia leka dengan minatnya itu. Tanpa disedari olehnya, situasi itu menimbulkan konflik di kalangan isteri dan anak-anaknya.

Kisah kekeluargaan ini melatari telemovie bertajuk “Pak Zain D.I.Y” yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 14 Januari ini, pukul 10.05 pagi mengisi slot Panggung Ahad di TV1.

pelakon dan kru telemovie Pak Zain DIY

Minat Seorang Ayah Dalam Telemovie “Pak Zain D.I.Y” di TV1

Menampilkan lakonan mantap pelakon Zaefrul Nordin, Rosnah Johari, Riz Amin, Mardiana Alwi, Elly RL dan Aaron Aswad, kisahnya bermula dengan memaparkan kisah Zain Rahman seorang pesara tentera yang hobinya menukang.

Semuanya bermula dengan kehidupannya yang di dedahkan kepada dunia pertukangan sejak kecil oleh ayahnya menjadikan Zain semakin aktif. Minatnya hanya pada seni pertukangan yang diwarisi daripada ayahnya.

Dalam pada itu, sikap ekstrim dan rakus Zain dalam mengubahsuai perkakas dan perabot baru menjadikan isterinya, Rahah Musa yang merupakan seorang guru memendam rasa. Dia tidak senang dengan minat suaminya itu namun tidak dapat berbuat apa-apa. Dia risau sekiranya Zain terasa hati dan salah faham.

Bagi menyelesaikan masalah sikap ekstrim Zain dalam dalam pertukangan yang memberi kesan pada insan sekeliling, dua anaknya iaitu Zarul dan Shamsul bergabung idea membina bengkel bagi memudahkan Zain menyalurkan minatnya.

Bukan itu sahaja, atas usaha anak-anaknya itu hasil tukangan Zain diniagakan secara atas talian dan mereka turut sediakan beberapa orang pekerja untuk membantu supaya Zain boleh berehat. Tugas Zain hanya memberi arahan sahaja kepada pekerja yang diupah mereka.

Bagaimanapun Zain tetap bertukang seperti biasa. Malah dia semakin rajin meneruskan minatnya tersebut. Situasi itu membuatkan anak-anak dan isterinya buntu untuk memikirkan cara mengubah minat Zain.

Namun mereka akhirnya akur dan akui bahawa itulah dunia Zain kini dan tidak akan berubah. Mereka membiarkan Zain terus diulit bahagia dengan hasil kerja tangannya.

TELEMOVIE PAK ZAIN DIY

Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ada Sebab Janna Nick & Ajak Shiro Dipilih Jadi Hos Melodi Musim Baharu

Slot Cerekarama Tampil Dengan Tema Anugerah Juara Lagu 32