in ,

Datuk Nassier Wahab Dapat Banglo, Dilantik Duta DBI Technology

Datuk Nassier Wahab terima banglo, dilantik jadi duta syarikat hartanah DBI Technology

Datuk Nassier Wahab baru-baru ini dipilih sebagai duta syarikat hartanah DBI Technology. Pemilihannya disifatkan relevan dengan diri penyanyi yang popular dengan lagu Memori Cinta Luka itu yang sudah 32 tahun bergelar anak seni. Sekali gus membuktikan diri penyanyi awet muda ini yang diminati dari golongan muda hingga ke generasi lama.

Mengikat kontrak selama dua tahun, penyanyi berusia 55 tahun itu menyifatkan usahanya sebagai duta berkenaan diharap dapat menyuntik semangat masyarakat terutama golongan bumi putera untuk membeli rumah sendiri pada fasa yang lebih awal.

Datuk Nassier Wahab

Tidak hanya dilantik sebagai duta syarikat dimiliki Datuk Boy Iman itu, Nassier yang dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk ketika berlangsungnya penganugerahan itu di Istana Abu Bakar pada 15 Mei lalu turut menerima hadiah banglo dari pihak DBI Technology.

Datuk Nassier Wahab

Banglo berkenaan terletak di Kapar, Klang dan bernilai RM150,000.

“Banglo dan pelantikan sebagai duta ini menjadi hadiah paling bermakna ulang tahun kelahiran saya yang ke-55 tahun pada 18 April lalu. Banglo yang saya terima ini juga tak jauh dengan kediaman saya sekarang di Bukit Raja.

“Tugas saya lebih kepada mempromosi pakej perumahan baru dan mampu milik untuk pelanggan. Saya pun sudah 20 tahun mengenali Datuk Boy Iman selaku orang penting kepada DBI Technology. Beliau kawan lama saya. Sambil membantu perniagaannya, dapat juga membantunya mempromosi apa yang diusahakannya.

“Dalam hal ini, kita berusaha mendidik masyarakat untuk membeli rumah pada usia yang muda. Jangan tunggu usia lewat baru nak memiliki rumah sendiri. Rumah itu aset dan keperluan. Jangan kita ambil mudah soal membeli rumah ini,” katanya.
Tambah penyanyi dengan nama penuh, Mohd Nasir Abdul Wahab yang sudah 32 tahun, sepanjang kontrak diikat, beliau akan terbabit dengan komitmen yang diaturkan.

“Ketika ini saya dimaklumkan ada penyertaan DBI Technology dengan beberapa acara dan karnival perumahan yang dianjurkan di beberapa buah negeri dan lokasi.

“Saya juga tak kisah untuk turun padang. Ia ruang saya mendekatkan diri dengan peminat sekali gus berpeluang menyeru serta menarik perhatian untuk beli rumah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nassier kini terus selesa memenuhi undangan nyanyian sepenuh masa. Biar tanpa kehadiran album atau single baru, beliau yang pernah menyertai GegarVaganza musim kedua tak pernah putus undangan menyanyi. Malah keghairahannya untuk merakamkan lagu baharu juga bagaikan semakin terhakis.

“Ada tawaran buat album tapi belum ada kata putus. Saya pernah merakamkan tiga buah single tahun lalu di Jakarta membabitkan komposer Indonesia, Richard Kyoto. Lagu itu dirakamkan atas permintaannya. Sekalipun tak dipromosikan secara besar-besaran, tiga buah lagu berjudul Nada Nada Cinta, Kau Dalam Hidupku dan Cinta Suci itu saya anggap sebagai lagu yang bagus.

“Saya pun selesa dengan dengan keadaan sekarang dengan memenuhi undangan menyanyi dan bertemu peminat daripada merakamkan lagu baru. Ini kerana setiap kali keluar single baru memang kena buat promosi 200 peratus. Kadang-kadang tak terdaya lagi nak terkejar kejar mempromosi lagu sendiri. Cukuplah dengan 12 album solo yang pernah dirakamkan dahulu.

“Ramai juga cakap sayang kenapa tiga lagu baru itu tidak dipromosikan. Sayang memang sayang. Tapi kadang rasa ‘malas’ nak promosi lagu di radio. Terasa diri sudah cukup tua. Biarlah artis baru yang buat semua itu. Tambah pula setiap kali ada undangan persembahan, lagu lama juga yang diminta saya nyanyikan,” katanya.

Datuk Nassier Wahab

Nassier percaya setiap single yang dihasilkan boleh pergi jauh jika ada pasukan promosi yang bagus.

“Kalau tidak radio dan wartawan mungkin takkan layan. Sebagai penyanyi yang sudah senior, kadang kadang rasa malu juga apabila kita seperti nakkan publisiti.

“Apabila umur sudah mencapai separuh abad, perasaan malu dan segan itu menebal kerana wartawan generasi baharu yang seakan tidak mengenali penyanyi lama. Barangkali ada sesetengah wartawan baru yang kurang berminat nak temubual penyanyi lama seperti saya. Senario artis senior jarang dipeduli di dalam satu majlis itu bagaikan perkara biasa.

“Tapi ada juga wartawan baru yang masih pandai mengambil hati dan menghormati orang lama seperti kami ini,” katanya.

Di bawah DBI Technology mempunyai pecahan kepada DBI Homes, Mini Mahligai (MM) DBI, DBI Coating (penyediaan lantai, dinding dan perabot), Khidmat Hiasan Dalaman dan Landskap serta Villa DBI.

DBI Homes contohnya dengan tagline Everyone Can Have A Homes! adalah salah sebuah projek perumahan alaf baru berdaya saing yang menggunakan Industrial Building System atau (IBS) yang dibina oleh syarikat perumahan dan hartanah bumiputera iaitu DBI Technology Sdn Bhd.

Syarikat ini ditubuhkan pada 16hb Disember 2016 kini sedang membangun sebagai salah sebuah syarikat pembinaan perumahan dan hartanah dengan memasarkan pakej produk rumah mampu milik berharga paling istimewa untuk seluruh negara. Ia selaras dengan seruan kerajaan untuk membina “Rumah Mampu Milik” khas untuk rakyat Malaysia.

Datuk Nassier Wahab

Datuk Nassier Wahab

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

ABPHBH 3.0 Ditonton 5.2 Juta Penonton

Muse Lancar Single Terbaru Berjudul DIG DOWN