in ,

Kisah Tular Datuk Dr Noor Hisham & Lara Khadijah Berbalas Surat Cukup ‘Manis’

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha sedaya upaya untuk menangani wabak v1rus Covid-19 yang kian menular. Bukan itu sahaja, para petugas frontliner turut memberi peranan masing-masing dalam situasi sekarang.

Berikutan pengorbanan KKM yang tidak terbalas, seorang kanak-kanak menulis sepucuk surat buat Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebagai tanda penghargaan.

Kisah Tular Noor Hisham & Lara Khadijah Berbalas Surat

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, yang dinamakan antara doktor terbaik dunia berdasarkan kewibawaan beliau menangani krisis COVID-19, menerima kejutan manis apabila ‘disunting’ menjadi kenalan oleh seorang peminat cilik.

Hasrat itu diluahkan Lara Khadijah McAfee menerusi surat dipercayai hasil tulisan dan karangan sendiri yang disertakan ‘loom band’ atau gelang getah, sebagai simbolik salam perkenalan.

Berikut adalah kandungan surat oleh kanak-kanak berusia sembilan tahun itu bertarikh 19 Mac lalu:

“Salam Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Nama saya Lara Khadijah McAfee dan saya tinggal di Kuala Terengganu.

“Saya kini belajar di Tahun Tiga dan murid Sekolah Kebangsaan Seri Budiman. Saya buatkan ‘loom band’ untuk dipakai rakan-rakan saya di pergelangan tangan mereka, tanda sebuah persahabatan.

“Saya buat ‘loom band’ untuk anda sebagai menghargai kerja keras membantu semua rakyat Malaysia, supaya mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat dan sihat sepanjang penularan virus ini.

“Kekal selamat. Rakan anda, Lara.”

– Lara
Kisah Tular Noor Hisham & Lara Khadijah Berbalas Surat
Lara lenunjukkan surat yang comel dibalas KP Kesihatan.

Sesungguhnya Ketua Pengarah Kesihatan kita seorang yang tinggi budi pekertinya, hebat adab dan santunnya, tenang tindakkannya dan tertib tutur katanya.

Sesungguhnya segala puji-pujian itu adalah milik Allah dan diberikan kepada mereka yang terpilih sahaja.

Terima Kasih Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan kumpulan Frontliners kerana menjaga keselamatan kami.

Meskipun sibuk dengan tugas kepada negara, Dr Noor Hisham jelas tidak menghampakan harapan kanak-kanak itu apabila membalas surat kenalan baharu terbabit yang menetap di Kampung Batin, Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu.

Mengaku tersentuh dengan penghargaan dizahirkan, beliau berkata, gelang getah berwarna biru dan putih itu kini dipakai cucunya.

“Terima kasih atas surat dan gelang yang diutuskan. Cucu saya sekarang yang memakainya dan dia sangat menyukainya.

“Kata-kata anda terlalu baik, tetapi saya tidak melakukannya secara berseorangan. Saya beruntung kerana mempunyai sebuah pasukan yang hebat untuk membantu negara kita.

“Rakyat Malaysia seperti anda, memainkan peranan yang luar biasa dengan kekal berada di rumah. Teruskan berbuat demikian dan bersama, kita boleh memerangi virus ini,”

– Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Begitulah kata-kata beliau menerusi surat rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam.

Meredakan kebimbangan kenalan ciliknya, Dr Noor Hisham berkata, situasi yang melanda negara ketika ini tidak akan berpanjangan.

“Dengan izin Tuhan, ini akan berakhir tidak lama lagi,”

– Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Beliau turut menitipkan pesanan supaya kanak-kanak itu terus belajar dengan tekun dan memperbaiki mutu pencapaian.

“Satu hari, giliran anda pula untuk membantu Malaysia. Buru impian anda dan kerja keras untuk mencapainya,”

– Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Datuk Dr Noor Hisham menggunakan ganti nama diri sebagai ‘rakan baharu anda, Dr Hisham’.

Komen Ibu Lara Tentang Surat-Menyurat Ini

“LARA teruja dan gembira sangat bila tahu suratnya dibalas,” kata ibu kepada Lara Khadijah McAfee, 9 yang menulis surat kepada Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Anak bongsu daripada lima beradik itu menulis sendiri surat sebagai tanda penghargaannya kepada Dr Noor Hisham yang sering dilihatnya di kaca televisyen ketika mengumumkan perkembangan semasa Covid-19.

“Saya tak sangka surat ini akan tular dan saya hanya mengetahuinya apabila keluarga di Kuala Lumpur memaklumkan mengenai surat itu.

“Apabila saya memberitahu Lara, dia teruja apatah lagi Dr Hisham turut membalas surat itu dan menganggap Lara sebagai teman baharunya.

“Lebih lucu, Lara bertanya ‘am I famous now,”

– Mutiara

Mutiara berkata, idea menulis surat itu tercetus ketika pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat pada 18 Mac lalu.

“Saya memberi cadangan kepada Lara kenapa tidak tulis surat untuk Dr Hisham, Lara terus bersetuju dan mengarang sendiri luahannya.

“Lara juga membuat sendiri ‘loom band’ sebagai tanda pemberian dan tanda penghargaan kerja keras Dr Hisham,”

– Mutiara

Beliau berkata, surat itu dihantar pada 19 Mac 2020 dan usaha itu dibuat bukan untuk mencuri perhatian.

“Syukur inisiatif Lara untuk menulis surat ini mendapat maklum balas begitu positif daripada orang ramai, malah ramai yang mendapat inspirasi dengannya.

“Walaupun niat asal kami hanya untuk berterima kasih kepada Dr Hisham.

“Saya terharu kerana menerima mesej daripada pelbagai masyarakat, ada pakcik Cina dan India melahirkan semangat untuk sama-sama berjuang melawan virus ini,”

– Mutiara

Mutiara berkata, dia berharap surat ditulis Lara itu dapat memberi inspirasi kepada kanak-kanak lain untuk menulis dan meluahkan apa yang mereka rasa.

“Kita sebagai ibu bapa perlu memberi dorongan kepada anak-anak ini kerana walaupun muda, buah fikiran mereka boleh membina sesuatu luar biasa,”

– Mutiara

Surat tulisan Lara yang tular itu turut mendapat maklum balas daripada Dr Noor Hisham yang mengaku tersentuh dengan penghargaan dizahirkan.

Selain itu, beliau turut berterima kasih atas surat dan gelang diutuskan dan menyatakan gelang itu dipakai oleh cucunya.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham dinamakan sebagai antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN) atas kewibawaan beliau menangani krisis COVID-19.

Sumber: Harian Metro

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama RINDU YANG TERINDAH Popularkan Lagu CUKUP Nyanyian Rizal Rasid

Persenda Islam! Giliran Pelakon Ezany Nizariff Buat Laporan Polis Terhadap Sajat?